Tuesday, December 6, 2011

Apakah Dosa Nabi Daud?


Soalan:
Ustazah, saya nak minta ustazah jelaskan maksud ayat 21 hingga 25 surah Sad (surah 38). Ada yang mengatakan ayat itu berkaitan dengan satu kesalahan Nabi Daud, di mana beliau telah terpikat pada seorang wanita jelita yang telah mempunyai suami, sedangkan Nabi Daud sendiri telah mempunyai 99 orang isteri. Suami wanita itu berada di medan perang, maka Nabi Daud telah mengarahkan agar suami wanita itu dibunuh supaya dia dapat menihaki wanita tersebut.
Cerita tersebut benar-benar mengelirukan. Harap ustazah dapat tolong jelaskan.
Jzkl.
Jawapan:
Kisah seumpama itu ada disebut di dalam sesetengah kitab tafsir. Antaranya Jami’ al-Bayan fi Tafsir al-Quran oleh Ibn Jarir at-Tobari (wafat 310H).
Menurut Ibn Kathir, kisah yang disebut oleh beberapa orang mufassir kebanyakannya diambil daripada Israeliyat. Tidak sabit satupun Hadis yang sahih daripada Nabi s.a.w. yang wajib diikuti. Terdapat satu Hadis riwayat Ibn Abi Hatim, tetapi sanadnya tidak sahih kerana ia daripada riwayat Yazid ar-Raqasyi daripada Anas r.a. Yazid, meskipun termasuk dalam kalangan orang-orang soleh, tetapi Hadisnya lemah di sisi Imam-imam Hadis. Maka yang lebih baik ialah kisah itu hanya sekadar boleh dibaca dan serahkan ilmunya kepada Allah. Sesungguhnya al-Quran itu benar dan apa yang terkandung di dalamnya adalah benar.
Imam ar-Razi (wafat 606H) di dalam kitabnya Mafatih al-Ghaib, at-Tafsir al-Kabir dengan tegas menolak kebenaran cerita tersebut. Beliau mengemukakan beberapa hujjah yang cukup mantap berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Antara hujjah-hujjah beliau ialah:
1.       Cerita sebegini kalau dinisbahkan kepada seorang manusia paling fasiq dan paling jahat sekalipun, dia tidak akan mengaku dan menolak dengan sekerasnya mungkin sampai ke tahap dia akan melaknat orang yang mengaitkan dirinya dengan perbuatan sedemikian. Kalau itulah keadaan orang fasiq, maka bagaimana mungkin orang berakal boleh mengaitkan cerita mungkar itu dengan seorang nabi yang maksum?
2.       Cerita itu mengandungi dua perkara besar, iaitu usaha membunuh seorang lelaki muslim (dikatakan bernama Uriya) tanpa alasan dan kedua tamak kepada isterinya. Perkara pertama merupakan sesuatu yang mungkar kerana Nabi s.a.w. telah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang berusaha untuk menumpahkan darah seorang muslim walaupun dengan separuh perkataan, dia datang pada hari qiamat nanti dalam keadaan tertulis di antara kedua matanya ‘orang yang putus harap daripada rahmat Allah’. Perkara kedua juga sangat besar kemungkarannya kerana Nabi s.a.w bersabda maksudnya: “Muslim itu ialah orang yang menjaga keselamatan orang-orang Islam daripada gangguan lidah dan tangannya”. Dalam kisah ini Uriya tidak selamat dari gangguan Nabi Daud sama ada nyawa dan isterinya.
3.       Sebelum ayat 21 – 25 ini Allah telah memuji Nabi Daud dengan beberapa sifat (ayat 17 – 20) dan selepas ayat-ayat ini juga Allah menyebut beberapa sifat lagi.
Sifat-sifat itu ialah:
i.                     Allah perintahkan Nabi Muhammad s.a.w. agar mengikuti Nabi Daud dari segi sabar. Kalau kita kata Nabi Daud tidak sabar melawan nafsu, bahkan berusaha menumpahkan darah seorang muslim bagi memenuhi nafsunya, bagaimana pula Allah perintahkan Nabi Muhammad mencontohinya dari segi sabar dalam mentaati Allah?
ii.                   Allah sifatkannya sebagai hambaNya, iaitu orang yang sempurna ubudiyyahnya kepada Allah dengan mentaatiNya dan menjauhi segala laranganNya.
iii.                  Dia seorang yang kuat ( ٱلأَيْدِ ذَا). Tidak syak lagi kuat di sini bermaksud kuat dari segi pegangan agama kerana kekuatan yang lain daripada segi agama, raja-raja yang kafirpun memilikinya. Kekuatan dari segi agama bermakna dia sangat teguh pegangannya. Maka bagaimana mungkin dia akan melakukan kemungkaran membunuh dan merampas isteri orang?
iv.                 Dia seorang awwab, iaitu banyak (selalu) kembali kepada Allah. Mana mungkin orang yang sentiasa kembali kepada Allah boleh dipengaruhi nafsu membunuh dan membuat kejahatan?
v.                   FirmanNya (bermaksud): “Sesungguhnya Kami telah mudahkan gunung-ganang bersama-sama dengannya”, adakah munasabah Allah mudahkan gunung-gunung untuk dia menjadikan wasilah untuk berbuat jahat dan membunuh?
vi.                 FirmanNya “Dan (Kami mudahkan juga) unggas turut berhimpun bersama-sama dengannya”. Dikatakan bahawa dia diharamkan memburu segala jenis burung. Maka bagaimana mungkin seorang yang burungpun aman dari buruannya, tetapi seorang lelaki muslim dianiayainya?
vii.                “Dan Kami kuatkan kerajaannya,” Mustahil ayat ini bermaksud Allah kuatkan kerajaannya mengikut acuan duniawi. Pastinya Allah kuatkan kerajaannya dengan perkara-perkara yang boleh membawa kebahagiaan dunia dan akhirat.
viii.              “serta Kami kurniakan kepadanya hikmah kebijaksanaan dan kepitahan berkata-kata (dalam menjalankan hukum dan menjatuhkan hukuman).” Hikmah adalah satu istilah yang merangkumi makna ilmu dan amal. Bagaimana Allah mengiktiraf beliau seorang yang mempunyai hikmah kalau dia masih terperangkap dengan perangai yang jijik?

Dan selepas cerita mengenai perselisihan itu, Allah sebut lagi beberapa sifat kebaikan Nabi Daud a.s.
i.                  Allah berfirman maksudnya: “dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak).” Firman ini disebut selepas Allah menceritakan kisah perselisihan dua orang yang datang menemui Nabi Daud a.s. Kalau benar beliau telah melakukan kemungkaran, tak mungkin dia dikatakan orang yang mempunyai kedudukan yang rapat di sisi Tuhan.
ii.                FirmanNya: “  Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi,” Kalaulah Nabi Daud telah melakukan kejahatan, adakah dia layak dilantik oleh Allah menjadi khalifahNya?
Sebagai kesimpulan, ar-Razi berkata: orang yang mendapat pujian begitu rupa daripada Allah Ta’ala, tidak harus bagi kita memburuk-burukkannya. Andaikanlah dia bukan seorang Nabi, maka tidak syak juga dia adalah seorang muslim. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Jangan kamu menyebut tentang orang yang telah mati dari kalangan kamu kecuali dengan kebaikan”. Kemudian, andaikanlah cerita itu betul, maka meriwayatkannya dan menyebutnya tidak akan mendatangkan pahala sedikitpun kerana menyebarkan keburukan, kalaupun tidak berdosa, ia tidak mendatangkan pahala. Dan jika diandaikan kisah ini palsu, maka orang yang menceritakannya akan mendapat siksa yang amat berat. Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” An-Nur:19
Daripada Sa’eid bin al-Muasayyab r.a., Ali bin Abi Talin r.a. berkata: “Sesiapa di antara kamu bercerita tentang Nabi Daud sebagaimana yang dikisahkan, aku akan sebat dia sebanyak 160 kali sebatan”, iaitu hukuman had ke atas orang yang membuat cerita bohong mengenai nabi-nabi.
AllahuA’lam.

Wednesday, November 30, 2011

BETULKAH NABI MUHAMMAD S.A.W. SEORANG YANG BUTA HURUF?

Soalan:
Salam Ustazah,
Saya ada kemusykilan tetang sifat Nabi Muhammad s.a.w.
Apa yang saya faham selama ni, baginda seorang yang buta huruf. Baru2 ni saya terbaca satu artikel yang mengatakan baginda bukan seorang yang buta huruf. Kalau kita percaya baginda seorang yang buta huruf, bererti kita telah menghinanya.
Betul ke? Macamana dengan kepercayaan kita selama ni? Saya rasa itulah yg diajarkan kepada kita di sekolah2 sejak dulu lagi.
Minta ustazah tlg jelaskan. Terima kasih.

Jawapan:
Salam.
Allah s.w.t. menyebut di dalam al-Quran bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang Nabi yang Ummi. Firman Allah Ta’ala bermaksud:
“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk”. Al-A’raf: 157-158.
Untuk memahami maksud perkataan ummi dalam kedua-dua ayat di atas, saya bawakan tafsiran yang dikemukakan oleh ahli-ahli tafsir lama dan baru.
1. Tafsir ‘Arais al-Bayan fi Haqaiq al-Quran oleh al-Baqili (wafat tahun 404 hijriah). Kata Ibn ‘Ato, ummi ialah a’jami. A’jami daripada apa yang lain daripada Kami, ‘alim tentang Kami dan tentang apa yang diturunkan kepadanya daripada Kalam Kami dan Haqiqat Kami. Dia berkata juga, ummi ialah orang yang tidak mengetahui tentang dunia sedikitpun dan tidak mengetahui tentang akhirat kecuali apa yang diajar oleh Tuhannya. Keadaannya dengan Allah adalah satu keadaan sahaja, iaitu suci bersih dengan berhajat kepadaNya sepanjang masa dan tidak berhajat langsung kepada selainNya.
2. Tafsir Mafatih al-Ghaib at-Tafsir al-Kabir oleh ar-Razi (wafat tahun 606 hijriah). Sifat ketiga bagi Nabi (yang disebut dalam ayat di atas) ialah dia seorang yang ummi. Kata az-Zujaj, makna ummi ialah orang yang ada padanya sifat umat Arab. Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya kami umat yang ummi, kami tidak (boleh) menulis dan mengira”. Maka orang Arab kebanyakannya tidak boleh menulis dan membaca. Dan Nabi s.a.w. adalah demikian juga. Itulah sebabnya baginda disifatkan sebagai ummi. Kata penganalisis, keadaan baginda sebagai ummi dengan tafsiran ini merupakan sebahagian daripada mukjizatnya yang boleh diterangkan dari beberapa sudut:
i. Baginda s.a.w. membacakan kepada mereka (orang Arab) Kitab Allah secara tersusun berulangkali tanpa menukarkan lafaz-lafaznya, tanpa mengubah susunan ayat-ayatnya. Pemidato dari kalangan orang Arab, apabila mereka memberikan satu ucapan tanpa teks, kemudian apabila dia mengulang semula, tak dapat tidak mesti ada perkataan atau ayat yang ditambah dan dikurangkan sama ada sedikit atau banyak. Tetapi berbeza dengan Nabi s.a.w. Meskipun baginda tidak boleh menulis dan membaca, namun setiap kali baginda membaca kitab Allah, tidak ada yang ditambah, dikurang dan diubah. Maka itu menunjukkan satu mukjizat. Inilah yang diisyaratkan oleh Allah di dalam firmanNya (bermaksud): “Kami sentiasa menjadikan engkau (wahai Muhammad) dapat membaca (Al-Quran yang diturunkan kepadamu), sehingga engkau (menghafaznya dan) tidak lupa,” Al-A’la:6
ii. Sekiranya baginda dapat menulis dan membaca dengan baik, nescaya itu akan jadi bahan tohmahan bahawa mungkin baginda mengkaji kitab-kitab terdahulu, maka mendapat ilmu hasil pengkajian itu. Jadi apabila al-Quran datang dalam bentuknya yang begitu agong, yang mengandungi ilmu yang sangat banyak, tanpa belajar dan mengkaji, maka itu merupakan sebahagian daripada mukjizat. Dan inilah maksud firman Allah Ta’ala: “Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu; (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu).” Al-‘Ankabut:48
iii. Sesungguhnya belajar menulis adalah sesuatu yang amat mudah. Dengan sedikit usaha, manusia yang mempunyai kecerdikan paling minimumpun boleh belajar menulis. Maka tidak belajar menulis menunjukkan kekurangan yang besar dari segi kefahaman. Kemudian Allah memberinya ilmu orang terdahulu dan orang terkemudian, diberinya berbagai-bagai ilmu dan hakikat-hakikat kebenaran yang tidak diperolehi oleh seseorangpun dari kalangan manusia. Dan dengan kekuatan akal dan kefahaman yang begitu hebat menjadikannya, seorang yang tidak belajar menulis yang senang dipelajari oleh orang yang memiliki akal dan kefahaman yang paling minimum, menjadikan terhimpun pada diri baginda dua keadaan yang berlawanan. Berhimpunnya dua perkara berlawanan pada diri seseorang pada satu masa merupakan sesuatu yang luar biasa dan suatu mukjizat.
3. Tafsir Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, oleh al-Qurtubi (wafat tahun 671 hijriah). Firman Allah Ta’ala ٱلأُمِّيَّ } } adalah nisbah kepada umat yang ummi, yang merupakan itulah asal kelahirannya, bangsa yang tidak belajar menulis dan membaca. Ini juga merupakan kata-kata Ibn Aziz. Berkata Ibn Abbas r.a.: Adalah Nabi kamu s.a.w. itu ummi, tidak menulis, tidak membaca dan tidak mengira. Firman Allah Ta’ala bermaksud: “Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu;…” Al-‘Ankabut:48
Daripada Ibn Umar r.a., Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya kami umat yang ummi, kami tidak menulis dan mengira”. Al-Bukhari. Ada juga yang mengatakan, Nabi dinisbahkan kepada Makkah, iaitu Ummu al-Qura. Kata-kata ini telah disebut oleh an-Nuhhas.
4. Tafsir Al-Baidhawi (wafat tahun 685 hijriah). Al-Ummi ialah yang tidak menulis dan tidak membaca. Baginda disifatkan sebagai ummi untuk mengingatkan kesempurnaan ilmunya walhal dia dalam keadaan begitu, iaitu tidak tahu menulis dan membaca. Dan ini merupakan satu daripada mukjizatnya.
5. Tafsir Fath al-Qadir oleh asy-Syaukani (wafat tahun 1250 hijriah). Ummi sama ada nisbah kepada umat yang ummi yang tidak boleh menulis dan mengira. Mereka itu adalah bangsa Arab. Atau nisbah kepada umm, iaitu ibu. Maka maknanya ialah bahawa dia kekal dalam keadaan dia dilahirkan ibunya, tidak tahu menulis dan membaca apa yang telah ditulis orang. Dan ada juga pendapat yang mengatakan, nisbah kepada Umm al-Qura, iaitu Makkah.
6. Tafsir Ruh al-Ma’ani oleh al-Alusi (1270 hijriah). Ummi ialah orang yang tidak boleh menulis dan membaca. Ia seperti kata az-Zujaj, nisbah kepada umat Arab kerana ghalib atau kebiasaan mereka dalam keadaan begitu. Al-Bukhari dan Muslim serta lain-lain meriwayatkan daripada Ibn Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Kami umat yang ummi, tidak boleh menulis dan mengira.” Atau boleh juga dikatakan, ummi dinisbahkan kepada Ummu al-Qura kerana penduduknya dalam keadaan begitu (tidak boleh membaca dan menulis). Atau dinisbahkan kepada umm, iaitu ibunya, iaitu seolah-olah keadaannya sama seperti keadaan dia dilahirkan ibunya, iaitu tidak pandai membaca dan menulis. Nabi s.a.w. disifatkan begitu untuk mengingatkan kesempurnaan ilmunya sedangkan dia dalam keadaan tidak boleh membaca dan menulis, merupakan satu mukjizat. Jadi tidak tahu membaca dan menulis nisbah kepada Nabi s.a.w. adalah sifat terpuji, adapun jika dinisbahkan kepada selainnya, maka bukan sifat terpuji. Bandingannya ialah sifat takabbur. Ia merupakan sifat terpuji bagi Allah, dan sifat tercela bagi selainNya.
7. Tafsir At-Tahrir wa at-Tanwir oleh Ibn ‘Asyur (1393 hijriah). Ummi ialah orang yang tidak tahu menulis dan membaca. Dikatakan juga ia dinisbahkan kepada umm iaitu ibu. Maknanya dia lebih menyerupai ibunya daripada ayahnya kerana wanita di kalangan orang Arab, mereka tidak tahu membaca dan menulis, dan mereka tidak pernah mempelajarinya kecuali ketika berada di bawah naungan Islam. Maka jadilah belajar membaca dan menulis itu satu daripada syi’ar orang merdeka, bukan hamba. Adapun orang lelaki dari kalangan bangsa Arab, ada di kalangan mereka yang boleh membaca dan menulis. Ada pendapat mengatakan ummi nisbah kepada umat, iaitu hal keadaan kebanyakan umat Arab ketika itu dalam keadaan jahiliah, tidak tahu membaca dan menulis kecuali sedikit sahaja dari kalngan mereka. Kerana itu Ahli Kitab menyifatkan mereka ummi sebagaimana yang diceritakan di dalam firman Allah yang bermaksud: “…mereka mengatakan: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi… “ Aali ‘Imran:75.
Ummi adalah sifat yang Allah khususkan kepada RasulNya, Muhammad sahaja sebagai menyempurnakan mukjizat ilmi dan aqli yang Allah kuatkan dirinya. Maka ummi dijadikan sifat zatiah baginya untuk menyempurnakan sifat zatiahnya sebagai rasul, supaya lahir kesempurnaan dirinya, kesempurnaan anugerah ladunni dari Ilahi, tanpa perantaraan sebab-sebab yang diketahui untuk capai kesempurnaan. Dengan itu, ummi adalah sifat kesempurnaan padanya, sedangkan pada orang lain sifat kekurangan kerana manakala tercapai baginya pengetahuan dan kemantapan akal sehingga ke tahap tidak berlaku kesilapan dalam semua aspek, pengetahuan kebenaran , dan dia yakin pada ilmunya, jelas tentang urusannya, itu semua merupakan lebih hebat daripada apa yang dicapai oleh orang yang belajar. Maka jadilah umminya itu satu tanda bahawa dia mencapai apa yang dicapai itu dari limpahan cahaya ketuhanan semata-mata.
8. Al-Asas fi at-Tafsir oleh Sa’eid Hawwa (1405 hijriah bersamaan 1985 masehi}. Sesungguhnya antara dalil kerasulan Rasul kita s.a.w. yang paling menonjol ialah keadaannya yang ummi, iaitu tidak boleh membaca dan menulis. Dalam keadaan dia seorang yang ummi, kenabiannya dibekalkan dengan al-Quran ini yang tidak pernah susut kehebatannya. Kenabiannya diiringi dengan sunnah yang agong yang tidak terkira aspek kesempurnaannya. Seandainya semua kehebatan itu datang bersama seorang yang ummi , dan kandungan kitab yang dibawa itu pula membenarkan kitab-kitab terdahulu, bahkan merangkumi semua isi kandungannya dan ada tambahan lagi, maka seorang insan yang berakal tidak akan meragui, selepas semua bukti itu bahawa Muhammad s.a.w. adalah Rasulullah.
9. Khawatir Muhammad Mutawalli asy-Sya’rawi (1418 hijriah). Ummi ialah orang tidak boleh membaca dan menulis dan tidak pernah berguru dengan seorang guru. Maka baginda s.a.w. kekal dalam keadaan dia dilahirkan.
10. Al-Wasit fi Tafsir al-Quran oleh Tantawi (1431 hijriah). Sesungguhnya dia s.a.w. seorang yang ummi, tidak tahu membaca dan menulis, tidak berguru dengan seseorang, tidak mengambil ilmunya daripada seseorang. Tetapi Allah mewahyukan kepadanya al-Quran al-Karim melalui perantaraan Jibril a.s. dan Allah limpahkan ke atasnya dari sisiNya ilmu-ilmu dan prinsip-prinsip yang berguna yang jelas di dalam al-Quran al-Karim yang diturunkan kepadanya. Maka dengan wahyu itu dia mendahului ahli falsafah, pakar undang-undang, ahli sejarah, ahli sains tabii dan ilmu alam. Maka umminya dia, dengan membawa ilmu yang boleh membaiki urusan dunia dan akhirat merupakan sejelas-jelas dalil yang menunjukkan apa yang dikatakannya adalah apa yang diwahyukan Allah kepadanya.
11. Aisar at-Tafasir oleh Abu Bakar al-Jazairi (1921 masehi). Ummi ialah orang yang tidak tahu membaca dan menulis.
Itulah beberapa pendapat ahli tafsir yang dapat saya kutip daripada kitab-kitab tafsir pelbagai zaman. Diharap ia dapat menjelaskan kekeliruan anda. Allahu A’lam.

Thursday, October 27, 2011

Solat Sunat Isyraq

Soalan:

Saya inginkan penjelasan mengenai solat sunat Isyraq, bilakah waktunya, apakah kelebihannya dan berapakah rakaatnya?

Jawapan:

Ulamak tidak sekata mengenai solat sunat Isyraq. Kata Shaikh Daud Fatoni:

“Dan bersalah-salahan ulamak pada sunat Isyraq. Kata Shaikh Mazjad, lain daripada Dhuha, dan mengikutkan dia Shaikh Ibn Hajar pada ‘Tuhfah’. Dan waktunya mengiringi isyraq dan kemudian daripada waktu karahah. Kata Ramliy, ialah sunat Dhuha dan dinamakan dia pula sembahyang Awwabin.”

(Bughyah at-Tullab, juzuk 1, hal 170.)

Shaikh Ibn Hajar al-Haitami ditanya tentang solat Isyraq yang disebut oleh Imam al-Ghazali di dalam Ihya’nya. Maka beliau menjelaskan seperti berikut:

“Al-Ghazali berkata, dua rakaat Isyraq lain daripada Dhuha. Waktunya ialah ketika matahari naik sekadar rumhi (shaft/aci). Inilah solat yang disebut di dalam firman Allah Ta’al ( يُسَبِّحْنَ بِالْعَشِيِّ وَالإِشْرَاقِ ) bermaksud: “Dia bertasbih di waktu malam dan isyraq”. Maksud bertasbih ialah bersolat.

Kata Ibn Hajar, al-Ghazali menjadikan solat Isyraq itu lain daripada Dhuha perlukan penelitian. Terdapat di dalam ‘al-Mustadrak’, daripada Ibn Abbas r.a. solat itu dinamakan solat al-Awwabin yang merupakan solat Dhuha. Nabi s.a.w. bersabda ( لا يحافظ على صلاة الضحى إلا أواب ). Maksudnya: “Tidak menjaga solat Dhuha kecuali awwab (orang yang taat)”. Riwayat al-Hakim. Dia berkata, hadis ini sahih mengikut syarat Muslim.

Dengan ini, menurut Mazhab (asy-Syafi’ei), adalah tidak harus dilakukan dengan niat solat Isyraq kerana tidak ada satupun dalil mengenainya. Kemudian aku melihat di dalam ‘al-Jawahir’, diriwayatkan daripada sebahagian mereka bahawa solat Isyraq itu adalah solat Dhuah, ia selari dengan apa yang aku ketahui.”

(الْفَتَاوَى الْفِقْهِيَّة الْكُبْرَى )

Shaikh al-Jaml Sulaiman bin Umar berkata:

“Yang muktamad, bahawa solat Isyraq lain daripada solat Dhuha. Ia termasuk solat-solat yang tidak disunatkan berjamaah, iaitu dua rakaat selepas habis waktu karahah. Dan ia lain daripada solat Dhuha.”

(فُتُوحَات الْوَهَّاب بِتَوْضِيحِ شَرْح مَنْهَج الطلاب الْمَعْرُوف بِحَاشِيَةِ الْجَمْل )

Menurut Shaikh Bin Baz:

Solat Isyraq adalah solat Dhuha pada awal waktunya, bukan dua solat yang berlainan. (Majmuk Fatawa Bin Baz, 11/401)

Waktu solat Dhuha, bermula daripada terbit matahari dan meninggi sehingga hampir masuk waktu Zohor.

Anggaran yang dibuat oleh Shaikh Ibn Uthaimin ialah suku jam selepas syuruq sehingga hampir masuk waktu Zohor kira-kira 10 minit. (Asy-Syarh al-Mumatti’ 4/122)

Semua waktu itu adalah waktu untuk solat Dhuha.

Dan yang afdhal ialah solat ketika matahari telah panas terik kerana Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Solat Awwabin ialah ketika anak-anak unta berasa kepanasan.” (Riwayat Muslim). Para ulamak mengganggarkan waktu ini ialah selepas berlalu ¼ hari atau di tengah-tengah antara terbit matahari dengan masuknya waktu solat Zohor.

Menurut Shaikh Soleh al-Fauzan, solat yang dilakukan selepas terbit matahari di kaki langit sehingga ia hampir-hampir tegak di dada langit, semua itu adalah solat Dhuha. Adapun solat Isyraq, ia merupakan solat yang disebut oleh orang awam. Sebenarnya ia solat Dhuha. Minimumnya 2 rakaat dan maksimumnya 8 dengan salam setiap dua rakaat. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Solat (sunat) malam dan siang adalah dua, dua.” Dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasaei dan Ibn Majah dengan isnad yang sahih daripada Hadis Ibn Umar r.a.

Walaupun kebanyakan ulamak berpendapat maksimum solat Dhuha lapan rakaat berdasarkan Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Ummu Hani’ bahawa baginda melakukan solat dhuha di rumahnya ketika Fathu Makkah sebanyak lapan rakaat, terdapat segolongan ulamak yang mengatakan tiada had maksimum berdasarkan kata-kata Rasulullah s.a.w. kepada ‘Amru bin ‘Abasah r.a. bermaksud: “Apabila kamu telah solat fajar (subuh), maka berhentilah daripada solat sehingga matahari terbit sekadar rumh. Kemudian solatlah kerana sesungguhnya solat pada waktu itu dihadiri dan disaksi sehingga matahari berdiri tegak.” Dikeluarkan oleh Muslim. Dalam Hadis ini Nabi s.a.w. perintahkan ‘Amru bersolat tanpa dihadkan bilangan rakaatnya.

Sunday, October 23, 2011

Fadhilat Surah al-Kafirun dan Surah al-Ikhlas

Soalan

Salam ustazah,

Maaf ganggu. Saya sekadar ingin tahu kenapa dlm solat-solat sunat, selalu disuruh baca surah al-kafirun pada rakaat pertama dan al-ikhlas pada rakaat ke 2 selepas al-Fatihah. Adakah itu sunnah atau kerana fadhilat tertentu? Bagaimana kalau baca surah-surah lain?

Trm kasih ustazah di atas penjelasan. Wassalam.

Jawapan

Salam.

Terdapat riwayat bahawa di dalam solat-solat tertentu baginda s.a.w. membaca kedua-dua surah tersebut. Antaranya, Rasulullah s.a.w. membaca kedua-kedua surah tersebut di dalam solat sunat subuh sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muslim. Ada riwayat Rasulullah s.a.w. memerintahkan agar bersolat tetapi tidak dinyatakan apakah surah yang perlu dibaca. Umapamanya Hadis mengenai solat hajat, at-Tirmizi meriwayatkan daripada Abdullah bin Abi Aufa, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai hajat daripada Allah atau daripada seseorang bani Adam, maka hendaklah dia mengambil wuduk serta mengelokkan wuduknya, kemudian hendaklah dia bersolat dua rakaat. Kemudian hendaklah dia memuji Allah, berselawat ke atas Nabi, kemudian berkata:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْحَلِيمُ الْكَرِيمُ سُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ أَسْأَلُكَ مُوجِبَاتِ رَحْمَتِكَ وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالْغَنِيمَةَ مِنْ كُلِّ بِرٍّ وَالسَّلَامَةَ مِنْ كُلِّ إِثْمٍ لَا تَدَعْ لِي ذَنْبًا إِلَّا غَفَرْتَهُ وَلَا هَمًّا إِلَّا فَرَّجْتَهُ وَلَا حَاجَةً هِيَ لَكَ رِضًا إِلَّا قَضَيْتَهَا يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Dalam Hadis tersebut tidak dinyatakan apakah surah yang perlu dibaca. Ertinya boleh dibaca apa-apa surah sekalipun.

Mengapa ulamak sering menyarankan agar dibaca surah al-Kafirun dan al-Ikhlas?

Ini kerana kedua-dua surah itu mempunyai kelebihan tertentu.

Daripada Ibn Abbas r.a., surah al-Kafirun menyamai ¼ al-Quran. (Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim)

Dan daripada Abi Sa’eid al-Khudri r.a., Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Surah al-Ikhlas menyamai 1/3 al-Quran.”

Bayangkan kalau dalam rakaat pertama baca empat kali surah al-Kafirun dan rakaat ke dua pula baca tiga kali surah al-Ikhlas, maka kita seolah-olah telah khatam al-Quran dua kali dalam dua rakaat. Hebat bukan?

Sunday, October 2, 2011

Sedekah Qurban?

Soalan:
Salam Ustazah, apa maksud sedekah qurban? Adakah ia sama dengan kita melakukan qurban pada hari raya haji?
trm kasih, ustazah.

Jawapan:
Salam.
Maaf, ana kurang pasti maksud sebenar istilah ‘sedekah quran’. Adakah ia bermaksud sedekah daging qurban atau sedekah duit sebanyak nilai binatang untuk orang lain buat qurban?

Sedia maklum bahawa qurban merupakan satu ibadah yang amat dituntut. Setengah ulamak seperti ath-Thauri, al-Auza’ei, al-Laith dan Abu Hanifah berpendapat ibadah qurban adalah wajib. Hujjah mereka ialah Hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Ibn Majah bermaksud: “Sesiapa yang ada kelapangan (dari segi harta), tetapi dia tidak melakukan ibadah qurban, maka janganlah dia menghampiri musalla (masjid) kami.” Mereka berhujjah, Nabi melarang orang kaya yang tidak melakukan ibadah qurban mendatangi masjid menunjukkan qurban itu wajib. Kalau qurban itu tidak wajib, tak mungkin orang yang tidak melakukannya diancam begitu rupa.
Namun jumhur atau majority ulamak berpendapat qurban adalah sunat muakkad, bukan wajib. Antara dalilnya ialah Hadis yang dikeluarkan oleh Muslim bermaksud: “Apabila kamu melihat anak bulan Zul Hijjah, dan salah seorang daripada kamu hendak melakukan ibadah qurban, maka hendaklah dia jangan memotong rambut dan kukunya.” Hadis ini memberikan gambaran ada orang yang hendak melakukan qurban dan ada yang tidak. Jadi itu menunjukkan qurban itu sunat. Kalau ia wajib, tentu semua orang wajib buat sama ada hendak atau tidak.

Fadilat qurban sangat besar. Daripada Zaid bin Arqam r.a., beliau dan sahabat-sahabat bertanya Rasulullah s.a.w., “Wahai Rasulullah, apa sebab dilakukan qurban?” Baginda menjawab, “Ini adalah sunnah bapa kamu, Ibrahim.” Mereka bertanya lagi, “Apa yang kami dapat daripadanya?” Baginda menjawab, “Setiap helai rambut (binatang qurban itu) satu hasanah.” Mereka bertanya lagi, “Bulu?” Baginda bersabda, “Setiap satu helai rambut daripada bulunya itu satu hasanah.” Riwayat Ahmad, Ibn Majah dan al-Hakim.

Daging binatang qurban itu sunat dibahagi tiga; untuk makan, hadiah dan sedekah dan harus juga disedekahkan semuanya.

Jadi, sekiranya maksud sedekah qurban itu sedekah daging binatang qurban, maka itu menepati maksud melakukan ibadah qurban.

Tetapi jika maksud sedekah qurban itu, beri sedekah duit untuk orang lain buat qurban, maka ia bukan daripada sunnah.

Jika seseorang muslim memberi sedekah wang sebanyak harga seekor kambing umpamanya kepada seseorang supaya orang itu buat qurban, maka dia tidak dikira telah melakukan ibadah qurban.

Melakukan ibadah qurban lebih afdhal daripada mensedekahkan harganya. Demikian ditegaskan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain. Rasulullah s.a.w. sendiri melakukan qurban. Begitu juga Khulafa’ ar-Rasyidin dan para sahabat selepas Baginda. Sekiranya sedekah harganya itu lebih afdhal, tentu mereka melakukannya. (Al-Mughni, jzk 8, hal. 618)

Wednesday, September 28, 2011

Solat Dhuha dan Istikharah

Soalan.

Salam ustazah,
Saya ingin tahu fadhilat solat dhuha dan solat istikharah. Boleh tolong jelaskan? Syukran.

Jawapan.

Salam,
Kelebihan solat Dhuha dinyatakan di dalam sepotong Hadis sahih riwayat Muslim daripada Abu Dzar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Di atas setiap ruas sendi kamu itu wajib memberi sedekah di waktu pagi. Maka setiap satu kali tasbih satu sedekah, setiap satu kali tahmid satu sedekah, setiap satu kali tahlil satu sedekah, setiap satu kali takbir satu sedekah, menyuruh kepada makruf satu sedekah, mencegah mungkar satu sedekah. Dan cukup untuk semua itu dua rakaat yang kamu tunaikan pada waktu dhuha.”

Hadis ini jelas menunjukkan kelebihan solat dhuha. Kita bayangkan setiap pagi kita bangun dalam keadaan sihat, anggota kita dapat berfungsi dengan baik dengan adanya sendi-sendi yang telah dipasang di seluruh anggota kita berjumlah 360 sendi.

Untuk setiap sendi itu kita wajib memberi sedekah sama ada dengan bertasbih, bertahmid, bertakbir, bertahlil, mengajak kepada makruf dan mencegah yang mungkar. Namun dengan melaksanakan dua rakaat solat dhuha kita telah dikira memberi sedekah yang diwajibkan ke atas setiap sendi-sendi kita.

Solat dhuha boleh ditunaikan lebih daripada dua rakaat. Sebanyak-banyaknya adalah lapan rakaat sebagaimana riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Ummu Hani’ r.a. bahawa Nabi s.a.w. masuk ke rumahnya pada hari pembukaan kota Mekah dan baginda solat (Dhuha) lapan rakaat. Ummu Hani’ berkata lagi, aku tidak pernah lihat solat yang lebih ringan (ringkas) daripada itu, namun baginda tetap menyempurnakan rukuk dan sujudnya.

Jika hendak lakukan lebih daripada dua rakaat, maka lakukan dengan memberi salam setiap dua rakaat. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Solat (sunat) malam dan siang adalah dua, dua.” Riwayat Ahmad dan lain-lain.

Solat Istikharah, istikharah bermaksud memohon kebaikan atau memohon daripada Allah agar menunjukkan perkara yang baik untuk kita dalam segala urusan.

Daripada Jabir r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. mengajar kami istikharah dalam semua urusan sebagaimana baginda mengajar kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda (maksudnya): “Apabila kamu terfikir hendak melakukan sesuatu maka solatlah dua rakaat selain daripada solat fardu, kemudian mohonlah kepada Allah dengan berdoa, اللَّهُمَّ إنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ , وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ , … (dapatkan doa sepenuhnya dalam buku-buku panduan doa) Riwayat al-Bukhari.

Selepas melakukan solat sunat istikharah, disunatkan pula istisyarah, iaitu meminta pandangan dan nasihat daripada orang yang berilmu, ikhlas dan amanah. Allah Ta’ala memerintah RasulNya agar bermesyuarat sebagaimana dinyatakan di dalam firmanNya:
وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ (Aali ‘Imran:59)

Nabi s.a.w. seorang yang paling bijak, pintar dan mantap fikirannyapun disuruh bermesyuarat, apa lagi kita yang lemah dan serba kekurangan ini.

Shaikhul Islam Ibn Taimiah berkata, “Tidak menyesal orang yang memohon petunjuk kepada kebaikan dengan al-Khaliq dan bermesyuarat meminta pandangan daripada makhluk…”

Tuesday, September 20, 2011

Hukum bekerja di kedai yang menjual makanan haram

Soalan:

assalamualaikum wbt ustazah,

Soalan saya adalah mengenai ramainya pelajar2 Muslim Malaysia di USA ni yg bekerja di cafe2 yg turut antara lain menyediakan makanan Haram;

1)Adakah halal gaji yang mereka terima atas kerja2 mereka dlm menyediakan hidangan2 yg tidak syarie ni? (antara tugas biasa: memotong daging khinzir dll)

2)apakah status gaji mereka hasil dari perniagaan cafe2 ni yg menjual benda2 haram (daging haram,arak dll)?

Jawapan:

Wa’alaikumus-salam wr.wb.

Para fuqahak berpendapat perkara-perkara yang haram dan najis seperti arak, bangkai dan khinzir adalah haram dan tidak sah dijual. Jika bekerja di kedai yang menjual perkara-perkara tersebut juga adalah haram walaupun tidak terlibat secara langsung dalam menyediakannya kerana itu termasuk dalam kategori tolong menolong dalam perkara dosa yang ditegah oleh Allah s.w.t. di dalam firmanNya yang bermaksud:
“…Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan…” Al-Maidah:3

Dalil-dalil yang menunjukkan haram menjual perkara-perkara di atas:
1. Daripada Jabir bin Abdullah r.a., dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda pada Hari Fathu Makkah ketika baginda berada di Makkah, “Sesungguhnya Allah dan RasulNya mengharamkan penjualan arak, bangkai, khinzir dan berhala.” Lalu baginda ditanya, “Ya Rasululllah, bagaimana dengan lemak bangkai? Ia boleh digunakan untuk menampal perahu, meminyakkan kulit dan membuat lilin untuk manusia menjadikan penyuluh?” Baginda bersabda, “Tidak, ia haram.” Kemudian baginda bersabda pula ketika itu, “Allah membunuh orang Yahudi! Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atas mereka lemak, lalu mereka meleburkannya kemudian mereka jual, maka mereka makan harganya.” Riwayat at-Tirmizi.
2. Daripada Barakah Abi al-Walid, dia menceritakan bahawa Ibn Abbas r.a. berkata, pada suatu hari Rasulullah s.a.w. sedang duduk di Masjidil-Haram mengadap ke arah Hijir Ismail. Baginda memandang ke langit, lantas tertawa. Kemudian baginda bersabda, “Allah laknat orang Yahudi. Diharamkan mereka memakan lemak, maka mereka menjualnya dan memakan harganya. Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla, apabila Dia mengharamkan sesuatu kaum memakan sesuatu, Dia mengharamkan mereka memakan harganya.” Musnad Ahmad.

Mudah-mudahan jawapan ini membantu saudara dan kawan-kawan.

Monday, September 19, 2011

Hukum lelaki memakai inai di jari


Soalan:

Askm ustazah,

Skrg ni musim knduri kawin. Masa pegi ke majlis kawin, sy tengok pengantin lelakipun pakai inai di jari macam pengantin pempuan. Bezanya lelaki pakai di 3 jari, pempuan pakai di semua jari. Boleh ke mcm tu, ustazah? Mhn pnjlasan. Tq.

Jawapan:

Wa’alaikumus-salam wr.wb.

Saya bahagikan jawapan kepada dua bahagian:
1. Hukum memakai inai bagi wanita
2. Hukum memakai inai bagi lelaki

Hukum memakai inai bagi wanita

Menurut ulamak Mazhab Maliki dan Syafi’ei, wanita yang bersuami disunatkan memakai inai pada setiap masa kerana inai merupakan perhiasan dan keacntikan. Wanita yang bersuami sunat berhias untuk suami sepanjang masa.

Wanita yang tidak bersuami, ulamak mazhab Maliki berpendapat harus, manakala ulamak mazhab Syafi’ei berpendapat makruh kerana dibimbangi berlaku fitnah ke atas diri wanita itu dan orang lain.

Walaubagaimanapun, wanita yang hendak berihram haji atau umrah disunatkan memakai inai mengikut pendapat semua mazhab sama ada yang bersuami atau tidak.

Selain memakai inai di tangan, iaitu dari hujung jari hingga ke pergelangan, wanita juga harus memakai inai di tapak kaki mereka hingga ke buku lali khususnya wanita yang bersuami.

Hukum memakali inai bagi lelaki

Fuqahak semua mazhab berpendapat haram bagi lelaki memakai inai di tangan atau di kaki kerana inai merupakan perhiasan bagi wanita. Lelaki tidak harus meniru wanita sama ada pakaian atau perhiasan sebagaimana sabda Nabi s.a.w. bermaksud:
“Allah laknat lelaki yang menyerupai atau meniru wanita dan wanita yang menyerupai atau meniru lelaki.”

Antara kata-kata fuqahak dalam masalah ini:
1. “Adapun menginaikan dua tangan dan dua kaki, maka disunatkan bagi wanita yang bersuami kerana terdapat Hadis-hadis yang masyhur mengenainya. Dan perbuatan itu haram bagi lelaki kecuali kerana keperluan seperti berubat dan sebagainya…” Imam an-Nawawi di dalam kitab ‘Al-Majmuk”
2. “Dan tidak harus menginaikan dua tangan kanak-kanak lelaki dan dua kakinya kecuali kerana ada keperluan untuk berbuat demikian, tetapi harus bagi wanita…” Al-Fatawa al-Hindiyyah. Dinyatakan di dalam fatwa tersebut tidak harus diinaikan tangan dan kaki kanak-kanak lelaki. Maka lelaki dewasa lebih-lebih lagi.
3. “Adapun menginaikan dua tangan dan dua kaki, maka disunatkan untuk wanita dan diharamkan untuk lelaki kecuali untuk berubat…” ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Daud.

Kesimpulannya, inai adalah perhiasan wanita. Hukum memakainya adalah harus, sunat dan dalam keadaan tertentu makruh, iaitu bagi wanita yang tidak bersuami menurut pendapat fuqahak mazhab Syafi’ei. Bagi lelaki adalah haram kecuali dalam keadaan terpaksa seperti untuk berubat dan sebagainya.
Justeru, adat lelaki memakai inai ketika aqad nikah dan walimah adalah tidak selari dengan ajaran Islam dan mesti dihentikan.

Thursday, September 15, 2011

Hukum Menggunakan Bekas Non Muslim

Soalan:

Assalamualaikum wbt ustazah,

Saya ada kemusykilan, harap ustazah dpt lapangkan masa menjawabnya.
Andai kita makan di kedai2 non-muslim, adakah kita boleh makan dari pinggan mangkuk yg mungkin dihidangkan dengan daging2 khinzir?

Ada pendapat tidak perlu untuk menyertu bekas2 ini cukup sekadar basuh seperti biasa. Adakah pendapat ini boleh diterima?

Jazakillah khairan jazak ustazah

Jawapan:

Wa’alaikumus-salam wr.wb.

Terdapat beberapa Hadis sahih dan athar mengenai makan di dalam bekas orang bukan Islam. Antaranya:
1. Daripada Abi Tha’labah r.a., beliau bertanya Nabi s.a.w., “Ya Rasulullah, kami berada di negeri Ahli Kitab, lalu kami makan menggunakan bekas-bekas (periuk, pinggan dsb) mereka.” Baginda menjawab (maksudnya), “Sekiranya kamu dapati bekas lain daripada bekas mereka, jangan kamu makan dalam bekas mereka. Jika tidak, maka hendaklah kamu basuh kemudian makanlah di dalamnya.” Riwayat al-Bukhari. Di dalam riwayat Abu Daud, ada tambahan dalam kata-kata Abu Tha’labah, iaitu ada menyebut secara jelas apa yang dimasak, dimakan dan diminum oleh bukan Islam: “Kami berjiran dengan Ahli Kitab. Mereka memasak khinzir di dalam periuk mereka dan meminum arak di dalam bekas minuman mereka.”
2. Daripada Jabir bin Abdullah r.a., beliau berkata: “Kami berperang bersama dengan Rasulullah s.a.w. Antara barang mereka yang kami rampas adalah bekas-bekas makanan dan minuman. Maka kami gunakan bekas-bekas itu, dan perbuatan itu tidak dipandang suatu yang aib.” Riwayat Ahmad.
3. Daripada Anas r.a., seorang Yahudi menjemput Nabi s.a.w. makan roti yang dibuat daripada gandum, maka Rasulullah s.a.w. menyahutinya.” Riwayat Ahmad
4. Terdapat beberapa riwayat yang sahih bahawa Rasulullah s.a.w. mengambil wuduk daripada botol air seorang musyrikah dan buyung nasraniah.
5. Di dalam kitab Ighatah al-Lahfan, Ibn al-Qayyim menyatakan bahawa kaum muslimin makan daripada makanan Ahli Kitab. Umar bin al-Khattab r.a. mensyaratkan kepada Ahli Kitab yang tinggal dalam Negara Islam agar meraikan tetamu dari kalangan umat Islam yang melintasi perkampungan mereka. Beliau berkata kepada mereka (Ahli Kitab): “Berilah mereka makan daripada apa yang kamu makan.” Ini dengan sendirinya menunjukkan mereka menggunakan bekas-bekas orang bukan Islam.

Hadis-hadis dan athar di atas menunjukkan harus menggunakan bekas orang bukan Islam tetapi disunatkan membasuhnya terlebih dahulu berdasarkan suruhan Nabi s.a.w. dalam Hadis Abi Tha’labah r.a. Namun jika jelas bekas itu bernajis atau ada kesan-kesan najis, maka wajib dibasuh terlebih dahulu sebelum menggunakannya.

Wednesday, August 10, 2011

WANITA TIDAK DIGALAKKAN SOLAT DI MASJID?

Soalan

Bismillah
assalamu'alaikum wbt

saya ada beberapa soalan nak tanye tentang Ramadhan,
1. Sepanjang yang saya pernah belajar, hadis yang pernah saya tahu...ialah..wanita lebih afdal solat di rumah daripada solat di masjid.

Betul ke?

Kalau betul, kenapa ada pihak yang menggalakkan wanita beriktikaf di masjid atau solat tarawikh di masjid? Sedangkan kalau lebih afdal solat di rumah..bukankah kami akan rugi kalau solat di masjid atau beriktikaf di masjid?

2. Bagaimana cara iktikaf? Jika duduk2 di masjid sekejap pun dengan niat iktikaf akan dikira sebagai i'tikaf? Saya cuba cari-cari tentang Fiqh iktikaf...ada jumpa di internet...bahawa wanita boleh beriktikaf di rumah..di ruang solat biasa dia, betulkah?

Jawapan:

Wa'alaikumus-salam wr.wb.

1. Sebelum bincang solat di mana lebih afdal, perlu diperingatkan tentang kelebihan solat malam atau qiam di bulan Ramadan. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang qiam di bulan Ramadan dengan iman dan ihtisab (mengharap ganjaran dan keredhaan Allah) diampuni dosanya yang lalu.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Hadis ini menekankan agar setiap muslim dan muslimah tidak melepaskan peluang untuk solat malam di sepanjang bulan Ramadan demi mengharap keampunan, keredhaan serta rahmat-Nya.

Di mana? Di masjid atau di rumah.

Terdapat nas-nas yang menunjukkan bahawa wanita tidak diberatkan untuk ke masjid sebagaimana lelaki, namun tidak dihalang jika mereka ingin ke masjid. Di zaman Nabi s.a.w. terdapat tali yang direntang di antara dua tiang di dalam masjid Nabi. Lalu baginda bertanya, tali siapakah ini? Mereka menjawab, tali Hamnah binti Jahsy. Bila dia lemah, dia akan bergantung pada tali itu. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Hendaklah dia solat sekadar yang dia kuasa, apabila dia rasa lemah, hendaklah dia duduk.” Riwayat Ahmad. Kita lihat di sini, baginda tidak berkata, ‘siapa yang suruh dia datang solat di masjid? Suruh dia solat di rumah saja!’

Bertolak dari azam untuk melakukan solat malam yang digalakkan ke atas muslim dan muslimah, maka wanita mempunyai pilihan sama ada di rumah atau di masjid.

Sebahagian muslimah dikurniakan Allah menghafaz al-Quran dan dapat membacanya dengan baik, maka dia berasa lebih tenang, khusyuk, damai mengalunkan ayat-ayat suci dibiliknya sendiri bertemankan kesepian malam yang dingin dan nyaman. Kalau ke masjid, dia tidak berapa suka suasana yang agak hingar, suara kanak-kanak yang kadang-kadang bingit mengganggu kekhusyukannya. Bagi dia di rumah lebih afdal.

Sebahagian pula tidak mampu menghafaz al-Quran, tidak dianugerahi suara yang lunak, maka dia mudah rasa bosan, mengantuk, tidak bermotivasi solat bersendirian mengulangi ayat-ayat yang hampir sama setiap rakaat dan setiap malam. Sedangkan jika dia ke masjid, dia rasa lebih cergas, lebih bermotivasi, lebih khusyuk mendengar alunan bacaan imam yang segar dan merdu, di samping peluang untuk bertaaruf dengan para jamaah, menjalin ukhuwwah, bertukar-tukar pengalaman dan sebagainya. Maka muslimah ini pastinya di masjid lebih baik.

Namun perlu diingat, jika muslimah memilih untuk ke masjid, maka dia perlu memelihara adab-adabnya seperti menutup aurat dengan sempurna, elakkan pergaulan bebas dan lain-lain.
AllahuA’lam.


2. Iktikaf dtakrifkan sebagai: berada dalam masjid niat yang khusus. Atau dengan kata lain: tinggal di dalam masjid dengan niat taqarrub (mendekaktkan diri) kepada Allah ‘Azza wa Jalla sesaat atau lebih, siang atau malam.
Syarat sah iktikaf:
1. Islam, berakal, suci daripada hadas besar
2. Niat
3. Puasa menurut pendapat Mazhab Hanafi dan Malik, tetapi tidak syarat di sisi Mazhab Syafi’e dan Hanbali.
4. Di masjid. Ulamak sepakat, bagi lelaki iktikaf mesti dilakukan di masjid yang didirikan solat Jumaat. Manakala bagi wanita, ulamak Mazhab Hanafi berpendapat harus bagi wanita beriktikaf di masjid rumahnya, iaitu tempat yang disediakan untuk solat, bukan di tempat lain daripada itu. Manakala ulamak Mazhab Syafi’e dan Hanbali berpendapat tidak harus wanita beriktikaf di masjid rumahnya kerana iktikaf adalah ibadah yang dikhusukan di masjid sebagaimana firman Allah bermaksud: “…dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid…” (al-Baqarah:187). Namun mereka (wanita) harus beriktikaf di masjid yang tidak didirkan solat Jumaat (kalau dalam uruf kita, surau atau musolla).
5. Syarat tambahan bagi wanita, dengan izin suami.

Berkenaan dengan tempoh iktikaf, tiada had masa tertentu, lama atau sekejap. Tetapi dalam bulan Ramadan, terutama 10 hari terakhir Rasulullah s.a.w. beriktikaf sepanjang masa siang dan malam sehingga baginda wafat dan sunnah ini diikuti pula oleh isteri-isteri baginda sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan lain-lain.
AllahuA’lam.

Monday, July 25, 2011

Dye Rambut

Soalan:

Salam Ustazah,

Apakah kita boleh memakai pewarna rambut yang halal seperti jenama Syurah? Persoalannya bahan yang digunakan halal tetapi tak pasti samada ianya telus air ataupun tidak.

Jawapan:

Salam,

Kalau tak pasti, elok dielakkan sebagaimana pesanan Rasulullah s.a.w. dalam sebuah Hadis bermaksud: Tinggalkan apa yang meragukan kamu, buatlah apa yang tidak meragukan kamu. (Riwayat at-Tirmizi dan an-Nasae)

NIat Puasa

Soalan:

Salam Ustazah,

Adakah sah puasa qada seseorang sekiranya dia terlupa untuk berniat tetapi bangun sahur dan memang berhajat untuk mengqada puasa.

Terima kasih.

Jawapan

Salam,

Niat adalah apa yang tersemat di dalam hati kita untuk melakukan sesuatu. Ia tidak mesti dilafazkan. Anda mengatakan bahawa anda berhajat untuk puasa qada puasa, itulah yang dikatakan niat. Tambahan pula anda telah bangun bersahur. Apa tujuan sahur kalau bukan untuk puasa?

Monday, June 27, 2011

HUKUM WANITA MENGIRINGI JENAZAH

SOALAN

Assalamualaikumwarahmatullah,

Ustazah, afwan mengganggu. Baru-baru ni dalam satu kuliah tafsir yang ana pegi, ustaz yang berceramah tu kata haram untuk orang perempuan mengiringi jenazah. Ana sempat tanya ustaz sama ada ada kekhilafan dalam isu ni, ustaz kata tak ada. Jadi kecoh sikit kat hospital sebab ramai antara kami d kampung pun, biasa je perempuan hantar jenazah. Sblum ni tak terdengar pulak kata haram. Mohon pencerahan.


JAWAPAN

Wa'alaikumus-salam wr.wb.

Di dalam ‘Kitab Fikah Mazhab Syafie’ jilid 1, halaman 335-336 dinyatakan:
Sunat bagi golongan lelaki mengikuti jenazah dan mengiringinya hingga ke kubur.
Bagi golongan perempuan pula, mereka tidak disunatkan untuk berbuat demikian (mengiringi jenazah). Bahkan perbuatan tersebut adalah menyalahi sunnah dan wasiat Rasulullah s.a.w.

Al-Bukhari (1219) dan Muslim (938) meriwayatkan daripada Ummu ‘Atiyyah r.a. katanya: “Kami telah dilarang daripada mengikuti (mengiringi) jenazah. Walaubagaimanapun, (larangan tersebut) tidak dikuatkan ke atas kami (tidak sampai ke tahap diharamkan).”

Berdasarkan Hadis ini, kebanyakan ahli ilmu berkata makruh bagi wanita keluar mengiringi jenazah. Ini disebut oleh Imam an-Nawawi di dalam kitab ‘Al-Majmuk’ jilid 5, halaman 278 bahawa kebanyakan ulamak berkata makruh. Mereka termasuk sekumpulan sahabat r.a. yang terdiri daripada Abdullah bin Masud, Abdullah bin Umar, Abi Umamah, Aishah dan lain-lain.

Monday, March 28, 2011

Wajib Pakai Tudung Labuh?

Soalan:


Salam,saya ingin bertanya, adakah seseorang perempuan itu diwajibkan untuk memakai tudung labuh sehingga menutupi dada?Saya harap dapat dijelaskan lebih lanjut mengenai perkara tersebut.terima kasih.


Jawapan:


Soalan saudari ini mungkin berpunca daripada firman Allah dalam surah an-Nur ayat 31 (وَلۡيَضۡرِبۡنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِہِنَّ‌ۖ ) yang terjemahannya (dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;)


Menurut at Tafsir at-Tobariy, ayat ini bermaksud: wanita hendaklah melabuhkan tudungnya ke hadapan supaya menutupi rambut, leher dan subang mereka.


Dalam tafsir al-Qurtubiy menyebut bahawa sebab turun ayat ini ialah wanita-wanita pada masa itu, meletakkan tudung di atas kepala dengan mengikatnya ke belakang. Dengan cara itu telinga, leher dan dada tetap terdedah. Maka Allah perintahkan supaya tudung di bawa ke depan agar tertutup bahagian-bahagian tersebut. Ini menunjukkan dada, leher dan telinga adalah aurat yang wajib ditutup. Cara menutupnya ialah dengan tudung kerana kebiasaannya baju yang dipakai oleh kaum wanita tidak menutupi bahagian tersebut. Kadang-kadang baju yang dipakai itu ketat. Walaupun menutupi sehingga ke leher, tapi masih menonjolkan bentuk buah dada. Sebab itu lebih sempurna kalau tudung itu dilabuhkan. Kalau baju itu longgar dan tidak kelihatan seperti membungkus anggotanya, maka tidak mengapa kalau tidak dilabuhkan tudung. Apa yang penting, semua bahagian yang wajib ditutup itu tertutup. AllahuA’lam.

Tuesday, March 8, 2011

Mencukur atau membuang bulu ari-ari

Soalan:
Assalamualikum ustazah...
1)Apakah hukumya mencukur/membuang bulu ari-ari yang terdapat di faraj?

Jawapan:
Wa'alaikumus-salam.
Mencukur atau membuang bulu ari-ari termasuk dalam sunat-sunat fitrah. Sunat fitrah bermakna perkara yang selari dengan kehendak fitrah semula jadi manusia. jika dilakukan bererti seseorang itu berada dalam keadaan fitrahnya. jika tidak, maka ia bercanggah dengan fitrah.
Lantaran itu ia dilakukan oleh para nabi-nabi 'alaihimus-solatu was-salam. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "lima perkara daripada fitrah; khitan, istihdad (membuang bulu ari-ari ), membuang bulu ketiak, mengerat kuku dan menggunting misai." Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Tuesday, March 1, 2011

Minimum suci

Soalan:

Assalamualaikum wbt. ustazah,
Permasalahan saya mengenai kitaran haid saya telah berlanjutan selama 6 tahun. Ia bermula selepas saya melahirkan anak ke-4 dan dinasihatkan oleh doktor supaya melakukan 'ligation' (mengikat peranakan). Ini kerana saya tidak boleh melahirkan secara normal.
Seperti yang saya maklum melalui pembelajaran fardu ain saya yang terhad, waktu bersih sesorang wanita itu adalah 15 hari 15 malam. Masalahnya waktu bersih saya adalah kurang dari itu iaitu sekitar 12-13 hari. Bermakna saya perlu bersolat untuk 3-2 hari untuk melengkapkan kitaran bersih selama 15 hari. Tempoh 3-2 hari itu darah haid saya memang keluar dengan banyak dan berketul-ketul. Setelah itu kuantitinya tidak banyak dan berlanjutan. Saya telah melakukan pemeriksaan dengan pakar sakit puan dan keputusan menunjukkan tiada permasalahan pada rahim saya dan hormon tairod saya juga dalan lingkungan paras normal. Doktor mengatakan kitaran haid saya adalah pendek dan ini normal dari segi perubatan.
Persoalannya adakah betul apa yang saya lakukan dan adakah terdapat 'rukhsah' di dalam perkara ini. Mohon pencerahan dari pihak ustazah.

Jawapan:

Wa'alaikumus-salam wr.wb.
Utk pengetahuan puan, tidak terdapat nas yg jelas mengenai tempoh haid dan tempoh suci drpd haid. Maka ulamak berijtihad dengan cara istiqra', iaitu meneliti hal ehwal wanita secara menyeluruh, lalu mrk mengeluarkan pendapat berdasarkan penelitian itu mengenai tempoh minimum dan maksimum haid serta suci. sebab itu kita dapati terdapat sedikit perbezaan pendapat dari segi menetapkan tempoh-tempoh tersebut. umapamanya dari segi tempoh minimum suci ada yang berpendapat 15 hari (ini yg paling masyhur), 13 hari dan 10 hari. Di dlm kitab 'Ahkam al-Quran' oleh al-Jassos, ada menyebut bahawa Imam ash-Shafi'ei yg berpendapat maksimum suci 15 hari, apabila mengetahui ada wanita berkata dia suci kurang drpd 15 hari, beliau menerima kata-kata wanita tersebut.Jadi dlm kes puan ini, jika doktor mengesahkan darah itu adalah haid, maka bolehlah diterima. AllahuA'lam.

Sunday, January 9, 2011

Belacan Najis?

Soalan

Salam ustzh. Saya nak tanya soalan. Tak le penting sangat. Tapi saya rasa keliru. Saya dengar ada sorang ustaz kata, kalau kain sembahyang kita terkena belacan, kita kena ulang balik sembahyang kita sbb belacan itu diproses tanpa membuang tahi-tahi udang. Pastu saya tanye dia, kalau camtu belacan haram dimakan la? Dia kata, tak. Jadi, saya pun pening la. Najis ke tak najis?

Jawapan

Salam.

Saya rasa sepatutnya anda minta penjelasan dengan ustaz itu sendiri.
Di dalam Kitab al-Bahr al-Wafi wa an-Nahr as-Sofi karangan Syaikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fatoni, halalam 40 dan 43 menyebut bahawa ikan (termasuk udang) yang kecil itu dimaafkan segala isi yang terkandung di dalamnya, iaitu termasuk darah (kalau ada) dan tahinya. Jadi ia tidak najis dan halal dimakan.
Oleh kerana ia tidak najis, maka jika terkena kain sembahyang, tidak wajib dibasuh dan sembahyang tidak perlu diulang.
AllahuA’lam.