Sunday, April 12, 2009

Non Muslim Baca Ayat al-Quran

Soalan:

Salam,
Apa pendapat ulama' JIM atau bukan JIM dalam isu-isu begini :
1. Non-muslim baca ayat Quran dan terjemahan.
2. Non-muslim baca ayat Quran untuk kempen pilihanraya.
3. Non-muslim beri salam baik yang ringkas atau yang panjang.
4. Non-muslim mengakhir i ucapan dengan Wabilla hi taufik wal hidayah ...dsb.
5. Non-muslim menjawab salam pula dari orang Islam baik secara ringkas atau panjang.

Nota : Dalam isu nama Allah ada bantahan, tapi isu salam - "As-Salam" adalah salah satu nama Allah juga. Ayat al-Quran walaupun boleh dibaca oleh non-muslim tetapi bukankah lebih 'bijak' membaca terjemahan sahaja ? Tafsir quran pun tidak boleh guna akal tetapi kena rujuk pada yang ahli. Ada orang terang dekat non-muslim ke bab-bab ni ? Klau tak ada garis pandu yang jelas, mungkinkah satu hari nanti ayat-ayat Quran akan dipermainkan ?

Tujuan soalan dilontarkan untuk tahu sahaja supaya ana jelas.

Jawapan:

Salam,
Ana bukanlah ulamak yang layak menjawab dan memberi kata putus dalam hal ini. Hanya sekadar ingin berkongsi pandangan berdasarkan kefahaman yang cetek mengenai Islam dan kitab suci yang Allah turunkan.
Kebanyakan orang Islam masih di belenggu pemikiran yang sempit dan terbatas. Dengan pemikiran yang sempit itu mereka mengurung Islam dan segala yang berkaitan dengannya di dalam penjara yang khusus dan ekslusif. Tidak boleh diusik dan disentuh oleh orang yang mereka namakan bukan Islam. Seolah-olah nama bukan Islam itu suatu nama yang kotor, yang dipatrikan dan akan kekal dengan nama itu buat selama-lamanya. Maka idea untuk memperkenal dan mengajak mereka kepada Islam tidak timbul sama sekali. Apabila berlaku sedikit kebocoran daripada khazanah Islam yang dipasung itu, apabila orang bukan Islam dapat mengutip satu dua ayat dan membacanya, maka heboh dan kecohlah satu kampong tak ubah suasana mengejar anak ayam yang terlepas dari reban.
Kita balik kepada al-Quran dan sirah Rasulullah SAW.
Al-Quran sendiri menceritakan bahawa Nabi Sulaiman AS memulakan suratnya yang ditujukan kepada Ratu Saba' yang menyembah matahari dengan basmalah.
Nabi Muhammad SAW di dalam surat-surat yang diutus kepada raja-raja Habasyah, Mesir, Parsi, Rom, Uman dan sebagainya, semuanya dimulakan dengan basmalah dan dimasukkan pula di dalam surat itu petikan ayat suci al-Quran surah Ali'Imran 3:64. Apakah tujuan baginda menyelitkan ayat al-Quran di dalam suratnya? Tidakkah baginda bimbang mereka akan menghina dengan mengoyak atau memijak-mijaknya? Atau adakah baginda telah mengenal pasti bahawa penerima surat itu akan membaca dengan betul makhraj dan tajwidnya?
Berbalik kepada orang bukan Islam yang memetik ayat al-Quran dan membacanya untuk tujuan kempen, memberi salam dan menjawab salam, kita perlu lihat beberapa perkara:
1. Adakah terdapat tanda-tanda mereka membaca itu dalam nada mengejek, nampak tanda-tanda ada niat untuk mempersenda dan mempermain-mainkann ya?
2. Atau ayat itu dibaca untuk menarik perhatian orang Islam terhadap tanggungjawab mereka sebagaimana yang dituntut oleh kitab suci mereka sendiri? Hal ini bukankah sama dengan kalau orang Islam mengajak orang bukan Islam (Kristian misalnya) menghayati sesuatu kebaikan dengan memetik beberapa potong ayat daripada bible?
3. Andaikata mereka membacakan ayat-ayat kitab agama mereka di hadapan kita penganut Islam, apa pula reaksi kita? Adakah kita akan melenting dan berkata mereka cuba meracuni fikiran kita dengan mendakyah agama mereka?
4. Tentang orang bukan Islam memberi ucapan salam, al-Hafiz Ibn Kathir menyebut di dalam kitab tafsirnya, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Apabila seseorang ahli kitab (orang bukan Islam) memberi salam kepada kamu, maka jawablah: 'alaika" Maksud 'alaika ialah atas kamu. Kata Ibn Kathir, ertinya atas kamu apa yang kamu ucapkan. Maknanya kalau mereka berniat baik, mereka akan dapat kebaikan. Kalau sebaliknya, mereka juga akan menerima padahnya. Kita lihat adakah Nabi SAW larang mereka bagi salam? Adakah Nabi buat undang-undang dan akta orang bukan Islam tak boleh guna ucapan salam yang orang Islam guna? Tidak. Malah Nabi dengan penuh bijaksana mengajar umatnya agar menjawab salam mereka secara bijaksana.
AllahuA'lam,

Thursday, April 9, 2009

Kelebihan Surah al-Waqi'ah

Soalan:

Apa kelebihan baca surah al-Waqiah?
kenapa kalau diamalkn takkan papa di dunia?

Jawapan:

Salam.
Ada beberapa riwayat mengenai surah al-Waqi'ah.
1. Abu Zhibyah berkata: Abdullah bin Mas'ud RA telah jatuh sakit, sakit yang membawa kepada berakhir hayatnya di dunia. Usman bin 'Affan datang menziarahinya. Usman bertanya: Apa yang membuat kamu mengaduh? Abdullah menjawab: Dosa-dosaku. Usman berkata: Apakah yang kamu teringin? Abdullah menjawab: Rahmat Tuhanku. Usman berkata lagi: Mahukah aku perintahkan seorang doktor datang merawatmu? Abdullah menjawab: Sudah ada doktor yang merawatku. Usman berkata lagi: Mahukah aku perintahkan agar dibawa hadiah (berupa harta) untukmu? Abdullah menjawab: Aku tidak perlu lagi kepada harta. Usman berkata: Ia untuk kegunaan puteri-puterimu selepas ketiadaanmu. Abdullah menjawab: Adakah engkau bimbang puteri-puteriku akan ditimpa kefakiran? Sesungguhnya aku telah menyuruh mereka membaca surah al-Waqi'ah setiap malam. Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang membaca surah al-Waqi'ah setiap malam dia tidak akan ditimpa kefakiran selama-lamanya". Riwayat Ibn 'Asakir dan Abu Ya'la.
2. Jabir bin Samurah RA berkata: Rasulullah SAW solat lima waktu seperti kamu (tabi'in) solat hari ini, tetapi baginda meringankan solatnya. Solat baginda lebih ringan daripada solat kamu. Baginda membaca surah al-Waqi'ah di dalam solat subuh dan surah-surah (yang pendek) sepertinya. Riwayat Imam Ahmad.

Sunday, April 5, 2009

Berkahwin Dengan Pengikut Syi'ah

Soalan:
Assalamualaikum.........
Ustazah saya ada beberapa persoalan. Di harap dapat membantu....

1)Saya ingin mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan fahaman syiah sebagaimana yg diikuti oleh ramai orang2 islam di timur tengah.Adakah ia bertentangan dgn ajaran Islam sebenar.Adakah sbg seorang pengikut Imam Syafie kita boleh mengahwini seorang yang berfahaman Syiah?

2)Mengikut apa yang saya fahami penerangan Ustazah di radio. Jika kita ingin melakukan puasa qhada' dan sunat (Syawal contohnya) bersekali. Kita hanya perlu meniatkan puasa qadha' itu sahaja.Tetapi, apa yang pernah saya dan ibu lakukan sebelum ini kami meniatkan kedua2 dan kadangkala dalam niat tersebut puasa sunat trlebih dahulu disebut barulah puasa qadha.Adakah puasa itu boleh dikira sah.Dan adakah ia dikira sbg puasa sunat atau qadha'.Perlukah kami mengkada' kembali puasa kami yang lalu.

3)Apakah batas aurat perempuan dengan adik ipar lelaki atau abg ipar dan juga dengan suami ibu saudara.

Jawapan:
wa'alaikumus-salam wr.wb.

1. kumpulan syi'ah berasal drpd orang yang menyokong Sayyidina Ali dan mendakwa beliaulah yang berhak dilantik menjadi khalifah selepas kewafatan Nabi SAW atas wasiat baginda. mereka mendakwa para sahabat telah menyelewengkan wasiat itu dan menghukum para sahabat sebagai kafir atau fasiq. banyak masalah pokok dan cabang bercanggah antara syiah dan ahli sunnah. meskipun ahli sunnah tidak pernah menganggap mereka kafir, namun sebolehnya elakkan berkahwin dengan mereka.

2. mensekalikan puasa qada' dan sunat, harus. niatnya (dalam hati) perlu disebut qada' terlebih dahulu atau sebut qada' sahaja. kalau sebut sunat dulu hanya sah untuk sunat sahaja. ertinya yang sunat boleh menumpang pada yang wajib tapi yang wajib tidak boleh menumpang pada yang sunat.

3. aurat wanita dengan adik/abg ipar dan suami emak saudara sama dengan lelaki ajnabi (bukan mahram)

Onani

Soalan:
Assalamu'alaikum...

Ustazah, ada beberapa soalan ingin saya tanyakan iaitu:

1) Apakah hukumnya dalam Islam seseorang lelaki atau perempuan yang melakukan onani

2) Apakah yang dimaksudkan dengan onani secara terperinci

Syukran Jazilan ya ustazah

Jawapan:
Wa'alaikumus-salam wr.wb.

untuk mengetahui maksud onani, saudari boleh merujuk website:
http://www.megasutra.com/modules.php?name=AvantGo&op=ReadStory&sid=2302
atau lain-lain.

Menurut Dr. Abd Karim Zaidan di dalam kitabnya (al-Mufassol fi Ahkam al-Mar'ah), perbuatan itu adalah haram berdasarkan ayat 5-7 surah al-Mu'minun yang maksudnya:
"Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas".
Di dalam ayat di atas Allah hanya menyebut satu cara saja yang halal, iaitu hubungan dengan isteri dan hamba. selain itu adalah dicela dan melampaui batas.
Namun terdapat pengecualian bagi seseorang yang tidak dapat mengawal nafsu, di mana jika tidak melancap, dia akan berzina. Maka harus baginya sekadar mengelakkan diri dari zina asalkan ia tidak menjadikannya sebagai kebiasaan.
Sebaik-baik penyelesaian untuk mengelakkan zina ialah kahwin atau puasa.

(jld 5 m.s. 52-53)

PAKAI INAI SELEPAS IHRAM

Soalan:
Apakah hukumnya jemaah haji wanita memakai inai ketika berada di dalam ihram?

Jawapan:

Antara sunat-sunat ihram bagi wanita (yang bukan di dalam iddah kematian suami) menginaikan tapak tangan (depan dan belakang) hingga ke pergelangan dan menyapu sedikit di muka untuk melindungi kulit wajahnya kerana pada asalnya wanita disuruh menutupnya. Namun makruh ke atas mereka mengukir, menghitam dan memakai di hujung-hujung jari sahaja (kecuali bagi isteri yang mendapat keizinan suami). Makruh juga bagi wanita memakai inai selepas berihram.

Kitab al-Idah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, ms: 129 – 130