Soalan:
assalamualaikum wbt ustzh
sy nak mintak tolong sebab ada akhawat
mintak saya beri pendapat..jadi saya rasa perlu rujuk pada yang lebih pakar
dalam bidang ni. harap ustzh dapat bantu.
kalau ustzh ada masa, boleh x nak mintak
ustzh terangkan sikit tentang menjadi daie. Ada yang berkata keutamaan kita
adalah menjadi muslim dan kena balance.
tapi saya kurang faham tentang ada
pilihan untuk tidak buat dakwah dan cukup sekadar menunjukkan qudwah dengan
menjadi muslim yg balance tapi ini juga dikira dakwah kan?
dan cukupkah tuntutan berdakwah
seseorang sekadar melalui qudwah tanpa menyampaikan dengan perkataan?
Jawapan:
Wa’alaikumus-salam wrwb.
Pertama saya akan cuba hurai makna dakwah
Dari segi bahasa
dakwah yang mana akar katanya daripada huruf dal, ain dan waw bermakna
menjadikan seseorang condong atau cederong kepada kita dengan suara atau
kata-kata daripada kita (mu'jam maqayis al-lughah)
Perkataan dakwah
di dalam al-Quran membawa beberapa maksud:
1.
Meminta
atau memohon (Al-Furqan:14)
2.
Seruan
(Al-Kahf:52)
3.
Bertanya
(Al-Baqarah:69)
4.
Menggalak
atau menggesa (Ghafir:41)
5.
Meminta
tolong (Al-An'am: 40)
6.
Menyuruh
atau memerintah (Al-Hadid:8)
7.
Doa
(Al-A'raf:55)
Kesemua makna di
atas merujuk kepada satu maksud, iaitu meminta atau memohon. Seruan, minta
supaya datang. Tanya atau soal, minta maklumat. Galak atau gesa, minta supaya
seseorang melakukan apa yang dia tidak suka. Minta tolong, mohon supaya
dihilangkan kemudaratan yang dialami oleh orang yang meminta. Perintah, minta supaya
dilaksanakan sesuatu perkara. Doa, minta daripada Allah sesuatu hajat.
Dakwah dari segi
istilah, para salaf tidak begitu menekankan tentang pentakrifan dakwah secara
jelas. Apa yang difahami adalah berdasarkan petikan-petikan daripada percakapan
mereka sahaja.
Ada yang
menganggap bahawa takrif dakwah adalah apa yang diungkapkan oleh sahabat yang
bernama Rab'ei bin 'Aamir r.a. di hadapan Rustum panglima angkatan tentera
Farsi dalam peperangan al-Qadisiah: Kami datang untuk mengeluarkan manusia
daripada menyembah sesama manusia kepada menyembah tuhan manusia, daripada
kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat, daripada kezaliman
agama-agama kepada keadilan Islam.
Ahmad ar-Rasyid,
penulis buku al-Muntalaq berkata menurut Ibn Taimiah: Dakwah kepada Allah ialah
menyeru ke arah iman kepadaNya dan kepada apa yang dibawa oleh rasul-rasulNya,
dengan membenarkan apa yang disampaikan dan mentaati apa yang diperintahkan.
Ada juga di
kalangan ulamak kini yang mengemukakan takrif dakwah dengan berkata:
ü Dakwah ialah mengenalkan manusia akan Tuhan
mereka, nama-namaNya dan sifat-sifatNya, serta cara bagaimana untuk sampai
kepadaNya dan apa yang mereka akan perolehi jika mereka sampai kepadaNya.
ü Menggalakkan manusia melakukan kebaikan,
mengikuti petunjuk Tuhan, menyuruh makruf dan mencegah mungkar supaya mereka
mencapai kejayaan dengan memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat
ü Menyampaikan Islam kepada manusia, mengajar
mereka ajarannya dan melaksanakannya dalam kehidupan.
Melihat kepada
takrif dari sudut bahasa sudah dinyatakan dengan jelas bahawa dakwah itu dengan
suara atau kata-kata. Dan itulah yang dilakukan oleh rasul-rasul
alaihimus-solatu was-salam termasuk Nabi Muhammad s.a.w.
Sebagai
perbandingan, katakan kita hendak buat kenduri. Kita pasang khemah, susun
kerusi, meja dan hidang makanan di atas meja, adakah orang akan berduyun-duyun
datang bila mereka nampak makanan terhidang tanpa kita mengundang mereka? Tentu
tidak. Begitu jugalah halnya dengan dakwah kepada Islam. Sekadar menunjukkan
teladan tidak bermakna kita telah mengajak mereka kepada Islam.
Al-Quran
memerintahkan Nabi s.a.w. serta umatnya agar berdakwah dengan menyampaikan.
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan
nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan
itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih
mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih
mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.” (An-Nahl:125)
Allah Ta'ala juga
menceritakan semua Rasul-rasul mengajak dan menyeru kaumnya agar menyembah
Allah Yang Esa. Mereka bukan setakat menyembah supaya dilihat oleh kaumnya.
"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus
dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru
mereka): Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut.” (An-Nahl:36)
Begitu juga Nabi Muhammad s.a.w. Malah
baginda bukan hanya menyampai, sebaliknya di samping menyampai baginda
mentazkiah dan mengajar. “Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan
orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari
bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang
membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari
iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah
(pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka
sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.”
(Al-Jumu’ah:2)
Perhatikan ayat berikut, Allah memuji
orang yang menyampaikan dakwah sebagai orang yang paling baik kata-katanya.
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada
(mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal
yang soleh, sambil berkata: Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam
(yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Fussilat:33)
Kesimpulannya, teladan yang baik bukan
dakwah. Tetapi ia merupakan pra syarat untuk berdakwah, kewajipan pendakwah
agar memperbaiki diri, menjadi contoh kepada mad’unya dalam melakukan apa yang
didakwah atau yang diserukannya. “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat
kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca
Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?” (Al-Baqarah:44) Allahu A’lam.
No comments:
Post a Comment