Tuesday, August 13, 2013

PUASA ENAM


Soalan:

Ada pendapat mengatakan adalah sebaik-baiknya mengqhada dahulu puasa sebelum melakukan puasa sunat Syawal. Ada pula yang mengatakan apabila kita mengqhada puasa pada bulan Syawal secara automatik kita ada mendapat pahala puasa enam. Yang manakah lebih afdal? Minta ustazah perjelaskan.

Jawapan:

Sedia maklum bahawa puasa enam hari di bulan Syawal adalah sunat dan besar fadilatnya. Namun persoalan sering timbul mengenai cara melaksanakannya.
Di sini saya akan cuba huraikan beberapa persoalan yang berkaitan dengannya.

1.     Hukum

Terdapat beberapa Hadis yang sahih berkaitan dengan puasa di bulan Syawal. Antaranya:
a.     Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang puasa Ramadan dan diikuti dengan enam hari daripada Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.” Riwayat Muslim daripada Abu Ayyub r.a.
b.     “Sesiapa yang puasa Ramadan, satu bulan ganjarannya sepuluh bulan. Dan dia berpuasa enam hari daripada bulan berbuka (Syawal), dengan itu genaplah (pahala) satu tahun.” Riwayat Sa’eid bin Mansur daripada Thauban.

Berdasarkan Hadis-hadis di atas, jumhur ulama berpendapat puasa enam hari daripada bulan Syawal adalah sunat dan digalakkan.

Imam an-Nawawi berkata: “Ashab kita (fuqahak mazhab kita, asy-Syafi’ei) berpendapat bahawa disunatkan puasa enam hari daripada Syawal berdasarkan Hadis-hadis di atas. Tidak ada perselisihan di kalangan kami. Begitu juga pendapat Ahmad dan Daud.”

2.     Cara melaksanakan puasa sunat Syawal.

Ulama yang berpendapat sunat puasa enam hari daripada Syawal berbeza pendapat dari segi cara pelaksanaan yang paling baik dan afdal.
a.     Asy-Syafi’ei dan mereka yang  sealiran dengannya berpendapat digalakkan puasa pada awal bulan, selepas Hari Raya dan dilakukan dengan cara berturut-turut.
b.     Tidak ada perbezaan sama ada dilakukan dengan berturut-turut atau tidak di sepanjang bulan itu. Ini merupakan pendapat Waki’ (guru Imam asy-Syafi’ei) dan Ahmad.
c.     Tidak digalakkan puasa terus selepas hari raya, kerana ia merupakan hari makan dan minum. Sebaliknya hendaklah berpuasa beberapa hari selepas itu. Ini adalah pendapat ‘Ato’
Walau bagaimanapun tiada dalil sahih yang menyokong salah satu pendapat di atas. Maka dapat disimpulkan bahawa ia terbuka kepada setiap individu menunaikannya mengikut kelapangan masing-masing sepanjang bulan Syawal, sama ada hendak dilakukan di awal bulan atau di akhirnya, secara berturut-turut atau berselang-selang. Namun roh amal yang baik, jika disegerakan tentulah lebih afdal jika dibandingkan dengan melewat-lewatkannya tanpa keuzuran.
Imam an-Nawawi berkata: “Digalakkan puasa sunat ini secara berturut-turut pada awal bulan Syawal. Jika diselang-selikan, atau dilewatkan hingga akhir bulan harus juga dan dikira melaksanakan apa yang disunatkan kerana Hadis menyebut secara umum tanpa mengaitkan dengan awal atau akhir, berturut-turut atau tidak.”

3.     Antara qada puasa Ramadan dan sunat Syawal.

Banyak timbul persoalan, orang yang meninggalkan puasa Ramadan adakah harus dia berpuasa sunat Syawal atau wajib diqada terlebih dahulu atau boleh diniatkan qada dengan sunat sekali?
Syaikh Daud Fatani menjelaskan persoalan ini di dalam kitabnya ‘Buhgyah at-Tullab li Muridi Ma’rifatil Ahkami Bis-Sawab’, juzuk 2, halaman 128 seperti berikut:

1.     Orang yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sebab uzur, sunat juga berpuasa enam hari daripada Syawal (sebelum qada)
2.     Orang yang meninggalkan puasa Ramadan tanpa uzur, wajib menyegerakan qada puasa Ramadan. Dia wajib qada puasa Ramadan terlebih dahulu. Jika terlepas sunat Syawal kerana menunaikan qada puasa Ramadan, dia boleh qada sunat Syawal pada bulan Zul Qaedah. Ini sekiranya dia tidak niat sunat Syawal serta qada Ramadan. Jika dia telah berniat sunat Syawal beserta dengan puasa qadanya, maka dia memperoleh pahala sunat dan tidak perlu diqada sunat Syawal di dalam bulan Zul Qaedah.
3.     Seseorang yang mempunyai tanggungan puasa wajib, sama ada puasa qada, nazar atau lain-lain, jika dia berniat untuk puasa sunat Syawal selepas menyelesaikan puasa wajib, dia tidak mendapat pahala sunat Syawal ketika puasa wajib itu. Tetapi jika dia berniat puasa wajib serta sunat Syawal, atau tidak berniat sunat Syawal, hanya niat wajib sahaja, dia akan mendapat pahala sunat Syawal dan tidak lagi dituntut mengerjakannya selepas dia menyempurnakan puasa wajib itu.

Selain itu, terdapat sebahagian ulamak yang berpendapat tidak harus bagi sesiapa yang mempunyai tanggungan qada puasa Ramadan menunaikan sunat Syawal. Dia wajib menyegerakan qada terlebih dahulu kerana itu merupakan hutangnya dengan Allah. Jika dia meninggal dunia, dia akan ditanya tentang puasa qadanya dan tidak ditanya tentang sunat Syawal. Bahkan pahla sunat Syawal itu sendiri bergantung kepada kesempurnaan puasa Ramadan.

Jadi, dalam melaksanakan ibadah sebaiknya lakukan yang paling selamat dan selari dengan pendapat semua pihak. Sempurnakan yang wajib terlebih dahulu, kemudian barulah diikuti dengan sunat. Allahu A’lam

Monday, August 5, 2013

Adakah kaki aurat?


Soalan:

salaam

ustzah, nak tanya boleh?

bagaimana aurat kaki kita semasa tetamu lelaki datang ke rumah kita, atau kita bermalam di rumah orang, yang ahli rumahnya bukan muhrim kita?

 Jawapan:

Salam.

Berkenaan dengan kaki, sama ada aurat atau tidak; ulamak berbeza pendapat.

Mazhab Hanafi, menurut riwayat al-Hasan daripada Abu Hanifah, tapak kaki (dalam bahasa Arab, perkataan al-qadam bermaksud tapak kaki merangkumi bahagian atas, iaitu kura-kura kaki dan bawah) bukan aurat. Maka harus mendedahkannya serta harus bagi lelaki ajnabi melihatnya. Hujjahnya ialah apa yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a. bahawa beliau mentafsirkan ayat (dan janganlah wanita mukminah mendedahkan perhiasannya kecuali apa yang zahir daripadanya), maksud “apa yang zahir” yang disebut di dalam ayat itu ialah “al-qulbu wal-fatakhah”, iaitu cincin yang dipakai dijari kaki. Maka ini menunjukkan bahawa harus mendedahkannya kerana Allah Ta’ala melarang wanita mendedahkan perhiasan, dan Dia mengecualikan apa yang zahir. Dari segi lojiknya kita lihat, tapak kaki memang terdedah ketika berjalan. Maka ia termasuk dalam anggota yang dikecualikan daripada kewajipan menutupnya.

Terdapat juga riwayat di dalam Mazhab Hanafi yang mengatakan tapak kaki adalah aurat. Riwayat ini berpegang kepada apa yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa beliau mentafsirkan ayat di atas, yang dimaksudnya dengan “apa yang zahir” ialah celak dan cincin di jari. Maka selain daripada itu tidak harus didedahkan. Di samping itu, boleh dikatakan keharusan membuka muka dan tangan adalah satu keperluan ketika memberi dan menerima sesuatu. Sebaliknya, tapak kaki tidak ada keperluan untuk membukanya. Maka ia wajib ditutup.

Pendapat muktamad dalam Mazhab Hanafi adalah tapak kaki bukan aurat. (Ad-Durru al-Mukhtar waraddil-Muhtar)

Begitu juga pendapat yang rajih dalam Mazhan Maliki, tapak kaki bukan aurat.

Menurut Mazhab Syafi’ei dan Hanbali, tapak kaki adalah aurat, wajib ditutup dan tidak harus bagi ajnabi (lelaki bukan mahram) melihatnya.

Antara dalil yang dipegang oleh pihak yang mengatakan tapak kaki adalah aurat, Hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi daripada Ibn Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Allah tidak melihat kepada orang yang mengheret bajunya (yang labuh) dalam keadaan bangga,” maka Ummu Salamah bertanya, “maka apa yang harus dilakukan oleh wanita dengan hujung bajunya?” Baginda menjawab: “Mereka hendaklah melabuhkan sekadar sejengkal sahaja (daripada pertengahan betis)” Ummu Salamah bertanya lagi, “Kalau begitu, akan terdedahlah tapak kaki mereka?” Baginda menjawab: “Panjangkan sekadar sehasta sahaja. Jangan lebih daripada itu.”

Pendapat Dr Abdul Karim Zaidan, setelah mengemukakan pandangan mazhab-mazhab, beliau cenderung kepada pendapat yang mengatakan tapak kaki adalah aurat dan tidak harus didedahkan. Namun terdapat kelonggaran bagi wanita yang berjalan tanpa kasut dan bekerja di sawah-sawah di kampong atau wanita miskin yang tidak mempunyai sarung kaki untuk dipakai. Hadis Ummu Salamah di atas menggambarkan wanita berjalan tanpa memakai sarung kaki. Kadar yang dibenarkan hujung baju dilabuhkan menunjukkan tidak menutup keseluruhan kaki. Kalau menutup seluruh kaki, pastinya akan menimbulkan kesukaran untuk berjalan. Di dalam riwayat at-Tirmizi, seorang wanita bertanya Ummu Salamah r.a. “Hujung baju saya labuh, dan saya selalu berjalan di tempat kotor.” Ummu Salamah berkata kepada wanita itu bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, maksudnya: “Hujung baju yang terkena kekotoran dibersihkan oleh tempat selepasnya (maksudnya apabila hujung baju itu melepasi tempat kotor, ia akan jadi bersih apabila terheret di tempat yang tidak kotor).” Kisah ini menggambarkan wanita tidak menutup seluruh kaki dengan bajunya. Allahu A’lam.

Monday, July 29, 2013

Tadabbur al-Quran


Soalan:

Saya sering mendengar perkataan tadabbur, tapi kurang jelas maksudnya dan bagaimana caranya? Adakah tadabbur boleh dilakukan oleh semua orang yang baca al-Quran atau orang tertentu sahaja? Terima kasih, ustazah.

Jawapan:

Jawapan ini dipetik daripada kitab "Al-Quran al-'Adzim: Fadhael wa Ahkam"  karangan  Muhammad al-'Annani, Kuwait 1434H/2012M.

Maksud tadabbur dan hukumnya:

Tadabbur ialah berfikir dan mengamati ayat-ayat al-Quran untuk memahaminya, serta menangkapi makna-maknanya, hukum-hukumnya, dan maksud yang dikehendakinya. Al-Quran adalah kitab yang dipermudahkan (muyassar) untuk tilawah, hafaz, faham dan tadabbur. Allah Ta'ala telah berfirman maksudnya: Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” (Al-Qamar:17)

Maka wajib atas setiap muslim tadabbur al-Quran dan cuba memahaminya dengan membaca secara perlahan-perlahan dan cuba memahami ayat-ayatnya. Sesungguhnya al-Quran adalah kitab hidayah. Justeru, bagaimana seseorang yang tidak memahaminya akan mendapat hidayahnya. Sekiranya dia musykil atau tidak mengerti maksud sesuatu ayat, hendaklah dia merujuk kepada tafsirannya. Dia hendaklah mengumpulkan seluruh tumpuannya ketika membaca dan menghadirkan hatinya dengan memerhati apa yang dinyatakan di dalam ayat yang dibaca itu; ancaman, ugutan, harapan, rahmah, hal keadaan umat terdahulu dan lain-lain. Allah berfirman maksudnya:  "Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?” (Muhammad:24)

Kenapa ramai di kalangan manusia tidak mentadabbur al-Quran?

Antara sebabnya ialah:

Pertama, menganggap bahawa al-Quran itu susah difahami. Anggapan ini tidak benar. Ia merupakan satu kesilapan tentang maksud tadabbur al-Quran. Anggapan yang sedemikian akan menjauhkan kita dari matlamat al-Quran itu diturunkan. Al-Quran adalah kitab tarbiah dan ta'lim. Kitab  hidayah dan penunjuk jalan kepada semua manusia. Kitab  huda, rahmah dan busyra kepada orang-orang yang beriman. Kitab yang Allah permudahkan untuk memahami dan mentadabburnya sebagaimana firmanNya yang bermaksud:  “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?” (Al-Qamar:17)
Dan al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Bahasanya simpel dan mudah difahami oleh semua golongan. Allah berfirman maksudnya: "Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.” (Yusuf:2)
Sesungguhnya al-Quran, kebanyakan ayatnya jelas, terang dan nyata bagi semua manusia. Ia difahami oleh orang muda, orang tua, orang alim dan buta huruf. Hal ini pernah dinyatakan oleh Ibn Abbas r.a. (Tafsir ada empat jenis: yang diketahui oleh orang Arab daripada percakapan mereka, tafsir yang tidak ada seorangpun diterima keuzuran kerana kejahilannya (tidak ada seorangpun boleh berkata dia tidak faham kerana dia jahil), tafsir yang hanya diketahui oleh ulamak dan tafsir yang tidak diketahui melainkan Allah). Dan kebanyakan ayat al-Quran adalah jenis yang pertama dan kedua.

Sebab kedua ialah tipu daya syaitan. Syaitan membuat tipu daya untuk memalingkan manusia daripada mentadabbur al-Quran dan mengambil hidayahnya. Dia mahu menjauhkan hamba Allah daripada tadabbur al-Quran kerana dia tahu bahawa hidayah hanya diperolehi ketika tadabbur. Maka diapun berkata bahaya memperkatakan sesuatu tentang al-Quran. Sehingga  manusiapun berkata, saya tidak boleh bercakap tentang al-Quran untuk mengelakkan diri daripada tersilap. Sesungguhnya yang bahaya itu kamu bercakap tentang al-Quran tanpa ilmu, bukan tadabbur itu yang bahaya. Bukankah Allah perintahkan kita supaya tadabbur al-Quran? (Lihat surah Muhammad:24)

Maka janganlah kamu membiarkan syaitan menghalang kamu daripada tadabbur dan memahami Kalam Allah Tabaraka wa Ta'ala. Sekiranya kamu tidak mengerti makna sesuatu ayat, segeralah merujuk kitab-kitab tafsir untuk mencari makna serta maksudnya. Jangan kunci mindamu! Dengan sebab itu, kamu baca tanpa tadabbur atau kamu tidak baca langsung!

Bagaimana cara mentadabbur al-Quran?

Kebanyakan manusia belajar membaca dengan cepat dan laju. Cara begini memang susah untuk tadabbur. Kamu hendaklah membiasakan diri untuk tadabbur. Tadabbur hanya boleh dilakukan dengan membaca al-Quran secara tartil dan tidak laju. Letakkan di sisi kertas dan pena untuk menulis perkataan- perkataan yang tidak difahami atau tidak jelas maksudnya. Maka rujuklah kitab-kitab tafsir yang muktabar supaya terlerai apa yang dimusykilkan. Selepas itu, kamu akan membaca al-Quran tanpa ada lagi kemusykilan, dan terus tadabbur. Setiap kali membaca al-Quran, akan terbongkar ilmu-ilmu yang tidak diketahui sebelumnya. Sesungguhnya hidayah itu, semuanya terletak pada tadabbur al-Quran.

Antara kitab tafsir yang mudah dan disarankan kepada setiap muslim memilikinya ialah "Aisar al-Tafasir" karangan Syaikh Abu Bakar al-Jazaeriy. Kitab ini  ringkas dan tidak panjang. Bahasanya mudah, susunannya indah, dan ia mengikut manhaj ahli sunnah wal-jamaah.

Tuesday, July 23, 2013

Solat ketika musafir


Soalan:

Kalau travel berjam2 dgn kenderaan seperti kapal terbang atau train yg tiada perhentian.

     a) mcm mana prosedur solat? Klu qiblat contohnya arah
         kanan kita, adakah hanya takbiratul ihram mghadap
         qiblat kemudian solat di dlm posisi duduk di seat
         ( di mana tidak lg menhdap qiblat) ? Betul ke cara
         ni?

       b) solat yg kt lakukan dlm travel ni adakah perlu
          dganti kmbali stlh kt berada di tmpt sesuai?

Jawapan:

Cara melakukan solat di dalam kapal terbang atau train yang memakan masa yang panjang:
i.               Sekiranya masuk waktu solat, dan kenderaan dijangka tiba sebelum habis waktu, tunggu sehingga tiba dan tunailah solat di perhentian atau airport.
ii.             Sekiranya solat terdiri daripada yang boleh dijamak, dan jangkaan tiba adalah waktu yang boleh jamak, maka niat jamak ta’khir. Contohnya masuk waktu zohor ketika di dalam kenderaan. Waktu dijangka tiba sebelum habis waktu asar, maka ta’khirkan zohor dalam waktu asar.
iii.            Sekiranya kenderaan akan tiba selepas tamat waktu, wajiblah ditunaikan solat di dalam kenderaan. Sekiranya terdapat tempat yang sesuai untuk lakukan solat seperti biasa dengan berdiri mengadap qiblat, wajib tunaikan seperti biasa. Sekiranya tidak ada, hendaklah solat di tempat duduk dan sedaya upaya cuba mengadap ke arah qiblat. Jika tidak mampu, solat sebagaimana yang termampu. Ada pendapat mengatakan wajib diulang bila sampai, ada yang mengatakan tidak wajib. Allahu A’lam. 

Monday, July 15, 2013

Hukum Memegang al-Quran Ketika Solat Tarawih



Solan:

assalamualaikum wbt ustazah
saya ada satu soalan nak tanya sempena ramadhan ni, apa hukum memegang quran ketika solat terawih, dgn tujuan menambahkan fokus ketika solat?

Jawapan:

Wa’aalaikumus-salam wr.wb.
Jawapan ini dipetik daripada Dar-al-Ifta’ al-Misriyyah.

Bertaqarrub kepada Allah dengan amalan-amalan sunat adalah lebih afdhal jika digabung dengan dua hasanah, iaitu solat dan tilawah al-Quran. Muslim sangat ingin mengkhatam al-Quran di dalam solatnya. Oleh kerana tidak semua muslim mempunyai kemudahan untuk menghafaz, fuqaha’ telah berbicara tentang kemungkinan membaca al-Quran di mushaf ketika solat sama ada dengan cara memegang dengan tangan atau letak di atas sesuatu yang membolehkan orang yang solat itu melihat dan membacanya.

Fuqaha’ Mazhab asy-Syafi’ei dan yang difatwakan di dalam Mazhab Hanbali: harus baca al-Quran di mushaf ketika solat bagi imam dan orang yang solat sendirian, tidak ada beza sama ada solat fardhu atau sunat, orang yang hafaz atau tidak hafaz. Inilah yang muktamad, dinaqalkan oleh Imam Ibn Qudamah di dalam kitab al-Mughni daripada ‘Ataa’ dan Yahya al-Ansari yang termasuk dalam kalangan fuqaha’ as-salaf.

Diriwayatkan bahawa Aisyah r.a. berimamkan hambanya Zakwan r.a., dan Zakwan membaca al-Quran di mushaf. Sahih al-Bukhari dan al-Baihaqi.

Ditanya Imam az-Zuhri tentang seorang lelaki membaca al-Quran di mushaf ketika solat di dalam bulan Ramadhan, beliau menjawab: “Adalah khiaruna (orang-orang terpilih/terbaik dari kalangan kami), mereka membacanya di mushaf” Kitab al-Mudawwanah al-Kubra dan al-Mughni Ibn Qudamah.

Sebagaimana membaca al-Quran itu satu ibadah, melihat kepada mushaf juga satu ibadah. Dan menggabungkan satu ibadah kepada ibadah yang lain bukanlah sesuatu yang ditegah, bahkan boleh menambahkan pahala kerana ketika itu bertambah amal, iaitu melihat kepada mushaf.

Hujjatul-Islam, al-Ghazali berkata: “Sesungguhnya ada yang berkata harus khatam al-Quran dalam masa tujuh hari dengan membaca di mushaf kerana melihat kepada mushaf itu satu ibadah.”

Berdasarkan Qaedah Syara’, hukum wasilah (jalan) mengikut hukum maqasid (tujuan). Tujuan ialah baca al-Quran. Apabila tercapai tujuan dengan cara melihat apa yang tertulis di mushaf, maka perbuatan itu harus.

Imam an-Nawawi berkata di dalam kitab al-Majmu’: “Sekiranya dia (orang yang solat) membaca al-Quran di mushaf, tidak batal solatnya sama ada dia hafaz atau tidak. Bahkan wajib ke atasnya berbuat demikian jika dia tidak hafaz al-Fatihah. Sekiranya dia membelek lembarannya sekali sekala di dalam solat, tidak batal solatnya.

Kata al-‘Allamah Mansur al-Bahuti al-Hanbali: “Orang yang solat, harus membaca al-Quran di mushaf sekalipun dia seorang hafiz. Solat fardhu dan sunat sama sahaja.

Fuqaha’ Mazhab Hanafi dan Zahiri berkata, membaca al-Quran di mushaf ketika solat merosakkan (membatalkan) solat. Manakala fuqaha’ Mazhab Maliki mengatakan harus dalam solat sunat dan makruh dalam solat fardhu. Bagaimanapun hujah-hujah yang dikemukakan oleh Mazhab Hanafi dan Maliki telah dijawab oleh pihak yang mengatakan harus. Allahu A’lam