Tuesday, January 24, 2017

MENCUKUR SIDEBURN

SOALAN
"Banyak orang perempuan bila ambil wudhuk, dia selak rambut belah pipi (sideburn) ke belakang telinga.
Hukumnya TIDAK SAH ."

Rambut sideburn tu WAJIB kena air tak kira panjang mana pun.
Kalau rambut panjang, gunting bahagian sideburn tu pendek sebab tak sah kalau tak kena air wudhuk..
Kalau tak nak gunting, WAJIB keseluruhan rambut sideburn tu dibasuhkan, walaupun panjang sampai paras bahu.
Lelaki takpe sideburn dia pendek, jadi senang nak berwudhuk.
Assalammualaikum ustazah ,betul ke ni? Mohon pencerahan. Terima kasih


JAWAPAN

Wa’alaikumussalam wrwb.

Soalan yang dikemukakan nampak seolah-olah saudari tidak membezakan antara rambut dengan sideburn. Rambut adalah bulu yang tumbuh di kepala. Manakala sideburn atau jambang adalah bulu yang tumbuh di muka. Cuba lihat wajah saudari di cermin. Ada sideburn atau tidak?

Muka adalah satu daripada anggota yang wajib dibasuh ketika berwudhuk berdasarkan firman Allah ayat 6 surah al-Maidah. Menurut ulamak, batas muka adalah panjangnya daripada permulaan tumbuhnya rambut hingga tempat terakhir tumbuhnya janggut, manakala lebarnya daripada cuping telinga kiri hingga ke cuping telinga kanan. Semua bahagian itu wajib dibasuh termasuk bulu-bulu yang terdapat di muka.

Berkaitan dengan persoalan yang ditanyakan itu, saya petik tulisan asy-Syirazi di dalam kitabnya “Al-Muhazzab” yang disyarahkan oleh Imam an-Nawawi di dalam (Kitab al-Majmu’), jilid 1, halaman 382.

Asy-Syirazi berkata (maksudnya): “Dan tidak wajib membasuh kulit di bawah bulu yang tebal ketika berwudhuk kecuali pada lima tempat: hajib (kening), syarib (misai), ‘anfaqah (bulu yang tumbuh di bibir bawah), ‘izar (bulu yang tumbuh di muka manusia daripada cuping telinga sehingga ke pangkal janggut atau tempat permulaan tumbuh janggut), dan janggut wanita yang tebal (jika ada) kerana bulu-bulu di tempat ini biasanya nipis....”


Kulit muka yang ada di bawah lima bulu yang disebutkan itu wajib dibasuh atau dengan lain perkataan mesti disampaikan air basuhan muka ke situ ketika berwudhuk. Jadi, rambut manakah yang mesti dipotong? Sepanjang pengetahuan saya, bulu-bulu yang disebutkan itu kebiasaannya tidak terdapat di wajah wanita kecuali bulu kening.