Soalan:
Assalamu’alaikum Ustazah. Saya ingin mendapat penjelasan tentang hukum memakai
inai dengan cara melukis corak di mana ada orang berkata ianya haram sebab
menyerupai tattoo. Terima kasih.
Jawapan:
Wa’alaikumussalam
wrwb.
Terdapat banyak
dalil-dalil yang menunjukkan wanita harus memakai inai di jari atau di tapak
tangan. Aisyah r.a. menceritakan:
أَوْمَتْ
امْرَأَةٌ مِنْ وَرَاءِ سِتْرٍ بِيَدِهَا كِتَابٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَبَضَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ يَدَهُ فَقَالَ مَا أَدْرِي أَيَدُ رَجُلٍ أَمْ يَدُ امْرَأَةٍ قَالَتْ
بَلْ امْرَأَةٌ قَالَ لَوْ كُنْتِ امْرَأَةً لَغَيَّرْتِ أَظْفَارَكِ يَعْنِي
بِالْحِنَّاءِ
Maksudnya: seorang
perempuan menghulurkan kitab kepada Rasulullah s.a.w. dari belakang tabir.
Rasulullah s.a.w. enggan menghulurkan tangannya untuk menerima kitab itu sambil
berkata: “Aku tidak tahu, adakah tangan lelaki atau tangan perempuan?”
Perempuan itu menjawab: “Perempuan”. Baginda bersabda: “Kalau engkau seorang
perempuan, pasti engkau akan mengubah kuku-kukumu, iaitu dengan inai” Riwayat
Abu Daud dan an-Nasa’i.
Di dalam riwayat al-Baihaqiy,
Aisyah r.a.berkata maksudnya:
عَائِشَةَ
رَضِىَ اللَّهُ عَنْهَا تَقُولُ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم-
يَكْرَهُ أَنْ يَرَى الْمَرْأَةَ لَيْسَ فِى يَدِهَا أَثَرُ حِنَّاءٍ أَوْ أَثَرُ
خِضَابٍ.
“Rasulullah s.a.w.
tidak suka melihat perempuan yang tiada di tangannya kesan inai.”
Memakai
inai di kaki
Sebagaimana harus bagi
wanita memakai inai di tangan, dari hujung jari hingga ke pergelangan, begitu
juga harus memakai inai di kaki sehingga ke buku lali. Menurut mazhab
asy-Syafi’i, sunat dan digalakkan bagi wanita yang bersuami kerana itu
merupakan perhiasan untuk menyenangkan hati suami. Manakala wanita yang tidak bersuami,
makruh memakainya.
Mencorakkan
inai di tangan dan kaki
Ramai di kalangan
wanita memakai inai dengan cara melukis pelbagai corak di tangan dan di kaki. Hadis-hadis
yang berkaitan dengan keharusan wanita memakai inai, tidak menyebut cara-cara
memakainya, sama ada mencelup seluruh tapak tangan, memakai di hujung jari atau
melukis di belakang tapak tangan. Dan tiada pula larangan memakai cara-cara
tertentu.
Ini boleh
difahami bahawa semua cara adalah harus termasuk melukis corak. Sheikh Saleh
bin Fauzan al-Fauzan berkata: tidak mengapa wanita memakai inai di tangan dan
kaki dengan cara melukisnya atau cara-cara yang lain kerana mereka dituntut
supaya berhias untuk suami mereka. Walaubagaimanapun, melukis corak gambar
manusia dan haiwan yang lengkap adalah tidak harus kerana terdapat dalil
mengharamkannya.
No comments:
Post a Comment