Wednesday, June 21, 2023

WAKTU YANG PALING AFDHAL UNTUK BANGKIT APABILA BILAL MENGKUMANDANGKAN IQAMAH

SOALAN:

Salam Ustazah,

Apabila bilal iqamah untuk mendirikan solat, bilakah masa yang sebaiknya makmum bangkit? Adakah ketika dia mula iqamah atau selepas selesai iqamahnya?


JAWAPAN:

Wassalam.

Ulamak berbeza pendapat bilakah sebaiknya makmum berdiri untuk menunaikan solat. Imam an-Nawawi menyebut dalam kitab “Al-Majmuk” beberapa pendapat seperti berikut:

Pertama: Makmum terus bangkit apabila bilal memulakan iqamahnya. Ini pendpat Ata’ dan al-Zuhri.

Kedua: Makmum bangkit apabila bilal menyebut “hayya ‘alas-solah”. Ini merupakan pendapat Abu Hanifah.

Ketiga: Makmum bangkit apabila bilal selesai iqamah. Ini pendapat Imam asy-Syafi’ei

Keempat: Tidak ada waktu tertentu. Makmum harus bangkit pada awal iqamah, pada pertengahan atau pada akhirnya. Ini pendapat fuqahak Mazhab Maliki.

Kelima: Sunat bangkit ketika bilal menyebut “qad qamatiso-solah” jika makmum nampak imam. Jika dia tidak nampak imam, maka dia tunggu dan bangkit ketika dia nampak imam. Ini pendapat Imam Ahmad.

Justeru, tidak ada dalil yang jelas daripada sunnah yang menyokong pendapat-pendapat di atas. Semuanya merupakan ijtihad para ulamak berdasarkan apa yang mereka fikirkan. Jadi makmum mempunyai keluasan untuk bangkit bila-bila masa yang dia kehendaki; awal, tengah atau akhir. 

Pun begitu terdapat dalil daripada sunnah yang menunjukkan jika bilal iqamah tetapi imam belum masuk, maka para makmum tidak perlu bangkit sehingga mereka melihat imam masuk.

Daripada Abi Qatadah RA, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Apabila bilal iqamah untuk mendirikan solat, kalian jangan bangkit sehingga kalian melihat aku.” Riwayat al-Bukhari (637).


Petikan daripada:

islamqa.info


No comments: