Thursday, May 28, 2015

Hukum Mengamalkan Perancangan Keluarga

SOALAN

Kekangan kewangan dan tuntutan kerjaya biasanya menjadi alasan kepada pasangan suami isteri untuk mengamalkan perancangan keluarga. Tambahan pula, kini ada pelbagai teknik atau cara untuk menjarakkan anak yang disyorkan oleh doktor. Adakah perancangan keluarga dibolehkan dalam Islam? Bagaimanakah cara yang dianjurkan Islam?

JAWAPAN

Antara tujuan utama mendirikan rumahtangga ialah mendapat zuriat yang soleh dan solehah. Ini selaras dengan apa yang dianjurkan Nabi s.a.w. di mana Baginda pernah bersabda maksudnya: “Nikahilah wanita yang pengasih serta dapat melahirkan anak yang ramai. Sesungguhnya aku berbangga dengan ramainya kamu pada hari qiamat nanti.” Riwayat Ahmad dan lain-lain.
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. suka umatnya mempunyai anak ramai kerana dengan kelahiran anak yang ramai bertambah ramailah umatnya yang mendokong ajaran Islam yang suci.
Di samping itu anak merupakan sebahagian daripada nikmat anugerah Allah kepada hambaNya sebagaimana dinyatakan di dalam firmanNya yang bermaksud:
Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: Anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?” (An-Nahl:72)
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Nuh:10-12)

Namun, kita sedia mengetahui bahawa anak tidak lahir dengan cara yang mudah, tersedia seperti mengambil kek dari avon. Kesulitan dan kesukaran yang dialami seseorang ibu dalam mengandung dan melahirkan anak diperakui oleh Allah Yang Maha Pencipta di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Luqman:14)
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan susah payah. Sedang tempoh kehamilan beserta tempoh menceraikan susunya ialah dalam tiga puluh bulan.” (Al-Ahqaf:15)

Pelbagai bentuk kesukaran dan kepayahan dialami sama ada dari segi fizikal, spritual, mental dan emosinal.
Selain itu, kelahiran anak juga membawa bersamanya amanah serta tanggungjawab yang besar yang dipikulkan ke atas bahu ayah dan ibu. Mereka diamanahkan supaya mendidik anak-anak agar menjadi anak yang soleh, selamat dari siksaan api neraka. Allah Ta’ala berfirman maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (At-Tahrim:6)
Amanah serta tanggungjawab yang berat ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan baik tanpa persediaan yang sewajarnya. Justeru, menurut Prof Dr Omran, lima keupayaan asas mesti ada  pada sesebuah keluarga Muslim: kesejahteraan fizikal, kemampuan ekonomi, keupayaan emosi, kelapangan masa dan sokongan social.

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi, pada zaman Nabi s.a.w. para sahabat r. ‘anhum melakukan ‘azal untuk mengelakkan isteri mereka dari mengandung seperti dinyatakan oleh Jabir bin Abdullah r. ‘anhu: “Kami melakukan ‘azal, pada hal al-Quran masih lagi turun.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Kata-kata Jabir menunjukkan bahawa perbuatan itu tidak dilarang oleh Allah dan Rasul. Namun terdapat Hadis yang melarang suami melakukan ‘azal tanpa keizinan isteri.
Mengulas perkara ini, Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata, larangan melakukan ‘azal tanpa izin isteri menunjukkan bahawa isu merancang keluarga seharusnya dipersetujui oleh kedua-dua pihak kerana rumahtangga merupakan perkongsian yang diasaskan di atas kerjasama dan persefahaman. Sebagai contoh, dalam urusan penyusuan anak-anak, Allah perintahkan agar ibu bapa berbincang dan mendapat persetujuan bersama, “Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya).” (Al-Baqarah:233)
Beliau menyatakan keadaan-keadaan yang membolehkan pasangan merancang untuk melewatkan menerima cahaya mata ialah pasangan mahu menikmati kehidupan berdua-duaan tanpa diganggu kehadiran anak-anak dalam masa yang terlalu cepat, atau kedua-duanya berkahwin dalam usia yang muda yang memang digalakkan untuk mengelakkan diri dari maksiat, atau keadaan isteri yang masih belajar dan dia mahu menumpukan perhatian kepada mempelajaran sehingga tamat.

Di dalam kitab Ihya’ Ulumud-Din, Imam al-Ghazali berkata bahawa ‘azal tidak haram dan tidak makruh tetapi khilaf aula, iaitu berlawanan dengan sesuatu yang lebih utama berdasarkan kepada niat. Di sana terdapat niat yang tidak baik dan ada juga niat yang baik. Menurutnya, antara niat yang baik ialah isteri mahu menjaga kejelitaan serta keanggunan tubuh badannya untuk memberi kepuasan kepada suaminya menikmati yang halal. Niat seperti ini adalah baik dan diterima di sisi Syara’. Begitu juga seorang yang terbeban dengan urusan mencari rezeki yang halal sehingga tiada masa untuk berehat dan seumpamanya, maka dia tidak diberatkan memaksa diri bekerja keras demi semata-mata untuk menanggung bilangan keluarga yang ramai. Cukup baginya bekerja secara sederhana menurut kemampuannya.


Sebagai kesimpulannya, Islam tidak melarang merancang keluarga dengan syarat ia dilakukan dengan niat yang baik, mendapat persetujuan kedua-dua pihak; suami dan isteri serta kaedah yang digunakan mestilah selamat dan tidak membahayakan dengan mendapat nasihat serta saranan dari doktor pakar yang amanah. Ini kerana Islam melarang apa jua yang mudarat atau yang boleh mendatangkan mudarat. Sabda Nabi s.aw. bermaksud: “Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh memudaratkan.” Riwayat Ibn Majah dan lain-lain.

Monday, May 11, 2015

IBU MERTUA vs IBU SENDIRI

Soalan:

Assalamualaikum ustazah. Nak minta pencerahan sikit dari ustazah. Harap ustazah dpt membantu saya menjawab persoalan ini.

Soalan saya.. Saya nak minta pandangan dari ustazah. Adakah selepas kita berkahwin (anak perempuan) kita perlu mengutamakan emak mertua kita berbanding emak kita sndiri? Kemudian bagaimanakah sepatutnya layanan seorang menantu lelaki terhadap ibu mertuanya. Adakah sama kedudukannya dgn emaknya sendiri?
Harap ustazah dpt memahami soalan saya.. Saya mohon sangat pencerahan dari ustazah.

Saya dahului dgn jazakillahhu khairan kathira..

Jawapan:

Wa'alaikumus-salam wrwb.
Allah Ta’ala perintahkan agar anak-anak berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Cuba kita renung maksud firmanNya ini:
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "uff" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.” (Al-Isra’: 23-25)

Perintah berbuat baik kepada kedua ibu bapa yang terkandung di dalam ayat di atas, ditujukan kepada semua anak tanpa mengira lelaki atau perempuan, tua atau muda, sudah berkahwin atau belum berkahwin. Tambahan pula, kalau diperhatikan di dalam ayat di atas Allah menyebutkan “Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu…”. Ini secara tidak langsung menggambarkan ibu bapa yang telah tua sepatutnya berada di bawah jagaan anak-anak. Dan pada ketika ibu bapa telah tua, biasanya anak-anak mereka telah memasuki gerbang rumahtangga. Ketika ibu bapa masih muda, anak-anak mereka masih kecil dijaga oleh mereka.

Kalau seorang perempuan yang telah berkahwin disuruh mengutamakan ibu mertuanya, siapa pula yang akan menjaga ibunya? Mungkin ada yang menjawab, anak lelakinya. Kalau ibu tidak mempunyai anak lelaki?

Sesungguhnya antara kewajipan seorang suami ialah melayani isterinya dengan baik sebagaimana yang diperintahkan Allah di dalam firmanNya yang bermaksud: “dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (An-Nisaa’:19)

Melayani isteri dengan baik termasuklah menghormati ibu bapanya dan tidak memutuskan silatul-rahim isteri dengan kedua ibu bapa dan kaum keluarganya. Memutuskan silatul- Rahim adalah satu daripada dosa-dosa besar. Adakah munasabah dan bersesuaian dengan prinsip Islam, seorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan, kemudian ibu bapanya diabaikan?


Saya tidak fikir seorang suami hanya wajib berbuat baik kepada ibunya sahaja sedangkan ibu mertuanya tidak. Pada pendapat saya, setiap anak mesti memberi layanan yang sama kepada kedua pihak, ibu sendiri dan ibu mertua kerana kedua-duanya sangat besar jasa kepada kita. Ibu melahirkan dan mendidik kita, ibu mertua melahirkan dan mendidik pasangan kita. Tanpa ibu mertua, tidak adalah isteri atau suami kita. Kalau kita sayangkan isteri atau suami kita, sepatutnya kita sayangi orang yg melahirkannya. Oleh itu, tidak patut timbul ibu sendiri dan ibu mertua. Pasangan suami isteri wajib merasakan bahawa kedua-duanya adalah ibu mereka dan mereka wajib berbakti kepada kedua-duanya. Allahu A'lam 

Friday, May 8, 2015

HUKUM TIDUR SELEPAS SUBUH

Soalan:

Ustazah, apakah hukum tidur selepas subuh? Betulkah ia membawa kepada kekufuran?

Jawapan:

Nabi s.a.w. tidak tidur selepas subuh. Kebiasaan baginda s.a.w. dan para sahabat r.a. apabila mereka menunaikan solat subuh, mereka duduk di tempat solat sehingga terbit matahari. Sammak bin Harb meriwayatkan: "Aku bertanya Jabir bin Samurah, "adakah kamu pernah duduk bersama Rasulullah s.a.w.?" Samurah menjawab, "ya, banyak kali. Baginda tidak bangkit dari tempat Baginda menunaikan solat subuh sehinggalah matahari terbit. Maka apabila matahari terbit, Bagindapun bangkit. Mereka bercakap-cakap, menyebut-menyebut tentang urusan jahiliah. Mereka sama-sama ketawa dan Baginda tersenyum." Hadis sahih riwayat Muslim

Di samping itu, Nabi s.a.w. memohon supaya Allah berkati umatnya di waktu pagi mereka. Sokhar al-Ghamidi berkata, Rasulullah s.a.w. berdoa (maksudnya): "Ya Allah, berkatilah untuk umatku pada waktu paginya". Dan menjadi kebiasaan baginda apabila menghantar satu angkatan perisik atau tentera, baginda akan menghantarnya pada waktu awal pagi."
Dan Sokhar merupakan seorang peniaga. Dia sentiasa memulakan urusan perniagaannya di awal pagi. Maka dia memperoleh kekayaan dan harta yang banyak. Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibn Majah dengan sanad yang terdapat padanya perawi yang tidak dikenali.

Berdasarkan ini, sebahagian salaf tidak suka tidur selepas subuh. Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada Urwah bin Zubair dengan sanad yang sahih bahawa Zubair melarang anak-anaknya tidur selepas subuh.

Kesimpulannya, lebih utama bagi seseorang itu mengisi waktunya pada ketika itu (selepas subuh) dengan perkara yang mendatangkan manfaat untuknya di dunia dan akhirat. Namun sekiranya dia tidur untuk mendapat kekuatan untuk melakukan amal, tidak mengapa kerana tidak terdapat dalil yang melarang. Lebih-lebih lagi sekiranya tidak ada kesempatan untuknya tidur dan berehat kecuali pada waktu itu.
Terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah bahawa Nabi s.a.w. melarang tidur sebelum terbit matahari. Namun hadis itu dhaif.

Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada Abi Yazid al-Madani bahawa Umar bin al-Khattab r.a. datang ke rumah Suhaib di waktu pagi. Dia dapati Suhaib tidur selepas subuh. Maka dia duduk menunggu sehingga Suhaib terjaga. Selepas sedar dari tidurnya Suhaib lantas berkata: "Amirul-Mukminin duduk di tempat duduknya sedangkan Suhaib tidur selepas subuh!?" Umar menjawab: "Aku tidak suka engkau meninggalkan tidur engkau yang enak buatmu."


Shaikh Muhammad bin Soleh al-'Uthaimin berkata, yang afdhal bagi seseorang insan menggunakan masa selepas subuh dengan zikir, tilawah, tasbih, tahlil, tahmid atau lain-lain kerana Allah berfirman maksudnya: "dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu (terutama) sebelum terbit matahari dan sebelum matahari terbenam.” (Qaf:39). Namun sekiranya dia mengantuk, tidak berdosa dia tidur. Setiap insan seharusnya tidur apabila badannya memerlukan tidur kerana badannya mempunyai hak. Ini selagi mana tidur itu tidak menghalangnya dari menunaikan apa yang wajib ke atasnya. Allahu A’lam.