Friday, April 10, 2015

Fadhilat Surah al-Kahf

Soalan:

Salam Ustazah. Maaf nak tanya sikit, apa kelebihan baca surah al-Kahf? Akhir-akhir ni banyak dapat mesej supaya baca surah al-Kahf terutama malam jumaat. Sebelum ni saya selalu baca Ya Siin.


Jawapan:

Wassalam. Terdapat beberapa riwayat yang sahih tentang kelebihan membaca surah al-Kahf.
1.     Daripada Abu Dardaa' r.a. daripada Nabi s.a.w. Baginda bersabda maksudnya: "Sesiapa yang menghafaz 10 ayat daripada awal surah al-Kahf, dia dipelihara dari fitnah Dajjal." Di dalam riwayat lain: "Sesiapa yang membaca 10 ayat terakhir daripada surah al-Kahf, dia dipelihara daripada fitnah Dajjal." Riwayat Muslim dan lain-lain.
2.     "Sesiapa yang membaca 10 ayat daripada akhirnya (surah al-Kahf) kemudian keluar Dajjal, ia (Dajjal) tidak akan memudaratkannya." Dikeluarkan oleh al-Hakim dan dia mengatakan ia sahih
Masa untuk membaca surah al-Kahf, dinyatakan di dalam hadis-hadis berikut:
1.     Daripada Abu Sa'eid al-Khudri r.a. dia berkata: "Sesiapa yang membaca surah al-Kahf pada malam Jumaat, diterangi untuknya dengan cahaya antara dia (tempat dia berada) dengan rumah yang 'ateeq (Baitillah)" Riwayat ad-Darami, menurut al-Albani adalah sahih.
2.     "Sesiapa yang membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat, diterangi untuknya dengan cahaya antara dua Jumaat." Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi.  Menurut Ibn Hajar, hadis hasan. Manakala  al-Albani, sahih
3.     Daripada Ibn Umar r.a.  Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesiapa yang membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat, terpancar baginya cahaya dari bawah tapak kakinya menjulang hingga ke langit meneranginya hingga ke hari qiamat. Dan diampunkan dosanya antara dua Jumaat." Al-Munziri berkata, hadis ini diriwayatkan oleh Abu Bakar bin Mardawaih di dalam tafsirnya dengan sanad yang tidak mengapa, yakni boleh diterima.

Allahu A'lam.

No comments: