Soalan:
Assalamualaikum Ustazah,
Saya seorang muslim, bekerja di sebuah syarikat. Bossnya serta kebanyakan stuffnya adalah non muslim. Setiap kali tiba hari perayaan mereka seperti krismas, tahun baru china dll, saya berada dlm delema, boleh ke tak nak bagi ucapan selamat menyambut hari raya kpd mereka? Selalunya mereka akan adakan jamuan di pejabat sempena perayaan-perayaan tersebut. Boleh ke saya datang? Kalau tak datang, apa pula tanggapan mereka terhadap saya? Takut pula mereka akan kata, saya tak pandai bergaul. Atau yang lebih membimbangkan mereka akan tuduh Islam sebagai agama kolot, tak pandai ambil hati dan meraikan orang lain.
Harap ustazah dapat bagi sedikit pencerahan tentang isu ni, mudah-mudahan jadi panduan berguna buat saya dan orang-orang yang menghadapi masalah yang sama seperti saya.
Terima kasih kerana sudi membantu.
Jawapan:
Wa’alaikumus-salam wr.wb.
Berkenaan dengan hukum memberi ucapan tahniah kepada non muslim sempena hari perayaan mereka, terdapat dua pandangan yang berbeza di kalangan ulamak.
Sebahagian berpendapat tidak harus bagi muslim mengucap tahniah kepada mereka kerana ia termasuk dalam bab tasyabbuh atau menyerupai dengan mereka serta redha dengan aqidah mereka. Kedua-dua perkara tersebut (tasyabbuh dan redha dengan aqidah mereka) adalah haram. Sandaran kepada pendapat ini ialah fatwa yang dikeluarkan oleh Syaikh Ibn Baz dan Ibn Uthaimin dan diperkuatkan dengan fatwa Imam Ibn Taimiah dan Ibn al-Qayyim. Tambahan pula, menurut Imam Ibn al-Qayyim fatwa haram merupakan perkara yang disepakati ulamak.
Majority ulamak mutakhir berpendapat harus memberi ucapan tahniah kepada non muslim sempena perayaan mereka jika mereka tidak memusuhi orang-orang Islam dan hidup dalam suasana aman sesama mereka, lebih-lebih lagi non muslim yang mempunyai hubungan khusus dengan muslim seperti kerabat atau sanak saudara, kenalan rapat, jiran, kawan sepengajian, kawan sekerja dan sebagainya. Boleh jadi di kalangan mereka itu pula pernah membantu muslim dalam hal-hal tertentu seperti professor yang pernah menjadi penyelia kepada pelajar muslim, doctor yang pernah merawat ketika muslim sakit atau sebagainya. Menurut mereka, pendapat ini selari dengan nas-nas Syarak yang tidak terdapat di dalamnya sebarang larangan terhadap perkara tersebut (memberikan ucapan tahniah), dan kaedah umumnya menjurus kepada mengharuskannya. Di samping itu reality masa kini jauh berbeza dengan keadaan semasa zaman Ibn Taimiah dan Ibn al-Qayyim.
Antara ulamak yang berpandangan seperti di atas ialah Syaikh al-Qardhawi, Dr. Mustafa az-Zarqa dari Syria, Dr. Abd as-Sattar Fathullah Saeid, Abdullah bin Beih dan lain-lain. Mereka berpendapat bahawa mengucap tahniah adalah merupakan satu birr (kebaikan) yang Allah tidak larang kita lakukan terhadap mereka, lebih-lebih lagi jika mereka telah memberikan ucapan tahniah kepada kita sempena hari raya kita.
Walau bagaimanapun, mereka mensyaratkan ucapan itu jangan sampai menjejaskan agama kita, jangan ada terkandung dalam ucapan itu sama ada secara lisan atau bertulis sesuatu syiar keagamaan atau ungkapan yang bertentangan dengan prinsip Islam seperti salib atau sebagainya, dan jangan ada sesuatu isyarat yang menunjukkan kita mengiktiraf agama mereka atau redha dengannya. Ucapan yang diharuskan hanyalah sekadar ucapan biasa untuk menunjukkan hubungan baik antara kita dengan mereka. Dan jangan ada juga perbuatan yang bercanggah dengan Syariat seperti menghadiahkan arak, ikut serta menjamu selera dengan makanan yang haram, bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan, mendedah aurat dan sebagainya. Semuanya bersepakat mengatakan bahawa ucapan tahniah itu sekadar menunjukkan akhlak mulia yang Allah perintahkan, baik dalam pergaulan, berbudi bahasa serta satu wasilah dakwah dengan hikmah.
Memberikan ucapan tahniah tidak bermakna kita menganut agama mereka atau redha dengannya, bahkan ia merupakan satu kebaikan yang disebut di dalam firman Allah bermaksud:
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Al-Mumtahanah:8-9)
Dua ayat di atas merupakan landasan yang mengatur hubungan antara muslim dengan non muslim.
Adapun fatwa Imam Ibn Taimiah dan Imam Ibn al-Qayyim itu sesuai dengan zaman mereka yang sedang berdepan dengan peperangan salib serta serangan Tatar. Sebarang keringanan dalam menentukan sikap pada masa itu boleh ditafsirkan sebagai redha terhadap penjajahan. Lantaran itu mereka berdua memilih fatwa yang dapat menjaga aqidah muslim dalam berdepan dengan musuh. Adapun pada masa sekarang, keadaannya berbeza.
Tambahan kepada hujah di atas, kita dapati al-Quran mengharuskan muslim makan makanan ahli kitab (nasrani dan yahudi) serta berkahwin dengan wanita mereka. Itu lebih besar daripada mengucapkan tahniah pada hari raya mereka sebagaimana terkandung di dalam ayat yang bermaksud:
“… Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka). Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya – di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka maskahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina, dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan…” Al-Maidah:5
Perkahwinan sudah semestinya mencetuskan hubungan mesra dan kasih sayang antara suami isteri, menantu dengan mertua, besan dengan besan. Maka adakah munasabah, Islam menyuruh berbuat baik, menjaga silatul-rahim, kemudian bila tiba hari raya isteri (dalam kontek suami berkahwin dengan wanita kristian) suami tidak boleh ucap tahniah kepada isterinya, dan tidak boleh ucap tahniah kepada kaum keluarga isterinya yang merupakan mertua dan iparnya? Adakah itu merupakan suatu akhlak mulia yang diperintahkan agama kepada penganutnya?
Apa lagi kalau mereka mengucapkan tahniah kepada kita pada hari raya kita. Islam menyuruh kita agar membalas ucapan tahniah dengan cara yang lebih baik. Firman Allah bermaksud:
“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.” An-Nisaa’:86
Menurut riwayat yang sahih, Ibn Abbas r.a telah berkata: “Sekiranya Firaun berkata kepadaku, “Allah memberkatimu”, nescaya aku berkata kepadanya, “dan kamu”. Dan Firaun telah mati. Maknanya, Ibn Abbas berkata demikian, pada hal dia tahu bahawa Firaun mati dalam keadaan dia kafir.
Anggapan yang mengatakan bahawa mengucap tahniah bermakna redha dengan aqidah mereka adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Bukankah Islam telah membenarkan lelaki muslim berkahwin dengan wanita yahudi dan nasrani, dan dia tidak boleh menghalang isterinya daripada melaksanakan syiar agamanya dan menghantarnya ke gereja untuk menunaikan ibadahnya? Tindakan itu tidak pernah dikaitkan sebagai redha kepada aqidah isterinya. Begitu juga dalam pemerintahan Islam, kerajaan mesti membenarkan mereka membina rumah-rumah ibadah untuk mereka, sehingga seorang ulamak salaf al-Laith bin Sa’ad menganggap pembinaan gereja adalah termasuk dalam bab memakmurkan Negara itu sendiri. Semua itu tentunya lebih besar daripada mengucap tahniah sempena hari perayaan mereka. Allahu A’lam.
Jawapan di atas adalah berdasarkan tulisan Dr. Abd al-Rahman al-Birr dan Abd al-Khaliq Hasan asy-Syarif, Masul Qisim Nasyr ad-Dakwah (Ketua bahagian penyebaran dakwah) Jamaah Ikhwan Muslimin.
No comments:
Post a Comment