Saturday, January 28, 2012

Hukum Wanita Haid Duduk Dalam Masjid

Soalan:

Salam ustazah,

Ana nak tanya sikit tentang hukum orang perempuan yang haid duduk dalam masjid, boleh ke nak mintak ustzh huraikan lagi? Ana nak clarify maksud perempuan haid tak dibenarkan duduk tu adakah spesifik di ruang solat (musolla) atau pun keseluruhan masjid? Mungkin ustzh boleh terangkan sikit tentang maqasid disebalik hukum tersebut.

Jawapan:

Salam,

Perbincangan mengenai isu ini terbahagi kepada dua, hukum duduk untuk tujuan I’tikaf atau sebagainya dan hukum lalu atau melintas di dalam masjid.

Hukum duduk, di dalam kitab ‘Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh’ karangan Dr. Wahbah az-Zuhaliy menyebut: perkara ke 5 yang diharamkan ke atas wanita haid ialah I’tikaf di dalam masjid. Ini disepakati oleh semua mazhab.

Antara dalilnya
1. Hadis riwayat Abu Daud dan lain-lain daripada Aisyah r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. datang ke masjid, baginda mendapati kebanyakan pintu rumah para sahabat r.a. menghala terus ke dalam masjid (maksudnya untuk ke mana-mana mereka kena lalu dalam masjid). Lalu baginda mengarahkan agar diubah kedudukan pintu rumah mereka supaya tidak menghala ke masjid. Baginda menyatakan alasannya (maksudnya): “Kerana sesungguhnya aku tidak halalkan masjid (untuk dimasuki oleh) wanita haid dan orang yang berjunub”.
2. Daripada Umm Salamah r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. masuk ke dalam masjid lalu menyeru dengan suara yang nyaring (maksudnya): “Sesungguhnya masjid tidak halal (dimasuki oleh) wanita haid dan orang yang berjunub”.

Manakala hukum lalu atau melintas di dalam masjid, ulamak Mazhab Hanafi dan Maliki mengatakan haram sama sekali masuk ke dalam masjid walaupun sekadar lalu. Namun sebahagian besar ulamak berpendapat harus bagi wanita haid lalu atau melintas di dalam masjid kerana sesuatu hajat atau ada keperluan jika tidak dibimbangi darah akan menitis. Jika dibimbangi darah akan menitis, maka tidak harus bagi mereka lalu di dalam masjid.

Dalilnya ialah Nabi s.a.w. menyuruh Aisyah r.a. mengambil serban banginda yang terletak di dalam masjid. Aisyah r.a. berkata beliau sedang haid. Lalu baginda bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya haidmu bukan di tanganmu”. Riwayat Muslim, Ibn Majah dan Baihaqiy.

Sebilangan kecil ulamak seperti Daud az-Zohoriy dan al-Mazaniy berpendapat, harus bagi wanita haid masuk dan duduk di dalam masjid kerana bagi mereka Hadis-hadis yang dijadikan dalil oleh mereka yang mengatakan haram itu tidak sahih. Namun Imam asy-Syaukani di dalam kitabnya “Nail al-Autor’ telah menolak dakwaan mereka. Beliau berkata bahawa Hadis-hadis itu statusnya Hasan atau Sahih. Maka tiada alasan untuk menolaknya.

Perlu disebut bahawa maksud masjid adalah tempat atau ruang yang dikhususkan untuk solat. Mengenai maqasid, ia merupakan perkara ta’abudi, iaitu bab ibadah mahdhah (semata-mata ibadah). Bila telah ada nas, kita taat walaupun tidak jelas maqasidnya. Allahu A’lam.

No comments: