Wednesday, November 30, 2011

BETULKAH NABI MUHAMMAD S.A.W. SEORANG YANG BUTA HURUF?

Soalan:
Salam Ustazah,
Saya ada kemusykilan tetang sifat Nabi Muhammad s.a.w.
Apa yang saya faham selama ni, baginda seorang yang buta huruf. Baru2 ni saya terbaca satu artikel yang mengatakan baginda bukan seorang yang buta huruf. Kalau kita percaya baginda seorang yang buta huruf, bererti kita telah menghinanya.
Betul ke? Macamana dengan kepercayaan kita selama ni? Saya rasa itulah yg diajarkan kepada kita di sekolah2 sejak dulu lagi.
Minta ustazah tlg jelaskan. Terima kasih.

Jawapan:
Salam.
Allah s.w.t. menyebut di dalam al-Quran bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang Nabi yang Ummi. Firman Allah Ta’ala bermaksud:
“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk”. Al-A’raf: 157-158.
Untuk memahami maksud perkataan ummi dalam kedua-dua ayat di atas, saya bawakan tafsiran yang dikemukakan oleh ahli-ahli tafsir lama dan baru.
1. Tafsir ‘Arais al-Bayan fi Haqaiq al-Quran oleh al-Baqili (wafat tahun 404 hijriah). Kata Ibn ‘Ato, ummi ialah a’jami. A’jami daripada apa yang lain daripada Kami, ‘alim tentang Kami dan tentang apa yang diturunkan kepadanya daripada Kalam Kami dan Haqiqat Kami. Dia berkata juga, ummi ialah orang yang tidak mengetahui tentang dunia sedikitpun dan tidak mengetahui tentang akhirat kecuali apa yang diajar oleh Tuhannya. Keadaannya dengan Allah adalah satu keadaan sahaja, iaitu suci bersih dengan berhajat kepadaNya sepanjang masa dan tidak berhajat langsung kepada selainNya.
2. Tafsir Mafatih al-Ghaib at-Tafsir al-Kabir oleh ar-Razi (wafat tahun 606 hijriah). Sifat ketiga bagi Nabi (yang disebut dalam ayat di atas) ialah dia seorang yang ummi. Kata az-Zujaj, makna ummi ialah orang yang ada padanya sifat umat Arab. Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya kami umat yang ummi, kami tidak (boleh) menulis dan mengira”. Maka orang Arab kebanyakannya tidak boleh menulis dan membaca. Dan Nabi s.a.w. adalah demikian juga. Itulah sebabnya baginda disifatkan sebagai ummi. Kata penganalisis, keadaan baginda sebagai ummi dengan tafsiran ini merupakan sebahagian daripada mukjizatnya yang boleh diterangkan dari beberapa sudut:
i. Baginda s.a.w. membacakan kepada mereka (orang Arab) Kitab Allah secara tersusun berulangkali tanpa menukarkan lafaz-lafaznya, tanpa mengubah susunan ayat-ayatnya. Pemidato dari kalangan orang Arab, apabila mereka memberikan satu ucapan tanpa teks, kemudian apabila dia mengulang semula, tak dapat tidak mesti ada perkataan atau ayat yang ditambah dan dikurangkan sama ada sedikit atau banyak. Tetapi berbeza dengan Nabi s.a.w. Meskipun baginda tidak boleh menulis dan membaca, namun setiap kali baginda membaca kitab Allah, tidak ada yang ditambah, dikurang dan diubah. Maka itu menunjukkan satu mukjizat. Inilah yang diisyaratkan oleh Allah di dalam firmanNya (bermaksud): “Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Quran yang diturunkan kepadamu), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa,” Al-A’la:6
ii. Sekiranya baginda dapat menulis dan membaca dengan baik, nescaya itu akan jadi bahan tohmahan bahawa mungkin baginda mengkaji kitab-kitab terdahulu, maka mendapat ilmu hasil pengkajian itu. Jadi apabila al-Quran datang dalam bentuknya yang begitu agong, yang mengandungi ilmu yang sangat banyak, tanpa belajar dan mengkaji, maka itu merupakan sebahagian daripada mukjizat. Dan inilah maksud firman Allah Ta’ala: “Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu; (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu).” Al-‘Ankabut:48
iii. Sesungguhnya belajar menulis adalah sesuatu yang amat mudah. Dengan sedikit usaha, manusia yang mempunyai kecerdikan paling minimumpun boleh belajar menulis. Maka tidak belajar menulis menunjukkan kekurangan yang besar dari segi kefahaman. Kemudian Allah memberinya ilmu orang terdahulu dan orang terkemudian, diberinya berbagai-bagai ilmu dan hakikat-hakikat kebenaran yang tidak diperolehi oleh seseorangpun dari kalangan manusia. Dan dengan kekuatan akal dan kefahaman yang begitu hebat menjadikannya, seorang yang tidak belajar menulis yang senang dipelajari oleh orang yang memiliki akal dan kefahaman yang paling minimum, menjadikan terhimpun pada diri baginda dua keadaan yang berlawanan. Berhimpunnya dua perkara berlawanan pada diri seseorang pada satu masa merupakan sesuatu yang luar biasa dan suatu mukjizat.
3. Tafsir Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, oleh al-Qurtubi (wafat tahun 671 hijriah). Firman Allah Ta’ala ٱلأُمِّيَّ } } adalah nisbah kepada umat yang ummi, yang merupakan itulah asal kelahirannya, bangsa yang tidak belajar menulis dan membaca. Ini juga merupakan kata-kata Ibn Aziz. Berkata Ibn Abbas r.a.: Adalah Nabi kamu s.a.w. itu ummi, tidak menulis, tidak membaca dan tidak mengira. Firman Allah Ta’ala bermaksud: “Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu;…” Al-‘Ankabut:48
Daripada Ibn Umar r.a., Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya kami umat yang ummi, kami tidak menulis dan mengira”. Al-Bukhari. Ada juga yang mengatakan, Nabi dinisbahkan kepada Makkah, iaitu Ummu al-Qura. Kata-kata ini telah disebut oleh an-Nuhhas.
4. Tafsir Al-Baidhawi (wafat tahun 685 hijriah). Al-Ummi ialah yang tidak menulis dan tidak membaca. Baginda disifatkan sebagai ummi untuk mengingatkan kesempurnaan ilmunya walhal dia dalam keadaan begitu, iaitu tidak tahu menulis dan membaca. Dan ini merupakan satu daripada mukjizatnya.
5. Tafsir Fath al-Qadir oleh asy-Syaukani (wafat tahun 1250 hijriah). Ummi sama ada nisbah kepada umat yang ummi yang tidak boleh menulis dan mengira. Mereka itu adalah bangsa Arab. Atau nisbah kepada umm, iaitu ibu. Maka maknanya ialah bahawa dia kekal dalam keadaan dia dilahirkan ibunya, tidak tahu menulis dan membaca apa yang telah ditulis orang. Dan ada juga pendapat yang mengatakan, nisbah kepada Umm al-Qura, iaitu Makkah.
6. Tafsir Ruh al-Ma’ani oleh al-Alusi (1270 hijriah). Ummi ialah orang yang tidak boleh menulis dan membaca. Ia seperti kata az-Zujaj, nisbah kepada umat Arab kerana ghalib atau kebiasaan mereka dalam keadaan begitu. Al-Bukhari dan Muslim serta lain-lain meriwayatkan daripada Ibn Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Kami umat yang ummi, tidak boleh menulis dan mengira.” Atau boleh juga dikatakan, ummi dinisbahkan kepada Ummu al-Qura kerana penduduknya dalam keadaan begitu (tidak boleh membaca dan menulis). Atau dinisbahkan kepada umm, iaitu ibunya, iaitu seolah-olah keadaannya sama seperti keadaan dia dilahirkan ibunya, iaitu tidak pandai membaca dan menulis. Nabi s.a.w. disifatkan begitu untuk mengingatkan kesempurnaan ilmunya sedangkan dia dalam keadaan tidak boleh membaca dan menulis, merupakan satu mukjizat. Jadi tidak tahu membaca dan menulis nisbah kepada Nabi s.a.w. adalah sifat terpuji, adapun jika dinisbahkan kepada selainnya, maka bukan sifat terpuji. Bandingannya ialah sifat takabbur. Ia merupakan sifat terpuji bagi Allah, dan sifat tercela bagi selainNya.
7. Tafsir At-Tahrir wa at-Tanwir oleh Ibn ‘Asyur (1393 hijriah). Ummi ialah orang yang tidak tahu menulis dan membaca. Dikatakan juga ia dinisbahkan kepada umm iaitu ibu. Maknanya dia lebih menyerupai ibunya daripada ayahnya kerana wanita di kalangan orang Arab, mereka tidak tahu membaca dan menulis, dan mereka tidak pernah mempelajarinya kecuali ketika berada di bawah naungan Islam. Maka jadilah belajar membaca dan menulis itu satu daripada syi’ar orang merdeka, bukan hamba. Adapun orang lelaki dari kalangan bangsa Arab, ada di kalangan mereka yang boleh membaca dan menulis. Ada pendapat mengatakan ummi nisbah kepada umat, iaitu hal keadaan kebanyakan umat Arab ketika itu dalam keadaan jahiliah, tidak tahu membaca dan menulis kecuali sedikit sahaja dari kalngan mereka. Kerana itu Ahli Kitab menyifatkan mereka ummi sebagaimana yang diceritakan di dalam firman Allah yang bermaksud: “…mereka mengatakan: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi… “ Aali ‘Imran:75.
Ummi adalah sifat yang Allah khususkan kepada RasulNya, Muhammad sahaja sebagai menyempurnakan mukjizat ilmi dan aqli yang Allah kuatkan dirinya. Maka ummi dijadikan sifat zatiah baginya untuk menyempurnakan sifat zatiahnya sebagai rasul, supaya lahir kesempurnaan dirinya, kesempurnaan anugerah ladunni dari Ilahi, tanpa perantaraan sebab-sebab yang diketahui untuk capai kesempurnaan. Dengan itu, ummi adalah sifat kesempurnaan padanya, sedangkan pada orang lain sifat kekurangan kerana manakala tercapai baginya pengetahuan dan kemantapan akal sehingga ke tahap tidak berlaku kesilapan dalam semua aspek, pengetahuan kebenaran , dan dia yakin pada ilmunya, jelas tentang urusannya, itu semua merupakan lebih hebat daripada apa yang dicapai oleh orang yang belajar. Maka jadilah umminya itu satu tanda bahawa dia mencapai apa yang dicapai itu dari limpahan cahaya ketuhanan semata-mata.
8. Al-Asas fi at-Tafsir oleh Sa’eid Hawwa (1405 hijriah bersamaan 1985 masehi}. Sesungguhnya antara dalil kerasulan Rasul kita s.a.w. yang paling menonjol ialah keadaannya yang ummi, iaitu tidak boleh membaca dan menulis. Dalam keadaan dia seorang yang ummi, kenabiannya dibekalkan dengan al-Quran ini yang tidak pernah susut kehebatannya. Kenabiannya diiringi dengan sunnah yang agong yang tidak terkira aspek kesempurnaannya. Seandainya semua kehebatan itu datang bersama seorang yang ummi , dan kandungan kitab yang dibawa itu pula membenarkan kitab-kitab terdahulu, bahkan merangkumi semua isi kandungannya dan ada tambahan lagi, maka seorang insan yang berakal tidak akan meragui, selepas semua bukti itu bahawa Muhammad s.a.w. adalah Rasulullah.
9. Khawatir Muhammad Mutawalli asy-Sya’rawi (1418 hijriah). Ummi ialah orang tidak boleh membaca dan menulis dan tidak pernah berguru dengan seorang guru. Maka baginda s.a.w. kekal dalam keadaan dia dilahirkan.
10. Al-Wasit fi Tafsir al-Quran oleh Tantawi (1431 hijriah). Sesungguhnya dia s.a.w. seorang yang ummi, tidak tahu membaca dan menulis, tidak berguru dengan seseorang, tidak mengambil ilmunya daripada seseorang. Tetapi Allah mewahyukan kepadanya al-Quran al-Karim melalui perantaraan Jibril a.s. dan Allah limpahkan ke atasnya dari sisiNya ilmu-ilmu dan prinsip-prinsip yang berguna yang jelas di dalam al-Quran al-Karim yang diturunkan kepadanya. Maka dengan wahyu itu dia mendahului ahli falsafah, pakar undang-undang, ahli sejarah, ahli sains tabii dan ilmu alam. Maka umminya dia, dengan membawa ilmu yang boleh membaiki urusan dunia dan akhirat merupakan sejelas-jelas dalil yang menunjukkan apa yang dikatakannya adalah apa yang diwahyukan Allah kepadanya.
11. Aisar at-Tafasir oleh Abu Bakar al-Jazairi (1921 masehi). Ummi ialah orang yang tidak tahu membaca dan menulis.
Itulah beberapa pendapat ahli tafsir yang dapat saya kutip daripada kitab-kitab tafsir pelbagai zaman. Diharap ia dapat menjelaskan kekeliruan anda. Allahu A’lam.