SOALAN:
Saya selalu mendapat WA daripada pelbagai pihak mengajak supaya membanyakkan doa pada Hari Arafah, iaitu jemaah haji sedang berwuquf di sana.
Jadi, saya ingin tahu apakah kelebihan Hari Arafah? Adakah ianya khusus untuk mereka yang mengerjakan haji sahaja atau untuk semua orang di semua tempat?
JAWAPAN:
Banyak kelebihan Hari Arafah. Antaranya:
1. Hari Arafah, 9 Zulhijjah termasuk dalam senarai hari-hari terbaik di dunia (10 pertama bulan Zulhijjah). Ia juga termasuk di dalam bulan haram, iaitu empat bulan yang dimuliakan: Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rajab.
2. Hari Arafah adalah hari yang disempurnakan agama ini dengan turunnya ayat ke 3 Surah al-Maidah yang bermaksud: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” Umar bin al-Khattab r.a. berkata: “Seorang Yahudi berkata kepadanya: “Wahai Amirul-Mu’minin, sepotong ayat yang terdapat di dalam kitab kamu yang kamu membacanya, kalaulah ia diturunkan kepada kami orang-orang Yahudi, nescaya kami menjadikan hari turunnya ayat itu sebagai hari raya.” Umar bertanya: “Ayat yang mana?” Yahudi itu menjawab: “Ayat ke 3 surah al-Maaidah”.
Umar r.a. berkata: “Sesungguhnya kami telah mengetahui hari diturunkan ayat itu. Iaitu ketika baginda s.a.w. berdiri (wuquf) di Arafah pada hari Jumaat.”
3. Ganjaran paling besar bagi mereka yang berpuasa sunat pada Hari Arafah. Nabi s.a.w. ditanya mengenainya. Lalu baginda bersabda maksudnya: “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang.” Riwayat Muslim. Namun, puasa pada Hari Arafah tidak disunatkan ke atas mereka yang sedang berwuquf.
4. Hari pembebasan dari api neraka. Daripada Aisyah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada hari yang paling banyak Allah memerdekakan hambaNya dari neraka lebih daripada Hari Arafah. Sesungguhnya Dia menghampiri kemudian berkata dengan bangga kepada para malaikat: “Apa yang mereka itu kehendaki?” Riwayat Muslim (1348)
5. Hari paling afdhal untuk berdoa. Daripada Abdullah bin ‘Amru r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sebaik-baik doa doa Hari Arafah. Dan sebaik-baik ucapan aku serta nabi-nabi sebelumku, la ilaha illa Allah, wahdahu la syarika lahu, lahul-mulku walahul-hamdu, wahuwa ‘ala kulli syaiein qdir.” Riwayat at-Tirmizi (3585)
Hadis di atas menunjukkan kelebihan berdoa pada Hari Arafah.
Adakah kelebihan itu khusus untuk mereka yang mengerjakan haji dan sedang berwuquf di Arafah atau merangkumi seluruh pelusuk bumi?
Ulamak berbeza pendapat tentang hali itu.
Menurut Sheikh Muhammad Soleh Al-Munjid, yang arjah (lebih rajih) ianya menyeluruh. Kelebihan itu terletak pada harinya. Namun tidak diragui bahawa orang yang sedang berwuquf itu memperolehi semua kelebihan, iaitu kelebihan tempat dan kelebihan masa.
Sheikh al-Baji berkata: “Doa paling afdhal adalah hari Arafah” bermaksud zikir yang paling berkat, paling besar ganjarannya dan paling hampir perkenannya. Kemungkinan ianya khusus untuk mereka yang sedang mengerjakan haji sahaja kerana maksud doa Hari Arafah itu menepati mereka dan dikhususkan untuk mereka. Dan sesungguhnya disifatkan hari itu sebagai Hari Arafah adalah semata-mata kerana berkaitan dengan amalan mereka yang mengerjakan haji padanya.” Al-Muntaqa Syarah al-Muwatto’ (358/1)
Terdapat riwayat yang sahih daripada sebahagian salaf bahawa mereka mengharuskan “ta’rif” iaitu berkumpul di masjid-masjid untuk berdoa dan berzikir pada Hari Arafah. Antara mereka yang berbuat demikian ialah Ibn Abbas r.a.
Imam Ahmad bin Hanbal mengatakan ianya harus walaupun beliau sendiri tidak berbuat demikian.
Al-Qadhi berkata: “Tidak mengapa melakukan “ta’rif” (beramal seperti sedang wuquf di Arafah) di waktu petang Hari Arafah di bandar-bandar lain daripada Arafah. Al-Athram berkata: “Aku bertanya Abu Abdullah (Imam Ahmad) tentang “ta’rif” di bandar-bandar, di mana mereka berkumpul di masjid-masjid pada Hari Arafah.” Beliau menjawab: “Aku berharap ianya tidak mengapa. Dan ia telah dilakukan oleh bukan seorang (ramai orang)”. Dan Al-Athram meriwayatkan daripada Hasan bahawa dia berkata: “Orang pertama melakukan “ta’rif” di Basrah adalah Ibn Abbas r.a.
Ini menunjukkan bahawa mereka berpendapat kelebihan Hari Arafah tidak dikhususkan untuk mereka yang mengerjakan haji sahaja sekalipun tidak ada sebarang riwayat daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda berkumpul di masjid-masjid pada Hari Arafah untuk berzikir dan berdoa. Lantaran itu Imam Ahmad tidak melakukannya. Namun beliau tidak melarangnya kerana terapat riwayat ada sahabat yang melakukannya seperti Ibn Abbas dan ‘Amru bin Harith r.a.
Dipetik daripada:
https://islamqa.info/ar/70282
http://www.saaid.net/mktarat/hajj/155.htm
No comments:
Post a Comment