Thursday, October 27, 2011

Solat Sunat Isyraq

Soalan:

Saya inginkan penjelasan mengenai solat sunat Isyraq, bilakah waktunya, apakah kelebihannya dan berapakah rakaatnya?

Jawapan:

Ulamak tidak sekata mengenai solat sunat Isyraq. Kata Shaikh Daud Fatoni:

“Dan bersalah-salahan ulamak pada sunat Isyraq. Kata Shaikh Mazjad, lain daripada Dhuha, dan mengikutkan dia Shaikh Ibn Hajar pada ‘Tuhfah’. Dan waktunya mengiringi isyraq dan kemudian daripada waktu karahah. Kata Ramliy, ialah sunat Dhuha dan dinamakan dia pula sembahyang Awwabin.”

(Bughyah at-Tullab, juzuk 1, hal 170.)

Shaikh Ibn Hajar al-Haitami ditanya tentang solat Isyraq yang disebut oleh Imam al-Ghazali di dalam Ihya’nya. Maka beliau menjelaskan seperti berikut:

“Al-Ghazali berkata, dua rakaat Isyraq lain daripada Dhuha. Waktunya ialah ketika matahari naik sekadar rumhi (shaft/aci). Inilah solat yang disebut di dalam firman Allah Ta’al ( يُسَبِّحْنَ بِالْعَشِيِّ وَالإِشْرَاقِ ) bermaksud: “Dia bertasbih di waktu malam dan isyraq”. Maksud bertasbih ialah bersolat.

Kata Ibn Hajar, al-Ghazali menjadikan solat Isyraq itu lain daripada Dhuha perlukan penelitian. Terdapat di dalam ‘al-Mustadrak’, daripada Ibn Abbas r.a. solat itu dinamakan solat al-Awwabin yang merupakan solat Dhuha. Nabi s.a.w. bersabda ( لا يحافظ على صلاة الضحى إلا أواب ). Maksudnya: “Tidak menjaga solat Dhuha kecuali awwab (orang yang taat)”. Riwayat al-Hakim. Dia berkata, hadis ini sahih mengikut syarat Muslim.

Dengan ini, menurut Mazhab (asy-Syafi’ei), adalah tidak harus dilakukan dengan niat solat Isyraq kerana tidak ada satupun dalil mengenainya. Kemudian aku melihat di dalam ‘al-Jawahir’, diriwayatkan daripada sebahagian mereka bahawa solat Isyraq itu adalah solat Dhuah, ia selari dengan apa yang aku ketahui.”

(الْفَتَاوَى الْفِقْهِيَّة الْكُبْرَى )

Shaikh al-Jaml Sulaiman bin Umar berkata:

“Yang muktamad, bahawa solat Isyraq lain daripada solat Dhuha. Ia termasuk solat-solat yang tidak disunatkan berjamaah, iaitu dua rakaat selepas habis waktu karahah. Dan ia lain daripada solat Dhuha.”

(فُتُوحَات الْوَهَّاب بِتَوْضِيحِ شَرْح مَنْهَج الطلاب الْمَعْرُوف بِحَاشِيَةِ الْجَمْل )

Menurut Shaikh Bin Baz:

Solat Isyraq adalah solat Dhuha pada awal waktunya, bukan dua solat yang berlainan. (Majmuk Fatawa Bin Baz, 11/401)

Waktu solat Dhuha, bermula daripada terbit matahari dan meninggi sehingga hampir masuk waktu Zohor.

Anggaran yang dibuat oleh Shaikh Ibn Uthaimin ialah suku jam selepas syuruq sehingga hampir masuk waktu Zohor kira-kira 10 minit. (Asy-Syarh al-Mumatti’ 4/122)

Semua waktu itu adalah waktu untuk solat Dhuha.

Dan yang afdhal ialah solat ketika matahari telah panas terik kerana Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Solat Awwabin ialah ketika anak-anak unta berasa kepanasan.” (Riwayat Muslim). Para ulamak mengganggarkan waktu ini ialah selepas berlalu ¼ hari atau di tengah-tengah antara terbit matahari dengan masuknya waktu solat Zohor.

Menurut Shaikh Soleh al-Fauzan, solat yang dilakukan selepas terbit matahari di kaki langit sehingga ia hampir-hampir tegak di dada langit, semua itu adalah solat Dhuha. Adapun solat Isyraq, ia merupakan solat yang disebut oleh orang awam. Sebenarnya ia solat Dhuha. Minimumnya 2 rakaat dan maksimumnya 8 dengan salam setiap dua rakaat. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Solat (sunat) malam dan siang adalah dua, dua.” Dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasaei dan Ibn Majah dengan isnad yang sahih daripada Hadis Ibn Umar r.a.

Walaupun kebanyakan ulamak berpendapat maksimum solat Dhuha lapan rakaat berdasarkan Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Ummu Hani’ bahawa baginda melakukan solat dhuha di rumahnya ketika Fathu Makkah sebanyak lapan rakaat, terdapat segolongan ulamak yang mengatakan tiada had maksimum berdasarkan kata-kata Rasulullah s.a.w. kepada ‘Amru bin ‘Abasah r.a. bermaksud: “Apabila kamu telah solat fajar (subuh), maka berhentilah daripada solat sehingga matahari terbit sekadar rumh. Kemudian solatlah kerana sesungguhnya solat pada waktu itu dihadiri dan disaksi sehingga matahari berdiri tegak.” Dikeluarkan oleh Muslim. Dalam Hadis ini Nabi s.a.w. perintahkan ‘Amru bersolat tanpa dihadkan bilangan rakaatnya.

Sunday, October 23, 2011

Fadhilat Surah al-Kafirun dan Surah al-Ikhlas

Soalan

Salam ustazah,

Maaf ganggu. Saya sekadar ingin tahu kenapa dlm solat-solat sunat, selalu disuruh baca surah al-kafirun pada rakaat pertama dan al-ikhlas pada rakaat ke 2 selepas al-Fatihah. Adakah itu sunnah atau kerana fadhilat tertentu? Bagaimana kalau baca surah-surah lain?

Trm kasih ustazah di atas penjelasan. Wassalam.

Jawapan

Salam.

Terdapat riwayat bahawa di dalam solat-solat tertentu baginda s.a.w. membaca kedua-dua surah tersebut. Antaranya, Rasulullah s.a.w. membaca kedua-kedua surah tersebut di dalam solat sunat subuh sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim. Ada riwayat Rasulullah s.a.w. memerintahkan agar bersolat tetapi tidak dinyatakan apakah surah yang perlu dibaca. Umapamanya Hadis mengenai solat hajat, at-Tirmizi meriwayatkan daripada Abdullah bin Abi Aufa, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai hajat daripada Allah atau daripada seseorang bani Adam, maka hendaklah dia mengambil wuduk serta mengelokkan wuduknya, kemudian hendaklah dia bersolat dua rakaat. Kemudian hendaklah dia memuji Allah, berselawat ke atas Nabi, kemudian berkata:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلَامَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ لَا تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ وَلَا حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلَّا قَضَيْتَهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Dalam Hadis tersebut tidak dinyatakan apakah surah yang perlu dibaca. Ertinya boleh dibaca apa-apa surah sekalipun.

Mengapa ulamak sering menyarankan agar dibaca surah al-Kafirun dan al-Ikhlas?

Ini kerana kedua-dua surah itu mempunyai kelebihan tertentu.

Daripada Ibn Abbas r.a., surah al-Kafirun menyamai ¼ al-Quran. (Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim)

Dan daripada Abi Sa’eid al-Khudri r.a., Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Surah al-Ikhlas menyamai 1/3 al-Quran.”

Bayangkan kalau dalam rakaat pertama baca empat kali surah al-Kafirun dan rakaat ke dua pula baca tiga kali surah al-Ikhlas, maka kita seolah-olah telah khatam al-Quran dua kali dalam dua rakaat. Hebat bukan?

Sunday, October 2, 2011

Sedekah Qurban?

Soalan:
Salam Ustazah, apa maksud sedekah qurban? Adakah ia sama dengan kita melakukan qurban pada hari raya haji?
trm kasih, ustazah.

Jawapan:
Salam.
Maaf, ana kurang pasti maksud sebenar istilah ‘sedekah quran’. Adakah ia bermaksud sedekah daging qurban atau sedekah duit sebanyak nilai binatang untuk orang lain buat qurban?

Sedia maklum bahawa qurban merupakan satu ibadah yang amat dituntut. Setengah ulamak seperti ath-Thauri, al-Auza’ei, al-Laith dan Abu Hanifah berpendapat ibadah qurban adalah wajib. Hujjah mereka ialah Hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Majah bermaksud: “Sesiapa yang ada kelapangan (dari segi harta), tetapi dia tidak melakukan ibadah qurban, maka janganlah dia menghampiri musalla (masjid) kami.” Mereka berhujjah, Nabi melarang orang kaya yang tidak melakukan ibadah qurban mendatangi masjid menunjukkan qurban itu wajib. Kalau qurban itu tidak wajib, tak mungkin orang yang tidak melakukannya diancam begitu rupa.
Namun jumhur atau majority ulamak berpendapat qurban adalah sunat muakkad, bukan wajib. Antara dalilnya ialah Hadis yang dikeluarkan oleh Muslim bermaksud: “Apabila kamu melihat anak bulan Zul Hijjah, dan salah seorang daripada kamu hendak melakukan ibadah qurban, maka hendaklah dia jangan memotong rambut dan kukunya.” Hadis ini memberikan gambaran ada orang yang hendak melakukan qurban dan ada yang tidak. Jadi itu menunjukkan qurban itu sunat. Kalau ia wajib, tentu semua orang wajib buat sama ada hendak atau tidak.

Fadilat qurban sangat besar. Daripada Zaid bin Arqam r.a., beliau dan sahabat-sahabat bertanya Rasulullah s.a.w., “Wahai Rasulullah, apa sebab dilakukan qurban?” Baginda menjawab, “Ini adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim.” Mereka bertanya lagi, “Apa yang kami dapat daripadanya?” Baginda menjawab, “Setiap helai rambut (binatang qurban itu) satu hasanah.” Mereka bertanya lagi, “Bulu?” Baginda bersabda, “Setiap satu helai rambut daripada bulunya itu satu hasanah.” Riwayat Ahmad, Ibn Majah dan al-Hakim.

Daging binatang qurban itu sunat dibahagi tiga; untuk makan, hadiah dan sedekah dan harus juga disedekahkan semuanya.

Jadi, sekiranya maksud sedekah qurban itu sedekah daging binatang qurban, maka itu menepati maksud melakukan ibadah qurban.

Tetapi jika maksud sedekah qurban itu, beri sedekah duit untuk orang lain buat qurban, maka ia bukan daripada sunnah.

Jika seseorang muslim memberi sedekah wang sebanyak harga seekor kambing umpamanya kepada seseorang supaya orang itu buat qurban, maka dia tidak dikira telah melakukan ibadah qurban.

Melakukan ibadah qurban lebih afdhal daripada mensedekahkan harganya. Demikian ditegaskan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain. Rasulullah s.a.w. sendiri melakukan qurban. Begitu juga Khulafa’ ar-Rasyidin dan para sahabat selepas Baginda. Sekiranya sedekah harganya itu lebih afdhal, tentu mereka melakukannya. (Al-Mughni, jzk 8, hal. 618)