Tuesday, December 6, 2011

Apakah Dosa Nabi Daud?


Soalan:
Ustazah, saya nak minta ustazah jelaskan maksud ayat 21 hingga 25 surah Sad (surah 38). Ada yang mengatakan ayat itu berkaitan dengan satu kesalahan Nabi Daud, di mana beliau telah terpikat pada seorang wanita jelita yang telah mempunyai suami, sedangkan Nabi Daud sendiri telah mempunyai 99 orang isteri. Suami wanita itu berada di medan perang, maka Nabi Daud telah mengarahkan agar suami wanita itu dibunuh supaya dia dapat menihaki wanita tersebut.
Cerita tersebut benar-benar mengelirukan. Harap ustazah dapat tolong jelaskan.
Jzkl.
Jawapan:
Kisah seumpama itu ada disebut di dalam sesetengah kitab tafsir. Antaranya Jami’ al-Bayan fi Tafsir al-Quran oleh Ibn Jarir at-Tobari (wafat 310H).
Menurut Ibn Kathir, kisah yang disebut oleh beberapa orang mufassir kebanyakannya diambil daripada Israeliyat. Tidak sabit satupun Hadis yang sahih daripada Nabi s.a.w. yang wajib diikuti. Terdapat satu Hadis riwayat Ibn Abi Hatim, tetapi sanadnya tidak sahih kerana ia daripada riwayat Yazid ar-Raqasyi daripada Anas r.a. Yazid, meskipun termasuk dalam kalangan orang-orang soleh, tetapi Hadisnya lemah di sisi Imam-imam Hadis. Maka yang lebih baik ialah kisah itu hanya sekadar boleh dibaca dan serahkan ilmunya kepada Allah. Sesungguhnya al-Quran itu benar dan apa yang terkandung di dalamnya adalah benar.
Imam ar-Razi (wafat 606H) di dalam kitabnya Mafatih al-Ghaib, at-Tafsir al-Kabir dengan tegas menolak kebenaran cerita tersebut. Beliau mengemukakan beberapa hujjah yang cukup mantap berpandukan al-Quran dan as-Sunnah. Antara hujjah-hujjah beliau ialah:
1.       Cerita sebegini kalau dinisbahkan kepada seorang manusia paling fasiq dan paling jahat sekalipun, dia tidak akan mengaku dan menolak dengan sekerasnya mungkin sampai ke tahap dia akan melaknat orang yang mengaitkan dirinya dengan perbuatan sedemikian. Kalau itulah keadaan orang fasiq, maka bagaimana mungkin orang berakal boleh mengaitkan cerita mungkar itu dengan seorang nabi yang maksum?
2.       Cerita itu mengandungi dua perkara besar, iaitu usaha membunuh seorang lelaki muslim (dikatakan bernama Uriya) tanpa alasan dan kedua tamak kepada isterinya. Perkara pertama merupakan sesuatu yang mungkar kerana Nabi s.a.w. telah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang berusaha untuk menumpahkan darah seorang muslim walaupun dengan separuh perkataan, dia datang pada hari qiamat nanti dalam keadaan tertulis di antara kedua matanya ‘orang yang putus harap daripada rahmat Allah’. Perkara kedua juga sangat besar kemungkarannya kerana Nabi s.a.w bersabda maksudnya: “Muslim itu ialah orang yang menjaga keselamatan orang-orang Islam daripada gangguan lidah dan tangannya”. Dalam kisah ini Uriya tidak selamat dari gangguan Nabi Daud sama ada nyawa dan isterinya.
3.       Sebelum ayat 21 – 25 ini Allah telah memuji Nabi Daud dengan beberapa sifat (ayat 17 – 20) dan selepas ayat-ayat ini juga Allah menyebut beberapa sifat lagi.
Sifat-sifat itu ialah:
i.                     Allah perintahkan Nabi Muhammad s.a.w. agar mengikuti Nabi Daud dari segi sabar. Kalau kita kata Nabi Daud tidak sabar melawan nafsu, bahkan berusaha menumpahkan darah seorang muslim bagi memenuhi nafsunya, bagaimana pula Allah perintahkan Nabi Muhammad mencontohinya dari segi sabar dalam mentaati Allah?
ii.                   Allah sifatkannya sebagai hambaNya, iaitu orang yang sempurna ubudiyyahnya kepada Allah dengan mentaatiNya dan menjauhi segala laranganNya.
iii.                  Dia seorang yang kuat ( ٱلأَيْدِ ذَا). Tidak syak lagi kuat di sini bermaksud kuat dari segi pegangan agama kerana kekuatan yang lain daripada segi agama, raja-raja yang kafirpun memilikinya. Kekuatan dari segi agama bermakna dia sangat teguh pegangannya. Maka bagaimana mungkin dia akan melakukan kemungkaran membunuh dan merampas isteri orang?
iv.                 Dia seorang awwab, iaitu banyak (selalu) kembali kepada Allah. Mana mungkin orang yang sentiasa kembali kepada Allah boleh dipengaruhi nafsu membunuh dan membuat kejahatan?
v.                   FirmanNya (bermaksud): “Sesungguhnya Kami telah mudahkan gunung-ganang bersama-sama dengannya”, adakah munasabah Allah mudahkan gunung-gunung untuk dia menjadikan wasilah untuk berbuat jahat dan membunuh?
vi.                 FirmanNya “Dan (Kami mudahkan juga) unggas turut berhimpun bersama-sama dengannya”. Dikatakan bahawa dia diharamkan memburu segala jenis burung. Maka bagaimana mungkin seorang yang burungpun aman dari buruannya, tetapi seorang lelaki muslim dianiayainya?
vii.                “Dan Kami kuatkan kerajaannya,” Mustahil ayat ini bermaksud Allah kuatkan kerajaannya mengikut acuan duniawi. Pastinya Allah kuatkan kerajaannya dengan perkara-perkara yang boleh membawa kebahagiaan dunia dan akhirat.
viii.              “serta Kami kurniakan kepadanya hikmah kebijaksanaan dan kepitahan berkata-kata (dalam menjalankan hukum dan menjatuhkan hukuman).” Hikmah adalah satu istilah yang merangkumi makna ilmu dan amal. Bagaimana Allah mengiktiraf beliau seorang yang mempunyai hikmah kalau dia masih terperangkap dengan perangai yang jijik?

Dan selepas cerita mengenai perselisihan itu, Allah sebut lagi beberapa sifat kebaikan Nabi Daud a.s.
i.                  Allah berfirman maksudnya: “dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak).” Firman ini disebut selepas Allah menceritakan kisah perselisihan dua orang yang datang menemui Nabi Daud a.s. Kalau benar beliau telah melakukan kemungkaran, tak mungkin dia dikatakan orang yang mempunyai kedudukan yang rapat di sisi Tuhan.
ii.                FirmanNya: “  Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi,” Kalaulah Nabi Daud telah melakukan kejahatan, adakah dia layak dilantik oleh Allah menjadi khalifahNya?
Sebagai kesimpulan, ar-Razi berkata: orang yang mendapat pujian begitu rupa daripada Allah Ta’ala, tidak harus bagi kita memburuk-burukkannya. Andaikanlah dia bukan seorang Nabi, maka tidak syak juga dia adalah seorang muslim. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Jangan kamu menyebut tentang orang yang telah mati dari kalangan kamu kecuali dengan kebaikan”. Kemudian, andaikanlah cerita itu betul, maka meriwayatkannya dan menyebutnya tidak akan mendatangkan pahala sedikitpun kerana menyebarkan keburukan, kalaupun tidak berdosa, ia tidak mendatangkan pahala. Dan jika diandaikan kisah ini palsu, maka orang yang menceritakannya akan mendapat siksa yang amat berat. Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” An-Nur:19
Daripada Sa’eid bin al-Muasayyab r.a., Ali bin Abi Talin r.a. berkata: “Sesiapa di antara kamu bercerita tentang Nabi Daud sebagaimana yang dikisahkan, aku akan sebat dia sebanyak 160 kali sebatan”, iaitu hukuman had ke atas orang yang membuat cerita bohong mengenai nabi-nabi.
AllahuA’lam.

No comments: