Soalan:
Salam,
Apa pendapat ulama' JIM atau bukan JIM dalam isu-isu begini :
1. Non-muslim baca ayat Quran dan terjemahan.
2. Non-muslim baca ayat Quran untuk kempen pilihanraya.
3. Non-muslim beri salam baik yang ringkas atau yang panjang.
4. Non-muslim mengakhir i ucapan dengan Wabilla hi taufik wal hidayah ...dsb.
5. Non-muslim menjawab salam pula dari orang Islam baik secara ringkas atau panjang.
Nota : Dalam isu nama Allah ada bantahan, tapi isu salam - "As-Salam" adalah salah satu nama Allah juga. Ayat al-Quran walaupun boleh dibaca oleh non-muslim tetapi bukankah lebih 'bijak' membaca terjemahan sahaja ? Tafsir quran pun tidak boleh guna akal tetapi kena rujuk pada yang ahli. Ada orang terang dekat non-muslim ke bab-bab ni ? Klau tak ada garis pandu yang jelas, mungkinkah satu hari nanti ayat-ayat Quran akan dipermainkan ?
Tujuan soalan dilontarkan untuk tahu sahaja supaya ana jelas.
Jawapan:
Salam,
Ana bukanlah ulamak yang layak menjawab dan memberi kata putus dalam hal ini. Hanya sekadar ingin berkongsi pandangan berdasarkan kefahaman yang cetek mengenai Islam dan kitab suci yang Allah turunkan.
Kebanyakan orang Islam masih di belenggu pemikiran yang sempit dan terbatas. Dengan pemikiran yang sempit itu mereka mengurung Islam dan segala yang berkaitan dengannya di dalam penjara yang khusus dan ekslusif. Tidak boleh diusik dan disentuh oleh orang yang mereka namakan bukan Islam. Seolah-olah nama bukan Islam itu suatu nama yang kotor, yang dipatrikan dan akan kekal dengan nama itu buat selama-lamanya. Maka idea untuk memperkenal dan mengajak mereka kepada Islam tidak timbul sama sekali. Apabila berlaku sedikit kebocoran daripada khazanah Islam yang dipasung itu, apabila orang bukan Islam dapat mengutip satu dua ayat dan membacanya, maka heboh dan kecohlah satu kampong tak ubah suasana mengejar anak ayam yang terlepas dari reban.
Kita balik kepada al-Quran dan sirah Rasulullah SAW.
Al-Quran sendiri menceritakan bahawa Nabi Sulaiman AS memulakan suratnya yang ditujukan kepada Ratu Saba' yang menyembah matahari dengan basmalah.
Nabi Muhammad SAW di dalam surat-surat yang diutus kepada raja-raja Habasyah, Mesir, Parsi, Rom, Uman dan sebagainya, semuanya dimulakan dengan basmalah dan dimasukkan pula di dalam surat itu petikan ayat suci al-Quran surah Ali'Imran 3:64. Apakah tujuan baginda menyelitkan ayat al-Quran di dalam suratnya? Tidakkah baginda bimbang mereka akan menghina dengan mengoyak atau memijak-mijaknya? Atau adakah baginda telah mengenal pasti bahawa penerima surat itu akan membaca dengan betul makhraj dan tajwidnya?
Berbalik kepada orang bukan Islam yang memetik ayat al-Quran dan membacanya untuk tujuan kempen, memberi salam dan menjawab salam, kita perlu lihat beberapa perkara:
1. Adakah terdapat tanda-tanda mereka membaca itu dalam nada mengejek, nampak tanda-tanda ada niat untuk mempersenda dan mempermain-mainkann ya?
2. Atau ayat itu dibaca untuk menarik perhatian orang Islam terhadap tanggungjawab mereka sebagaimana yang dituntut oleh kitab suci mereka sendiri? Hal ini bukankah sama dengan kalau orang Islam mengajak orang bukan Islam (Kristian misalnya) menghayati sesuatu kebaikan dengan memetik beberapa potong ayat daripada bible?
3. Andaikata mereka membacakan ayat-ayat kitab agama mereka di hadapan kita penganut Islam, apa pula reaksi kita? Adakah kita akan melenting dan berkata mereka cuba meracuni fikiran kita dengan mendakyah agama mereka?
4. Tentang orang bukan Islam memberi ucapan salam, al-Hafiz Ibn Kathir menyebut di dalam kitab tafsirnya, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Apabila seseorang ahli kitab (orang bukan Islam) memberi salam kepada kamu, maka jawablah: 'alaika" Maksud 'alaika ialah atas kamu. Kata Ibn Kathir, ertinya atas kamu apa yang kamu ucapkan. Maknanya kalau mereka berniat baik, mereka akan dapat kebaikan. Kalau sebaliknya, mereka juga akan menerima padahnya. Kita lihat adakah Nabi SAW larang mereka bagi salam? Adakah Nabi buat undang-undang dan akta orang bukan Islam tak boleh guna ucapan salam yang orang Islam guna? Tidak. Malah Nabi dengan penuh bijaksana mengajar umatnya agar menjawab salam mereka secara bijaksana.
AllahuA'lam,
No comments:
Post a Comment