Soalan:
Ustazah, apakah hukum tidur selepas subuh? Betulkah ia
membawa kepada kekufuran?
Jawapan:
Nabi s.a.w. tidak tidur selepas subuh. Kebiasaan
baginda s.a.w. dan para sahabat r.a. apabila mereka menunaikan solat subuh,
mereka duduk di tempat solat sehingga terbit matahari. Sammak bin Harb
meriwayatkan: "Aku bertanya Jabir bin Samurah, "adakah kamu pernah
duduk bersama Rasulullah s.a.w.?" Samurah menjawab, "ya, banyak kali.
Baginda tidak bangkit dari tempat Baginda menunaikan solat subuh sehinggalah matahari
terbit. Maka apabila matahari terbit, Bagindapun bangkit. Mereka
bercakap-cakap, menyebut-menyebut tentang urusan jahiliah. Mereka sama-sama
ketawa dan Baginda tersenyum." Hadis sahih riwayat Muslim
Di samping itu, Nabi s.a.w. memohon supaya Allah
berkati umatnya di waktu pagi mereka. Sokhar al-Ghamidi berkata, Rasulullah
s.a.w. berdoa (maksudnya): "Ya Allah, berkatilah untuk umatku pada waktu
paginya". Dan menjadi kebiasaan baginda apabila menghantar satu angkatan
perisik atau tentera, baginda akan menghantarnya pada waktu
awal pagi."
Dan Sokhar merupakan seorang peniaga. Dia sentiasa
memulakan urusan perniagaannya di awal pagi. Maka dia memperoleh kekayaan dan
harta yang banyak. Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibn Majah dengan sanad yang
terdapat padanya perawi yang tidak dikenali.
Berdasarkan ini, sebahagian salaf tidak suka tidur
selepas subuh. Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada Urwah bin Zubair dengan
sanad yang sahih bahawa Zubair melarang anak-anaknya tidur selepas subuh.
Kesimpulannya, lebih utama bagi seseorang itu mengisi
waktunya pada ketika itu (selepas subuh) dengan perkara yang mendatangkan
manfaat untuknya di dunia dan akhirat. Namun sekiranya dia tidur untuk mendapat
kekuatan untuk melakukan amal, tidak mengapa kerana tidak terdapat dalil yang
melarang. Lebih-lebih lagi sekiranya tidak ada kesempatan untuknya tidur dan
berehat kecuali pada waktu itu.
Terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah
bahawa Nabi s.a.w. melarang tidur sebelum terbit matahari. Namun hadis itu
dhaif.
Ibn Abi Syaibah meriwayatkan daripada Abi Yazid
al-Madani bahawa Umar bin al-Khattab r.a. datang ke rumah Suhaib di waktu pagi.
Dia dapati Suhaib tidur selepas subuh. Maka dia duduk menunggu sehingga Suhaib
terjaga. Selepas sedar dari tidurnya Suhaib lantas berkata:
"Amirul-Mukminin duduk di tempat duduknya sedangkan Suhaib tidur selepas
subuh!?" Umar menjawab: "Aku tidak suka engkau meninggalkan tidur
engkau yang enak buatmu."
Shaikh Muhammad bin Soleh al-'Uthaimin berkata, yang
afdhal bagi seseorang insan menggunakan masa selepas subuh dengan zikir,
tilawah, tasbih, tahlil, tahmid atau lain-lain kerana Allah berfirman
maksudnya: "dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu
(terutama) sebelum terbit matahari dan sebelum matahari terbenam.” (Qaf:39).
Namun sekiranya dia mengantuk, tidak berdosa dia tidur. Setiap insan seharusnya
tidur apabila badannya memerlukan tidur kerana badannya mempunyai hak. Ini
selagi mana tidur itu tidak menghalangnya dari menunaikan apa yang wajib ke
atasnya. Allahu A’lam.
No comments:
Post a Comment