Monday, October 30, 2017

Wanita di Dalam Iddah Kematian

Soalan:

Salam.   

Ustzh, saya ada satu kemusykilan. Mohon penjelasan ttg hukum wanita yg kematian suami. Baru-baru ni kawan saya, suaminya meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya. Jenazah dimandi dan dikafankan di hospital. Kemudian dibawa ke surau taman untuk disembahyangkan. Kawan saya tidak sempat menziarahinya di hospital. Tetapi dia ke surau untuk sama-sama sembahyang jenazah dan menatap wajahnya buat kali terakhir, kemudian turut mengiringi jenayah hingga ke kubur bersama ahli keluarga.
Dia dimarahi oleh abang iparnya. Katanya, apabila suami meninggal isteri wajib beriddah. Wanita dalam iddah haram keluar rumah kecuali kerana darurat sahaja.
Kawan saya sangat susah hati, ustzh. Dah la suami meninggal secara mengejut, solatkan jenazahnya pun berdosa?

Jawapan:

Wassalam.

Ucapan takziah kepada kawan puan. Moga Allah berikannya ganjaran sabar dan gantikannya dengan yang lebih baik.

Terdapat beberapa hukum berkaitan dengan persoalan yang ditanyakan.

1.         Hukum wanita solat jenazah. Solat ke atas jenazah adalah fardhu kifayah yang dituntut ke atas umat Islam. Dan tidak terdapat nas yang melarang wanita solat ke atas jenazah. Ini menunjukkan wanita juga harus melaksanakannya. Hal ini disepakati oleh imam-imam semua mazhab.

2.         Hukum tasyyie atau mengiringi jenazah hingga ke kubur. Mengiringi jenazah adalah satu daripada tanggungjawab muslim ke atas saudaranya. Namun wanita tidak digalakkan melakukannya. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ummu Atiyyah r.a. bahawa beliau berkata maksudnya: “Kami (kaum wanita) dilarang dari mengiringi jenazah. Tetapi tidak dipertegaskan ke atas kami.” Ibn Hajar berkata: “ia bermaksud bahawa larangan mengiringi jenazah tidak dipertegaskan sebagaimana larangan-larangan lain. Seolah-olahnya beliau berkata, Baginda tidak suka kami mengiringi jenazah, namun tidak mengharamkannya.” Al-Qurtubi pula berkata: “Zahir kata-kata Ummu Atiyyah itu menunjukkan larangan tanzih, iaitu bukan larangan tahrim. Inilah pendapat majority ahli ilmu. Imam Malik cenderung mengatakan harus. Demikian juga pendapat ahli (penduduk) Madinah. Dalil yang menunjukkan harus ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. sedang mengiringi jenazah. Tiba-tiba Umar r.a. terpandang seorang wanita turut mengiringi, lalu beliau menegur wanita itu. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Biarkanlah dia wahai Umar…” Hadis ini dikeluarkan juga oleh Ibn Majah dan an-Nasaei. Juga terdapat daripada jalur lain yang perawinya adalah tsiqah.”

3.         Hukum wanita dalam iddah keluar rumah. Dalam hal ini terdapat firman Allah yang bermaksud: “Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).” (At-Talaaq 65:1)

Kalau dilihat kepada perbahasan fuqaha’ tentang ayat di atas, kita dapati mereka memfokus kepada hak dan tanggungjawab wanita beriddah untuk tinggal menetap di rumah tempat dia tinggal bersama suaminya sebelum bercerai sama ada cerai hidup atau mati. Wanita beriddah tidak boleh berpindah dari rumah itu sepanjang berada dalam iddah kecuali dalam keadaan darurat seperti rumah tidak selamat untuk diduduki, tuan rumah tidak mahu menyewakan lagi rumah itu, persekitaran kejiranan yang tidak aman dan seumpamanya.

Adapun keluar untuk menunaikan sesuatu keperluan di waktu siang tidaklah dilarang.

Di dalam kitab “Nihayah al-Muhtaj”, kitab fiqh Mazhab Syafie dinyatakan: “Wanita yang berada dalam iddah kematian boleh keluar dari rumah.. ini kerana dia tidak berhak mendapat nafkah, dan telah kehilangan orang yang bertanggungjawab menyara keperluan hidupnya. Maka dia harus keluar di waktu siang untuk membeli makanan dan berjual beli hasil tenunan dan sebagainya. Dalilnya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Jabir r.a. katanya: “Ibu saudaraku telah diceraikan suaminya. Dia keluar untuk memotong pokok khurmanya. Maka dia dimarahi seorang lelaki yang menghalangnya daripada keluar. Dia mengadu kepada Nabi s.a.w. Maka baginda bersabda kepadanya: “Potonglah pokok khurmamu. Mudah-mudahan kamu dapat bersedekah atau membuat sesuatu kebaikan.” Imam Syafie berkata: “Pokok khurma orang Ansar berdekatan dengan rumah. Dan memotongnya hanya dilakukan pada waktu siang.” Sekiranya terdapat orang yang boleh memenuhi keperluannya, tidak harus baginya keluar kecuali darurat. Begitu juga harus baginya keluar malam jika perlu dan ia tidak boleh dilakukan pada waktu siang. Harus juga baginya keluar di waktu malam ke rumah jiran untuk bertenun, berbual dan seumpamanya bagi menghilangkan kesunyian dengan syarat dia kembali tidur di rumahnya dan syarat yang mutlak adalah keselamatannya.”

Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Mujahid, katanya: “Ramai kaum lelaki syahid di dalam peperangan Uhud. Beberapa orang wanita yang tinggal berjiran dan suami mereka syahid datang mengadu kepada Rasulullah s.a.w. Mereka berkata: “Ya Rasulullah, kami berasa sunyi di waktu malam. Bolehkah kami tidur di rumah salah seorang daripada kami? Apabila siang, kami masing-masing pulang ke rumah kami?” Baginda menjawab: “Bercakaplah di rumah salah seorang kamu semahunya. Apabila kamu hendak tidur, pulanglah ke rumah masing-masing.”
Dr Abdul Karim mengulas hadis di atas dengan berkata: difahami daripada hadis di atas bahawa keuzuran yang membenarkan wanita dalam iddah keluar dari rumah  bukan terbatas pada keuzuran material sahaja, tetapi merangkumi keuzuran dari sudut kejiwaan seperti perasaan sunyi dan keseorangan.

Setelah membawakan beberapa pandangan fuqaha’, Dr Abdul Karim Zaidan menyimpulkan bahawa pada prinsipnya wanita di dalam iddah seharusnya tidak keluar dari rumah kecuali kerana terpaksa dan keuzuran yang dibenarkan oleh syara’. Syaratnya dia keluar dalam keadaan selamat dan sejahtera ke atas diri dan maruahnya. Dan syarat keluar kerana hajat atau bekerja mencari rezeki adalah tidak ada orang yang dapat memenuhi keperluannya.

Daripada perbincangan di atas, pada pendapat saya harus isteri ke masjid untuk menziarahi jenazah suami dan ikut solat jenazah ke atasnya bersama dengan ahli keluarga dalam keadaan menjaga batas pergaulan dan selamat dari fitnah dan bahaya bencana. Adapun mengiringi hingga ke kubur, seeloknya dielakkan kerana tidak ada keperluan dan menghormati pendapat yang mengatakan haram.

Allahu A’lam.


Jawapan disunting daripada kitab “Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar’ah”, jilid 9

Saturday, August 26, 2017

KELEBIHAN HARI ARAFAH

SOALAN:

Saya selalu mendapat WA daripada pelbagai pihak mengajak supaya membanyakkan doa pada Hari Arafah, iaitu jemaah haji sedang berwuquf di sana.
Jadi, saya ingin tahu apakah kelebihan Hari Arafah? Adakah ianya khusus untuk mereka yang mengerjakan haji sahaja atau untuk semua orang di semua tempat?

JAWAPAN:

Banyak kelebihan Hari Arafah. Antaranya:

1. Hari Arafah, 9 Zulhijjah termasuk dalam senarai hari-hari terbaik di dunia (10 pertama bulan Zulhijjah). Ia juga termasuk di dalam bulan haram, iaitu empat bulan yang dimuliakan: Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab.

2. Hari Arafah adalah hari yang disempurnakan agama ini dengan turunnya ayat ke 3 Surah al-Maidah yang bermaksud: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” Umar bin al-Khattab r.a. berkata: “Seorang Yahudi berkata kepadanya: “Wahai Amirul-Mu’minin, sepotong ayat yang terdapat di dalam kitab kamu yang kamu membacanya, kalaulah ia diturunkan kepada kami orang-orang Yahudi, nescaya kami menjadikan hari turunnya ayat itu sebagai hari raya.” Umar bertanya: “Ayat yang mana?” Yahudi itu menjawab: “Ayat ke 3 surah al-Maaidah”.
Umar r.a. berkata: “Sesungguhnya kami telah mengetahui hari diturunkan ayat itu. Iaitu ketika baginda s.a.w. berdiri (wuquf) di Arafah pada hari Jumaat.”

3. Ganjaran paling besar bagi mereka yang berpuasa sunat pada Hari Arafah. Nabi s.a.w. ditanya mengenainya. Lalu baginda bersabda maksudnya: “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang.” Riwayat Muslim. Namun, puasa pada Hari Arafah tidak disunatkan ke atas mereka yang sedang berwuquf.

4. Hari pembebasan dari api neraka. Daripada Aisyah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada hari yang paling banyak Allah memerdekakan hambaNya dari neraka lebih daripada Hari Arafah. Sesungguhnya Dia menghampiri kemudian berkata dengan bangga kepada para malaikat: “Apa yang mereka itu kehendaki?” Riwayat Muslim (1348)

5. Hari paling afdhal untuk berdoa. Daripada Abdullah bin ‘Amru r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sebaik-baik doa doa Hari Arafah. Dan sebaik-baik ucapan aku serta nabi-nabi sebelumku, la ilaha illa Allah, wahdahu la syarika lahu, lahul-mulku walahul-hamdu, wahuwa ‘ala kulli syaiein qdir.” Riwayat at-Tirmizi (3585)

Hadis di atas menunjukkan kelebihan berdoa pada Hari Arafah.
Adakah kelebihan itu khusus untuk mereka yang mengerjakan haji dan sedang berwuquf di Arafah atau merangkumi seluruh pelusuk bumi?

Ulamak berbeza pendapat tentang hali itu.
Menurut Sheikh Muhammad Soleh Al-Munjid, yang arjah (lebih rajih) ianya menyeluruh. Kelebihan itu terletak pada harinya. Namun tidak diragui bahawa orang yang sedang berwuquf itu memperolehi semua kelebihan, iaitu kelebihan tempat dan kelebihan masa.

Sheikh al-Baji berkata: “Doa paling afdhal adalah hari Arafah” bermaksud zikir yang paling berkat, paling besar ganjarannya dan paling hampir perkenannya. Kemungkinan ianya khusus untuk mereka yang sedang mengerjakan haji sahaja kerana maksud doa Hari Arafah itu menepati mereka dan dikhususkan untuk mereka. Dan sesungguhnya disifatkan hari itu sebagai Hari Arafah adalah semata-mata kerana berkaitan dengan amalan mereka yang mengerjakan haji padanya.” Al-Muntaqa Syarah al-Muwatto’ (358/1)

Terdapat riwayat yang sahih daripada sebahagian salaf bahawa mereka mengharuskan “ta’rif” iaitu berkumpul di masjid-masjid untuk berdoa dan berzikir pada Hari Arafah. Antara mereka yang berbuat demikian ialah Ibn Abbas r.a.
Imam Ahmad bin Hanbal mengatakan ianya harus walaupun beliau sendiri tidak berbuat demikian.

Al-Qadhi berkata: “Tidak mengapa melakukan “ta’rif” (beramal seperti sedang wuquf di Arafah) di waktu petang Hari Arafah di bandar-bandar lain daripada Arafah. Al-Athram berkata: “Aku bertanya Abu Abdullah (Imam Ahmad) tentang “ta’rif” di bandar-bandar, di mana mereka berkumpul di masjid-masjid pada Hari Arafah.” Beliau menjawab: “Aku berharap ianya tidak mengapa. Dan ia telah dilakukan oleh bukan seorang (ramai orang)”. Dan Al-Athram meriwayatkan daripada Hasan bahawa dia berkata: “Orang pertama melakukan “ta’rif” di Basrah adalah Ibn Abbas r.a.

Ini menunjukkan bahawa mereka berpendapat kelebihan Hari Arafah tidak dikhususkan untuk mereka yang mengerjakan haji sahaja sekalipun tidak ada sebarang riwayat daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda berkumpul di masjid-masjid pada Hari Arafah untuk berzikir dan berdoa. Lantaran itu Imam Ahmad tidak melakukannya. Namun beliau tidak melarangnya kerana terapat riwayat ada sahabat yang melakukannya seperti Ibn Abbas dan ‘Amru bin Harith r.a.

Dipetik daripada:
https://islamqa.info/ar/70282
http://www.saaid.net/mktarat/hajj/155.htm

Wednesday, March 8, 2017

Memakai inai di tangan


Soalan:

Assalamu’alaikum Ustazah. Saya ingin mendapat penjelasan tentang hukum memakai inai dengan cara melukis corak di mana ada orang berkata ianya haram sebab menyerupai tattoo. Terima kasih.

Jawapan:

Wa’alaikumussalam wrwb.

Terdapat banyak dalil-dalil yang menunjukkan wanita harus memakai inai di jari atau di tapak tangan.  Aisyah r.a. menceritakan:

أَوْمَتْ امْرَأَةٌ مِنْ وَرَاءِ سِتْرٍ بِيَدِهَا كِتَابٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَبَضَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَهُ فَقَالَ مَا أَدْرِي أَيَدُ رَجُلٍ أَمْ يَدُ امْرَأَةٍ قَالَتْ بَلْ امْرَأَةٌ قَالَ لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً لَغَيَّرْتِ أَظْفَارَكِ يَعْنِي بِالْحِنَّاءِ

Maksudnya: seorang perempuan menghulurkan kitab kepada Rasulullah s.a.w. dari belakang tabir. Rasulullah s.a.w. enggan menghulurkan tangannya untuk menerima kitab itu sambil berkata: “Aku tidak tahu, adakah tangan lelaki atau tangan perempuan?” Perempuan itu menjawab: “Perempuan”. Baginda bersabda: “Kalau engkau seorang perempuan, pasti engkau akan mengubah kuku-kukumu, iaitu dengan inai” Riwayat Abu Daud dan an-Nasa’i.

Di dalam riwayat al-Baihaqiy, Aisyah r.a.berkata maksudnya:
عَائِشَةَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهَا تَقُولُ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَكْرَهُ أَنْ يَرَى الْمَرْأَةَ لَيْسَ فِى يَدِهَا أَثَرُ حِنَّاءٍ أَوْ أَثَرُ خِضَابٍ.

“Rasulullah s.a.w. tidak suka melihat perempuan yang tiada di tangannya kesan inai.”

Memakai inai di kaki
Sebagaimana harus bagi wanita memakai inai di tangan, dari hujung jari hingga ke pergelangan, begitu juga harus memakai inai di kaki sehingga ke buku lali. Menurut mazhab asy-Syafi’i, sunat dan digalakkan bagi wanita yang bersuami kerana itu merupakan perhiasan untuk menyenangkan hati suami. Manakala wanita yang tidak bersuami, makruh memakainya.

Mencorakkan inai di tangan dan kaki

Ramai di kalangan wanita memakai inai dengan cara melukis pelbagai corak di tangan dan di kaki. Hadis-hadis yang berkaitan dengan keharusan wanita memakai inai, tidak menyebut cara-cara memakainya, sama ada mencelup seluruh tapak tangan, memakai di hujung jari atau melukis di belakang tapak tangan. Dan tiada pula larangan memakai cara-cara tertentu.


Ini boleh difahami bahawa semua cara adalah harus termasuk melukis corak. Sheikh Saleh bin Fauzan al-Fauzan berkata: tidak mengapa wanita memakai inai di tangan dan kaki dengan cara melukisnya atau cara-cara yang lain kerana mereka dituntut supaya berhias untuk suami mereka. Walaubagaimanapun, melukis corak gambar manusia dan haiwan yang lengkap adalah tidak harus kerana terdapat dalil mengharamkannya.

Tuesday, January 24, 2017

MENCUKUR SIDEBURN

SOALAN
"Banyak orang perempuan bila ambil wudhuk, dia selak rambut belah pipi (sideburn) ke belakang telinga.
Hukumnya TIDAK SAH ."

Rambut sideburn tu WAJIB kena air tak kira panjang mana pun.
Kalau rambut panjang, gunting bahagian sideburn tu pendek sebab tak sah kalau tak kena air wudhuk..
Kalau tak nak gunting, WAJIB keseluruhan rambut sideburn tu dibasuhkan, walaupun panjang sampai paras bahu.
Lelaki takpe sideburn dia pendek, jadi senang nak berwudhuk.
Assalammualaikum ustazah ,betul ke ni? Mohon pencerahan. Terima kasih


JAWAPAN

Wa’alaikumussalam wrwb.

Soalan yang dikemukakan nampak seolah-olah saudari tidak membezakan antara rambut dengan sideburn. Rambut adalah bulu yang tumbuh di kepala. Manakala sideburn atau jambang adalah bulu yang tumbuh di muka. Cuba lihat wajah saudari di cermin. Ada sideburn atau tidak?

Muka adalah satu daripada anggota yang wajib dibasuh ketika berwudhuk berdasarkan firman Allah ayat 6 surah al-Maidah. Menurut ulamak, batas muka adalah panjangnya daripada permulaan tumbuhnya rambut hingga tempat terakhir tumbuhnya janggut, manakala lebarnya daripada cuping telinga kiri hingga ke cuping telinga kanan. Semua bahagian itu wajib dibasuh termasuk bulu-bulu yang terdapat di muka.

Berkaitan dengan persoalan yang ditanyakan itu, saya petik tulisan asy-Syirazi di dalam kitabnya “Al-Muhazzab” yang disyarahkan oleh Imam an-Nawawi di dalam (Kitab al-Majmu’), jilid 1, halaman 382.

Asy-Syirazi berkata (maksudnya): “Dan tidak wajib membasuh kulit di bawah bulu yang tebal ketika berwudhuk kecuali pada lima tempat: hajib (kening), syarib (misai), ‘anfaqah (bulu yang tumbuh di bibir bawah), ‘izar (bulu yang tumbuh di muka manusia daripada cuping telinga sehingga ke pangkal janggut atau tempat permulaan tumbuh janggut), dan janggut wanita yang tebal (jika ada) kerana bulu-bulu di tempat ini biasanya nipis....”


Kulit muka yang ada di bawah lima bulu yang disebutkan itu wajib dibasuh atau dengan lain perkataan mesti disampaikan air basuhan muka ke situ ketika berwudhuk. Jadi, rambut manakah yang mesti dipotong? Sepanjang pengetahuan saya, bulu-bulu yang disebutkan itu kebiasaannya tidak terdapat di wajah wanita kecuali bulu kening.