Sunday, October 11, 2009

Solat Tasbih

Soalan:

Saya banyak mendengar mengenai solat tasbih, tetapi kurang pasti apakah hukumnya serta bagaimana cara melakukannya?

Jawapan:

Menurut sebahagian ulamak, solat tasbih adalah sunat dilakukan oleh setiap muslim sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Mereka berpegang kepada hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab-kitab hadis.

Antaranya hadis riwayat Abu Dawud daripada Ibn ‘Abbas dan Ibn ‘Umar r.a. dan hadis riwayat at-Tirmizi daripada Abi Rafi’ r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepada al-‘Abbas bin Abdul Muttalib r.a. maksudnya: “Hai ‘Abbas! Hai Bapa saudaraku! Mahukah aku berikan kamu? Mahukah aku hadiahkan kamu? Mahukah aku hulurkan kepadamu? Mahukah aku lakukan bersamamu 10 kemuliaan, apabila kamu lakukan yang demikian itu Allah ampunkan dosamu: yang awal dan yang akhir, yang lama dan yang baru, yang salah dan yang sengaja, yang kecil dan yang besar, yang rahsia dan yang terbuka. 10 kemuliaan itu ialah engkau solat empat rakaat, engkau baca pada setiap rakaat al-Fatihah dan surah. Apabila telah selesai membacanya pada rakaat pertama, engkau berkata dalam keadaan engkau berdiri:
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ
(Suhanallah wal-hamdulillah wa la ilaha illa Allah) 15 kali, kemudian engkau ruku’ dan membacanya dalam keadaan ruku’ 10 kali, kemudian engkau mengangkat kepala daripada ruku’ dan membacanya 10 kali, kemudian engkau tunduk sujud dan membacanya dalam keadaan sujud 10 kali, kemudian engkau angkat kepala daripada sujud dan membacanya 10 kali, kemudian engkau sujud dan membacanya 10 kali, kemudian engkau angkat kepala dan membacanya 10 kali. Maka semua itu 75 kali pada setiap rakaat. Engkau lakukan yang serupa itu pada keempat-empat rakaat.
Sekiranya engkau mampu untuk melakukannya setiap hari, maka lakukanlah, jika tidak, maka lakukanlah setiap jumaat satu kali, jika tidak, maka lakukanlah setiap tahun satu kali, jika tidak, maka lakukanlah sepanjang umurmu satu kali.”

Perlu disebutkan juga bahawa sebahagian ulamak menolak kewujudan solat tasbih kerana hadis-hadis mengenainya tidak kuat. Antara yang menolak ialah al-‘Uqaily dengan katanya: tidak ada satu hadispun mengenai solat tasbih. Abu al-Farj bin al-Juziy menyebut beberapa hadis mengenai solat tasbih beserta sanadnya kemudian dia berkata bahawa semua hadis itu adalah dha’if. Dia juga menerangkan sebab-sebab kedha’ifannya.

Dipetik daripada kitab:
Yasalunaka 'anid-din wal-hayah, Prof Dr Ahmad asy-Syarbasiy, Universiti al-Azhar, jld 2, hal 64-65

No comments: