Monday, October 26, 2009

Aurat Wanita Ketika Solat

Soalan:

benarkah seorang wanita yang hanya memakai tudung tanpa kekek(bahagian yang menutupi dagu seperti di telekong) tidak sempurna auratnya ditutup?

adakah kita harus pakai kekek kalau kita nak tutup aurat secara sempurna dan apa hukumnya kalau tak pakai.

Jawapan

Sempadan aurat bagi wanita ketika solat ialah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan (atas dan bawah). Di dalam bab aurat, fuqahak tidak menyebut sempadan muka. tetapi di dalam bab wuduk, mereka menyatakan sempadan muka dari segi memanjang bermula daripada tempat tumbuh rambut (bahagian atas) hingga bahagian paling bawah dagu dan dari segi lebarnya bermula daripada telinga hingga ke telinga. (Kitab Fikah Mazhab Syafie, jid 1, hal 70)
Jadi, kita boleh faham dari penerangan sempadan muka tersebut, dagu juga termasuk muka. Maka dagu tidak wajib ditutup. Allahu A'lam.

Sunday, October 11, 2009

Solat Tasbih

Soalan:

Saya banyak mendengar mengenai solat tasbih, tetapi kurang pasti apakah hukumnya serta bagaimana cara melakukannya?

Jawapan:

Menurut sebahagian ulamak, solat tasbih adalah sunat dilakukan oleh setiap muslim sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Mereka berpegang kepada hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab-kitab hadis.

Antaranya hadis riwayat Abu Dawud daripada Ibn ‘Abbas dan Ibn ‘Umar r.a. dan hadis riwayat at-Tirmizi daripada Abi Rafi’ r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepada al-‘Abbas bin Abdul Muttalib r.a. maksudnya: “Hai ‘Abbas! Hai Bapa saudaraku! Mahukah aku berikan kamu? Mahukah aku hadiahkan kamu? Mahukah aku hulurkan kepadamu? Mahukah aku lakukan bersamamu 10 kemuliaan, apabila kamu lakukan yang demikian itu Allah ampunkan dosamu: yang awal dan yang akhir, yang lama dan yang baru, yang salah dan yang sengaja, yang kecil dan yang besar, yang rahsia dan yang terbuka. 10 kemuliaan itu ialah engkau solat empat rakaat, engkau baca pada setiap rakaat al-Fatihah dan surah. Apabila telah selesai membacanya pada rakaat pertama, engkau berkata dalam keadaan engkau berdiri:
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ
(Suhanallah wal-hamdulillah wa la ilaha illa Allah) 15 kali, kemudian engkau ruku’ dan membacanya dalam keadaan ruku’ 10 kali, kemudian engkau mengangkat kepala daripada ruku’ dan membacanya 10 kali, kemudian engkau tunduk sujud dan membacanya dalam keadaan sujud 10 kali, kemudian engkau angkat kepala daripada sujud dan membacanya 10 kali, kemudian engkau sujud dan membacanya 10 kali, kemudian engkau angkat kepala dan membacanya 10 kali. Maka semua itu 75 kali pada setiap rakaat. Engkau lakukan yang serupa itu pada keempat-empat rakaat.
Sekiranya engkau mampu untuk melakukannya setiap hari, maka lakukanlah, jika tidak, maka lakukanlah setiap jumaat satu kali, jika tidak, maka lakukanlah setiap tahun satu kali, jika tidak, maka lakukanlah sepanjang umurmu satu kali.”

Perlu disebutkan juga bahawa sebahagian ulamak menolak kewujudan solat tasbih kerana hadis-hadis mengenainya tidak kuat. Antara yang menolak ialah al-‘Uqaily dengan katanya: tidak ada satu hadispun mengenai solat tasbih. Abu al-Farj bin al-Juziy menyebut beberapa hadis mengenai solat tasbih beserta sanadnya kemudian dia berkata bahawa semua hadis itu adalah dha’if. Dia juga menerangkan sebab-sebab kedha’ifannya.

Dipetik daripada kitab:
Yasalunaka 'anid-din wal-hayah, Prof Dr Ahmad asy-Syarbasiy, Universiti al-Azhar, jld 2, hal 64-65

Thursday, October 8, 2009

Puasa Enam dan Puasa Qada

Soalan:

Saya meninggalkan puasa Ramadhan selama enam hari kerana uzur syar’ei (haid), kemudian saya berpuasa enam hari dalam bulan Syawwal. Adakah puasa enam hari itu memadai untuk menggantikan puasa Ramadhan yang telah saya tinggalkan?
Huda, Uman.

Jawapan telah diberi oleh Prof Dr Muhammad Sayyid Ahmad al-Maseer, Universiti al-Azahar (29/10/2006):

Qada puasa Ramadhan wajib disempurnakan sebelum masuk bulan Ramadhan tahun berikutnya. Qada juga tidak wajib berturut-turut. Apa yang penting adalah seseorang itu menentukan niatnya pada hari dia hendak qada puasa yang ditinggalkannya kerana niat adalah satu rukun daripada rukun-rukun ibadah berdasarkan sabda Nabi s.a.w. bermaksud: “Sesungguhnya segala amalan itu dengan niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang dia niatkan”. Niat membezakan antara sesuatu ibadah dengan yang lain. Niatlah yang menentukan sama ada apa yang dilakukan itu sunat atau fardu.
Walau bagaimanapun, harus menyatukan niat sekiranya amalan itu sama, iaitu seseorang melakukan satu perbuatan dengan dua niat. Maka sesiapa yang mandi junub pada hari Jumaat, harus baginya niat mengangkat hadas besar dan mandi sunat Jumaat, sesiapa yang masuk masjid, harus baginya solat sunat qabliyyah dua rakaat dan diniatkan sekali sunat tahiyyatul-masjid. Begitulah juga sesiapa yang meninggalkan puasa Ramadhan selama enam, harus baginya puasa qada dan diniatkan serta sunat Syawwal dengan syarat dia hendaklah niat qada terlebih didahulu.
Jadi sekiranya penanya ini berpuasa enam hari dengan niat puasa Syawwal tanpa niat qada, maka dia hanya dapat pahala sunat sahaja. Dia wajib qada puasa Ramadhannya pada hari-hari yang lain.
Allahu A’lam.

Dipetik daripada:
http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar/FatwaA/FatwaA&cid=1161242208551