Wednesday, December 7, 2022

ADAKAH CICAK NAJIS

SOALAN:

Salam. Ustazah, adakah bangkai cicak itu najis? Saya pernah dengar orang kata bunuh cicak itu dapat pahala. Betul tak?


JAWAPAN:

Wassalam. Fuqahak membahagikan haiwan kepada dua kategori. Jika haiwan itu mempunyai darah yang mengalir, maka bangkainya najis.

Jika haiwan itu tidak mempunyai darah yang mengalir, maka bangkainya tidak najis.

Berkenaan cicak, fuqahak khilaf apakah ia termasuk dalam kategori mempunyai darah mengalir atau sebaliknya.

Imam al-Nawawi berkata dalam kitab “al-Majmu’”: “Adapun cicak maka jumhur atau majoriti fuqahak memutuskan ia tidak ada darah mengalir.

Begitu juga al-Ramli. Beliau berkata dalam kitab “al-Nihayah”: Dan dikecualikan daripada najis bangkai yang tiada darah mengalir sepeti cicak, kumbang, lalat dan lipas.

Berdasarkan pandangan ini, maka apabila ia jatuh dalam air atau cecair, maka ia tidak menajiskan.


Tentang hukum membunuh cicak, terdapat beberapa hadis yang sahih mengenainya.

Daripada Ummu Syarik RA bahawa Rasulullah SAW memerintahkan kami supaya membunuh cicak. Dan baginda SAW bersabdda: “Ia meniupkan api (yanfukhu) ke atas Ibrahim.” Muttafaq ‘alaih.

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang membunuh cicak dengan pukulan pertama, ditulis untuknya 100 hasanah (kebaikan atau pahala), pukulan kedua, kurang daripada itu dan pukulan ketiga kurang daripada itu.” Riwayat Muslim

Daripada Aisyah RA: “Manakala Ibrahim dicampak ke dalam api, tidak ada haiwan di bumi kecuali berusaha memadamkannya melainkan cicak. Ia meniup api ke arahnya. Maka Rasulullah SAW menyuruh supaya membunuhnya.” Riwayat Ibn Majah dengan sanad yang sahih


Tuesday, August 30, 2022

TUJUAN NABI ISA DITURUNKAN MENJELANG HARI KIAMAT

Soalan:

Assalamualaikum Ustazah, apakah tujuan diturunkan Nabi Isa a.s. menjelang hari kiamat kerana telah diketahui Nabi Muhammad s.a.w adalah nabi terakhir yang membawa hukum-hukum Allah?

Jawapan:

Wa'alaikumus-salam wrwb.

Tujuan serta hikmahnya hanya Allah yang tahu. Ulamak ada menyebut beberpa hikmah yang boleh difahami:

1. Untuk menolak dakwaan yahudi bahawa mereka telah membunuh Nabi Isa alaihis-salam

2. Baginda turun pada waktu hampir tiba ajalnya supaya jasad badinda ditanam di bumi kerana semua manusia berasal daripada tanah dan kembali ke tanah. Firman Allah bermaksud: "Dari bumilah Kami ciptakan kamu, dan ke dalamnya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya pula Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi." (Taha 20:55)  

3. Baginda meminta untuk menjadi umat Nabi Muhamaad SAW kerana kelebihan-kelebihan yang diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagaimana diketahui oleh baginda.

ADAKAH LIPAS NAJIS?

Soalan:

Saya telah terjumpa seekor lipas dlm salah satu baju yg sudah di basuh dan disidai, jadi saya telah ambil keputusan utk ambil semua baju yg telah disidai dan basuh semula ke dalam mesin basuh.

Persoalannya , apa kah hukum dalam sudut fiqh mengenai lipas masuk ke dalam baju ataupun ke  dalam bekas2 makanan lain?

Jawapan:

Lipas adalah haiwan yang tidak ada darah mengalir. Menurut jumhur atau majority fuqahak ia tidak najis.

Mereka berkata jika ia serangga yang tidak berdarah seperti semut dan lipas, hukumnya dimaafkan kerana umum balwa. Inilah pendapat yang dikuatkan oleh Ibn Hajar, dan disokong oleh kalangan ulamak terkemudian.

Dalilnya ialah sabit dariapda Nabi SAW bahawa baginda memerintahkan apabila lalat jatuh ke dalam minuman seseorang, hendaklah diselam ke dalam air kemudian dibuang lalat. Dan air itu boleh diminum. Hadis tersebut umum, merangkumi sama ada lalat itu masih hidup atau sudah mati. (Fathul Bari 10/251).


Monday, August 29, 2022

HUKUM MEMANDULKAN KUCING

Soalan: 

Bolehkah saya mengembiri atau memandulkan kucing betina saya. Ini kerana setelah melahirkan anak dua kali, Kucing saya tidak pandai menjaga anaknya sehinggakan mati seekor demi seekor.

Jawapan:

Mesyuarat Panel Kajian Syariah (Panel Pakar Syariah) yang bersidang pada 3-4 April 2002 telah membincangkan Hukum Mengembiri Binatang Kesayangan. Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa mengembiri binatang kesayangan (seperti kucing atau anjing) adalah diharuskan dengan sebab-sebab tertentu iaitu bagi menjaga maslahah ammah (kepentingan awam). 

Menurut secretariat Dar al-Ifta’ Mesir, memandulkan kucing tidak haram dengan syarat dilakukan dengan kaedah perubatan supaya tidak mendatangkan kemudaratan kepadanya.


Thursday, February 10, 2022

NAFKAH BALU SEMASA IDDAH

SOALAN:

Salam. Ustazah, saya terbaca satu posting di fb bahawa dalam Islam, nafkah balu kematian suami sepanjang tempoh edah selama 4 bulan 10 hari wajib ditanggung oleh bapa kepada arwah suaminya. Jika bapa tidak mampu atau sudah meninggal atau tidak peduli, maka tanggungjawab memberi nafkah jatuh kepada adik beradik lelaki arwah suami.

Betulkah begitu? Mohon pencerahan. Terima kasih. 


JAWAPAN:

Wassalam. Untuk menjawap persoalan yang dikemukakan, saya bawakan pandangan fuqahak empat mazhab tentang nafkah wanita yang kematian suami semasa iddah yang dipetik oleh Dr Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya “Al-Mufassol fi Ahkamil Mar’ati wal Baitil Muslim” jilid 9.

Mazhab Hanafi 

Wanita yang berada dalam iddah kematian TIADA nafkah untuknya termasuk tempat tinggal daripada harta peninggalan suaminya, sama ada dia hamil atau tidak. Ini kerana semua harta peninggalan suaminya telah menjadi pusaka. Maka tidak boleh digunakan untuk nafkah dirinya serta tempat tinggalnya daripada harta pusaka itu. Hukum ini sama saja sama ada wanita itu telah tua, masih muda, masih kecil, sudah dewasa, muslimah atau kitabiah.

Mazhab Maliki 

Wanita yang berada dalam iddah kematian TIDAK ADA nafkah untuknya. Tetapi dia berhak mendapat tempat tinggal jika dia telah disetubuhi dan ada kemampuan untuk disetubuhi. Jika dia tidak ada kemampuan untuk disetubuhi, maka dia tidak berhak mendapat tempat tinggal kecuali suaminya telah menempatkannya di rumah itu sebelum kematiannya, sama ada dia telah menyetubuhinya atau belum. Dan syarat rumah yang dia berhak duduki itu ialah milik suaminya atau rumah sewa yang dia telah membayar sewanya sebelum kematiannya. Jika dia belum membayar sewanya, maka hak tuan rumah untuk menyuruh wanita itu keluar daripada rumah itu. 

Mazhab Syafi’e 

Wanita yang berada dalam iddah kematian berhak mendapat tempat tinggal. Adapun nafkah makanan dan pakaian tidak wajib diberikan. 

Dalil dia berhak mendapat tempat tinggal ialah Hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan lain-lain bahawa Nabi SAW menyuruh Furai’ah binti Malik RA tinggal di rumahnya sehingga habis iddah selepas suami mati dibunuh. Maka dia menghabiskan iddah di rumah itu selama 4 bulan 10 hari. 

Dan dalil tidak wajib nafkah makanan dan pakaian untuknya ialah sebab wajib nafkah ialah kehidupan bersama sebagai suami isteri. Hal ini tidak mungkin lagi dengan sebab berlakunya kematian.

Mazhab Hanbali 

Wanita yang berada dalam iddah kematian tidak berhak mendapat tempat tinggal serta nafkah sekiranya dia tidak mengandung. Jika dia mengandung, maka terdapat dua Riwayat:

Pertama: Dia berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal kerana dia mengandungkan anak suaminya yang meninggal itu. Dia berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal samalah seperti sekiranya dia diceraikan dalam keadaan dia hamil.

Kedua: Dia tidak berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal kerana harta peninggalan si mati telah berpindah menjadi harta pusaka. Nafkah dan tempat tinggal untuknya tidak boleh diberikan daripada harta milik waris. Sebaliknya jika si mati mempunyai harta yang boleh diwarisi maka nafkah untuk isteri yang hamil itu adalah daripada bahagian harta yang diwarisinya. Jika suami tidak mempunyai harta peninggalan yang boleh diwarisi, tidak diwajibkan ke atas waris si mati memberikan nafkah untuk isteri yang hamil itu. Al-Qadhi Al-Hanbali berkata, riwayat inilah yang lebih sahih.

Jika diperthatikan pandangan empat mazhab yang dikemukan, tidak ada satu mazhabpun yang berkata nafkah balu semasa edah wajib ditanggung oleh bapa suaminya atau adik-beradik lelakinya, termasuk pendapat Mazhab Syafi'ei.

Dia berhak mendapat pusaka 1/4 daripada harta peninggalan jika dia tidak mempunyai anak. Jika mempunyai anak, haknya 1/8 daripada peninggalan. Kalua bagi nafkah iddah daripada harta suami maka bahagian pusakanya sudah jadi lebih daripada apa yang diperuntukkan dalam al-Quran. 

Walau bagaimanapun terdapat sesetengah undang-undang keluarga negara-negara Islam memperuntukkan nafkah iddah mati daripada harta suami tanpa mengira dia hamil atau tidak.

Kalau suami tidak ada harta, qadhi kena perintah keluarkan nafkah daripada baitulmal atau daripada mana-mana tabung kebajikan. 

Tetapi tidak ada peruntukan diwajibkan nafkah ke atas bapa mertua.


Allahu A’lam.


Sunday, January 30, 2022

HUKUM SOLAT DENGAN PAKAIAN YANG ADA NAJIS

SOALAN:

Salam Ustazah,

Apakah hukum solat kita apabila kita menyedari adanya najis di kain telekung kita selepasa selesai solat? Perlu disolat semula atau tak ya? 


JAWAPAN

Wassalam.

Menurut kebanyakan ulamak, jika kita solat dalam keadaan kita tidak tahu ada najis pada pakaian kita, maka solat kita sah. Jika kita sedari selepas itu, solat tidak perlu diulang. 

Daripada Abu Sa’eid al-Khudri RA daripada Nabi SAW, bahawa baginda SAW sedang menunaikan solat dengan memakai kasut. Tiba-tiba baginda menanggalkan kasutnya. Maka semua jamaah meninggalkan kasut mereka. 

Selesai solat, baginda bertanya, “kenapakah kalian tanggalkan kasut kalian?” 

Mereka menjawab, “kami melihat anda menanggalkan kasut anda, lalu kamipun tanggalkan kasut kami”.

Baginda SAW menjelaskan, “Sesungguhnya Jibril datang memberitahuku bahawa pada kedua-dua kasutku terdapat najis. Maka apabila salah seorang daripada kamu datang ke masjid, hendaklah dia melihat kedua tapak kasutnya. Jika terdapat najis, hendaklah dia menggeselnya di tanah kemudian hendaklah dia solat.” Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Baihaqi, al-Hakim dan lain-lain. 

Dalam Riwayat di atas, tidak dinyatakan bahawa Nabi SAW mengulangi solatnya selepas menanggalkan kasut yang terdapat najis padanya. Sebaliknya baginda meneruskan solat sehingga selesai. 


Monday, September 27, 2021

ISTERI TIDAK BOLEH KE MASJID UNTUK SOLAT JENAZAH SUAMI?



Sedia maklum bahawa sekarang ini sering berlaku suami meninggal di hospital kerana covid, kemalangan jalan raya dan lain-lain. Jenazahnya dimandikan di hospital atau di masjid. 

Ada pihak yang mengatakan isteri tak boleh keluar rumah untuk ke masjid melihat wajah suami buat kali terakhir dan untuk solat jenazah ke atas mayatnya. 

Mereka berkata, haram bagi wanita yang dalam iddah kematian suami pergi ke masjid walaupun untuk solat jenazah suami sendiri kerana katanya isteri tidak boleh lagi keluar rumah kerana iddahnya telah bermula dan wanita yang beriddah tidak boleh keluar dari rumah. 
Alasanya adalah sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah daripada Ali RA yang menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW keluar dari rumahnya. Baginda terjumpa sekumpulan wanita sedang duduk. Baginda bertanya:
“Apa hal kalian duduk di sini?”
“Kami sedang menunggu jenazah,” jawab mereka.
“Adakah kalian akan memandikannya?” tanya baginda lagi.
“Tidak,” jawab mereka.
“Adakah kalian akan mengusungnya?” tanya baginda.
“Tidak,” jawab mereka.
“Adakah kalian akan menghantarnya ke dalam kuburnya?” tanya baginda seterusnya.
“Tidak,” jawab mereka.
“Kalau begitu, hendaklah kalian pulang. Kalian menanggung dosa, bukan mendapat pahala.”

Ini menyebabkan ramai wanita yang rasa tertekan dan sukar untuk mengikutinya.

Betulkah begitu? 
Adakah Islam tidak mengambil kira langsung perasaan cinta dan kesedihan yang dialami oleh seorang isteri. 
Sudahlah diuji dengan kematian yang tidak diduga, dihalang pula untuk solat dan menatap wajah suami tercinta buat kali terakhir di dunia ini. 
Bukankah Islam ini agama rahmah? 
Bukankah Allah sendiri yang menanamkan dalam hati suami dan isteri perasaan rahmah dan mawaddah terhadap satu sama lain?

Untuk menjawabnya dikemukakan di sini pandangan Syeikh Abdul Rahman bin Abdullah bin Soleh Assuhaim. Beliau berkata:

Wanita yang berada dalam iddah kematian suami harus keluar pada waktu siang kerana sesuatu keperluan.  Dan harus baginya keluar untuk menunaikan solat jenazah suaminya yang meninggal itu atau keluar untuk solat jenazah ibu bapanya yang meninggal semasa dia berada dalam iddah.

Begitu juga harus bagi wanita keluar ke masjid untuk tunaikan solat jenazah, lebih-lebih jika jenazah itu tiba berbetulan dengan solat fardhu sebagaimana yang berlaku di Masjidil-Haram dan Masjid Nabawi.

Hadis yang disebut di atas adalah dhaif. Syeikh al-Albani memasukkannya dalam “Dhaif al-Jami’”. 
Hadis itu juga bercanggah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ummu Atiyyah RA. Beliau berkata: “Kami dilarang mengiringi jenazah, tetapi tidak ditegaskan larangannya (yakni tidak diharamkan)”.
Imam al-Nawawi berkata, larangan di sini berupa tanzih (lebih baik dijauhi) bukan tahrim (mengharamkan)

Allahu A’lam.

Sumber:
http://www.saaid.net/Doat/assuhaim/fatwa/152.htm