Saturday, April 18, 2015

NASAB ANAK ZINA

Soalan:

Assalam.. nak tnya.. ada satu kes dia mngandung 3 bln..blm berkawin.. n bakal berkawin dgn lelaki tu... apa status ank dia..
boleh bin atau bintikan pd bapa nya tak kalau clear anak itu hasil zina sebelum kahwin? walaupun pasangan itu adalah ayah kepada anak?

Jawapan:

Wasalam

Anak hasil zina tidak dinasabkan atau dibinkan/dibintikan kepada lelaki yang berzina dengan wanita yang melahirkan anak itu. Ini merupakan pendapat semua fuqahak berdasarkan hadis yang bermaksud: “Anak untuk firasy (hubungan melalui perkahwinan yang sah). Dan untuk pezina adalah batu.” Riwayat Muslim.
Kata Imam an-Nawawi, maksud “untuk pezina adalah batu” adalah dia tidak berhak apa-apa ke atas anak itu. Anak itu tidak boleh dinasabkan kepadanya, tidak boleh mewarisi dan diwarisi.

Sekiranya lelaki yang berzina itu bernikah dengan wanita yang telah dizinainya, apakah kesan ke atas anak yang dikandung sebelum bernikah?

Di dalam “Al-Fatawa al-Hindiah”, fiqh Mazhab Hanafi menyebut: “Sekiranya dia berzina dengan seorang perempuan, maka perempuan itu mengandung hasil zina, kemudian dia berkahwin dengan perempuan itu, lalu perempuan itu bersalin selepas enam bulan berkahwin atau lebih daripada enam bulan, sabit nasab kepadanya. Jika perempuan itu bersalin kurang daripada enam bulan selepas berkahwin, tidak sabit nasab kepadanya, kecuali dia mengaku bahawa anak itu anak dia tanpa dia menyebut hasil zina. adapun jika dia berkata bahawa anak itu hasil zina, maka tidak sabit nasab kepadanya dan tidak boleh mewarisi hartanya.”

di dalam kitab “Al-Mughni” Ibn Qudamah Mazhab al-Hanbali: “Anak zina tidak dinasabkan kepada pezina, iaitu jika dia mengaku anak itu anaknya (hasil zina) tidak dinasabkan kepadanya. Ini adalah pendapat jumhur, iaitu majority fuqahak.”

Ali bin Aasim meriwayatkan daripada Abu Hanifah, bahawa dia berkata: “Pada pendapat aku, tidak mengapa sekiranya seorang lelaki berzina dengan seorang perempuan, maka perempuan itu mengandung, dia berkahwin dengannya dan menutup aibnya, dan anak itu adalah anaknya.”

Kata-kata Ibn Taimiah rahimahullah: “Sekiranya seseorang mengaku anaknya daripada zina, bukan daripada perkahwinan, maka dinasabkan kepadanya. Ini merupakan pendapat al-Hasan, Ibn Sirin, an-Nakha’ei dan Ishaq.

Kesimpulan yang dibuat oleh Dr Abdul Karim Zaidan, fuqahak yang mengatakan dinasabkan kepadanya jika dia mengaku anak itu anaknya adalah jika dia tidak mengatakan bahawa dia berzina dengan perempuan itu. Jika dia sendiri mengatakan anak itu adalah hasil zinanya, maka tidak boleh dinasabkan kepadanya.
Dan jika seorang perempuan berkahwin, kemudian dia melahirkan anak kurang daripada enam bulan, dan suaminya diam (tidak menuduh isterinya telah berzina sebelum kahwin), atau dia sendiri mengaku anak yang dilahirkan itu anaknya tanpa dia menyebut bahawa dia telah berzina sebelum kahwin, maka anak itu dinasabkan kepadanya secara sah di dunia.

Maka, berdasarkan fatwa-fatwa yang dikemukakan, jawapan kepada soalan di atas adalah tidak boleh dibinkan / dibintikan kepada lelaki itu kerana dia sendiri telah mengaku berzina. Allahu A’lam.

Jawapan ini dipetik daripada kitab, “Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim fi asy-Syari’ah al-Islamiyyah”, Dr Abdul Karim Zaidan, jilid 9, hal 381 - 384


No comments: