Monday, August 29, 2022

HUKUM MEMANDULKAN KUCING

Soalan: 

Bolehkah saya mengembiri atau memandulkan kucing betina saya. Ini kerana setelah melahirkan anak dua kali, Kucing saya tidak pandai menjaga anaknya sehinggakan mati seekor demi seekor.

Jawapan:

Mesyuarat Panel Kajian Syariah (Panel Pakar Syariah) yang bersidang pada 3-4 April 2002 telah membincangkan Hukum Mengembiri Binatang Kesayangan. Mesyuarat bersetuju memutuskan bahawa mengembiri binatang kesayangan (seperti kucing atau anjing) adalah diharuskan dengan sebab-sebab tertentu iaitu bagi menjaga maslahah ammah (kepentingan awam). 

Menurut secretariat Dar al-Ifta’ Mesir, memandulkan kucing tidak haram dengan syarat dilakukan dengan kaedah perubatan supaya tidak mendatangkan kemudaratan kepadanya.


Thursday, February 10, 2022

NAFKAH BALU SEMASA IDDAH

SOALAN:

Salam. Ustazah, saya terbaca satu posting di fb bahawa dalam Islam, nafkah balu kematian suami sepanjang tempoh edah selama 4 bulan 10 hari wajib ditanggung oleh bapa kepada arwah suaminya. Jika bapa tidak mampu atau sudah meninggal atau tidak peduli, maka tanggungjawab memberi nafkah jatuh kepada adik beradik lelaki arwah suami.

Betulkah begitu? Mohon pencerahan. Terima kasih. 


JAWAPAN:

Wassalam. Untuk menjawap persoalan yang dikemukakan, saya bawakan pandangan fuqahak empat mazhab tentang nafkah wanita yang kematian suami semasa iddah yang dipetik oleh Dr Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya “Al-Mufassol fi Ahkamil Mar’ati wal Baitil Muslim” jilid 9.

Mazhab Hanafi 

Wanita yang berada dalam iddah kematian TIADA nafkah untuknya termasuk tempat tinggal daripada harta peninggalan suaminya, sama ada dia hamil atau tidak. Ini kerana semua harta peninggalan suaminya telah menjadi pusaka. Maka tidak boleh digunakan untuk nafkah dirinya serta tempat tinggalnya daripada harta pusaka itu. Hukum ini sama saja sama ada wanita itu telah tua, masih muda, masih kecil, sudah dewasa, muslimah atau kitabiah.

Mazhab Maliki 

Wanita yang berada dalam iddah kematian TIDAK ADA nafkah untuknya. Tetapi dia berhak mendapat tempat tinggal jika dia telah disetubuhi dan ada kemampuan untuk disetubuhi. Jika dia tidak ada kemampuan untuk disetubuhi, maka dia tidak berhak mendapat tempat tinggal kecuali suaminya telah menempatkannya di rumah itu sebelum kematiannya, sama ada dia telah menyetubuhinya atau belum. Dan syarat rumah yang dia berhak duduki itu ialah milik suaminya atau rumah sewa yang dia telah membayar sewanya sebelum kematiannya. Jika dia belum membayar sewanya, maka hak tuan rumah untuk menyuruh wanita itu keluar daripada rumah itu. 

Mazhab Syafi’e 

Wanita yang berada dalam iddah kematian berhak mendapat tempat tinggal. Adapun nafkah makanan dan pakaian tidak wajib diberikan. 

Dalil dia berhak mendapat tempat tinggal ialah Hadis yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dan lain-lain bahawa Nabi SAW menyuruh Furai’ah binti Malik RA tinggal di rumahnya sehingga habis iddah selepas suami mati dibunuh. Maka dia menghabiskan iddah di rumah itu selama 4 bulan 10 hari. 

Dan dalil tidak wajib nafkah makanan dan pakaian untuknya ialah sebab wajib nafkah ialah kehidupan bersama sebagai suami isteri. Hal ini tidak mungkin lagi dengan sebab berlakunya kematian.

Mazhab Hanbali 

Wanita yang berada dalam iddah kematian tidak berhak mendapat tempat tinggal serta nafkah sekiranya dia tidak mengandung. Jika dia mengandung, maka terdapat dua Riwayat:

Pertama: Dia berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal kerana dia mengandungkan anak suaminya yang meninggal itu. Dia berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal samalah seperti sekiranya dia diceraikan dalam keadaan dia hamil.

Kedua: Dia tidak berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal kerana harta peninggalan si mati telah berpindah menjadi harta pusaka. Nafkah dan tempat tinggal untuknya tidak boleh diberikan daripada harta milik waris. Sebaliknya jika si mati mempunyai harta yang boleh diwarisi maka nafkah untuk isteri yang hamil itu adalah daripada bahagian harta yang diwarisinya. Jika suami tidak mempunyai harta peninggalan yang boleh diwarisi, tidak diwajibkan ke atas waris si mati memberikan nafkah untuk isteri yang hamil itu. Al-Qadhi Al-Hanbali berkata, riwayat inilah yang lebih sahih.

Jika diperthatikan pandangan empat mazhab yang dikemukan, tidak ada satu mazhabpun yang berkata nafkah balu semasa edah wajib ditanggung oleh bapa suaminya atau adik-beradik lelakinya, termasuk pendapat Mazhab Syafi'ei.

Dia berhak mendapat pusaka 1/4 daripada harta peninggalan jika dia tidak mempunyai anak. Jika mempunyai anak, haknya 1/8 daripada peninggalan. Kalua bagi nafkah iddah daripada harta suami maka bahagian pusakanya sudah jadi lebih daripada apa yang diperuntukkan dalam al-Quran. 

Walau bagaimanapun terdapat sesetengah undang-undang keluarga negara-negara Islam memperuntukkan nafkah iddah mati daripada harta suami tanpa mengira dia hamil atau tidak.

Kalau suami tidak ada harta, qadhi kena perintah keluarkan nafkah daripada baitulmal atau daripada mana-mana tabung kebajikan. 

Tetapi tidak ada peruntukan diwajibkan nafkah ke atas bapa mertua.


Allahu A’lam.


Sunday, January 30, 2022

HUKUM SOLAT DENGAN PAKAIAN YANG ADA NAJIS

SOALAN:

Salam Ustazah,

Apakah hukum solat kita apabila kita menyedari adanya najis di kain telekung kita selepasa selesai solat? Perlu disolat semula atau tak ya? 


JAWAPAN

Wassalam.

Menurut kebanyakan ulamak, jika kita solat dalam keadaan kita tidak tahu ada najis pada pakaian kita, maka solat kita sah. Jika kita sedari selepas itu, solat tidak perlu diulang. 

Daripada Abu Sa’eid al-Khudri RA daripada Nabi SAW, bahawa baginda SAW sedang menunaikan solat dengan memakai kasut. Tiba-tiba baginda menanggalkan kasutnya. Maka semua jamaah meninggalkan kasut mereka. 

Selesai solat, baginda bertanya, “kenapakah kalian tanggalkan kasut kalian?” 

Mereka menjawab, “kami melihat anda menanggalkan kasut anda, lalu kamipun tanggalkan kasut kami”.

Baginda SAW menjelaskan, “Sesungguhnya Jibril datang memberitahuku bahawa pada kedua-dua kasutku terdapat najis. Maka apabila salah seorang daripada kamu datang ke masjid, hendaklah dia melihat kedua tapak kasutnya. Jika terdapat najis, hendaklah dia menggeselnya di tanah kemudian hendaklah dia solat.” Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Baihaqi, al-Hakim dan lain-lain. 

Dalam Riwayat di atas, tidak dinyatakan bahawa Nabi SAW mengulangi solatnya selepas menanggalkan kasut yang terdapat najis padanya. Sebaliknya baginda meneruskan solat sehingga selesai. 


Monday, September 27, 2021

ISTERI TIDAK BOLEH KE MASJID UNTUK SOLAT JENAZAH SUAMI?



Sedia maklum bahawa sekarang ini sering berlaku suami meninggal di hospital kerana covid, kemalangan jalan raya dan lain-lain. Jenazahnya dimandikan di hospital atau di masjid. 

Ada pihak yang mengatakan isteri tak boleh keluar rumah untuk ke masjid melihat wajah suami buat kali terakhir dan untuk solat jenazah ke atas mayatnya. 

Mereka berkata, haram bagi wanita yang dalam iddah kematian suami pergi ke masjid walaupun untuk solat jenazah suami sendiri kerana katanya isteri tidak boleh lagi keluar rumah kerana iddahnya telah bermula dan wanita yang beriddah tidak boleh keluar dari rumah. 
Alasanya adalah sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah daripada Ali RA yang menceritakan bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW keluar dari rumahnya. Baginda terjumpa sekumpulan wanita sedang duduk. Baginda bertanya:
“Apa hal kalian duduk di sini?”
“Kami sedang menunggu jenazah,” jawab mereka.
“Adakah kalian akan memandikannya?” tanya baginda lagi.
“Tidak,” jawab mereka.
“Adakah kalian akan mengusungnya?” tanya baginda.
“Tidak,” jawab mereka.
“Adakah kalian akan menghantarnya ke dalam kuburnya?” tanya baginda seterusnya.
“Tidak,” jawab mereka.
“Kalau begitu, hendaklah kalian pulang. Kalian menanggung dosa, bukan mendapat pahala.”

Ini menyebabkan ramai wanita yang rasa tertekan dan sukar untuk mengikutinya.

Betulkah begitu? 
Adakah Islam tidak mengambil kira langsung perasaan cinta dan kesedihan yang dialami oleh seorang isteri. 
Sudahlah diuji dengan kematian yang tidak diduga, dihalang pula untuk solat dan menatap wajah suami tercinta buat kali terakhir di dunia ini. 
Bukankah Islam ini agama rahmah? 
Bukankah Allah sendiri yang menanamkan dalam hati suami dan isteri perasaan rahmah dan mawaddah terhadap satu sama lain?

Untuk menjawabnya dikemukakan di sini pandangan Syeikh Abdul Rahman bin Abdullah bin Soleh Assuhaim. Beliau berkata:

Wanita yang berada dalam iddah kematian suami harus keluar pada waktu siang kerana sesuatu keperluan.  Dan harus baginya keluar untuk menunaikan solat jenazah suaminya yang meninggal itu atau keluar untuk solat jenazah ibu bapanya yang meninggal semasa dia berada dalam iddah.

Begitu juga harus bagi wanita keluar ke masjid untuk tunaikan solat jenazah, lebih-lebih jika jenazah itu tiba berbetulan dengan solat fardhu sebagaimana yang berlaku di Masjidil-Haram dan Masjid Nabawi.

Hadis yang disebut di atas adalah dhaif. Syeikh al-Albani memasukkannya dalam “Dhaif al-Jami’”. 
Hadis itu juga bercanggah dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ummu Atiyyah RA. Beliau berkata: “Kami dilarang mengiringi jenazah, tetapi tidak ditegaskan larangannya (yakni tidak diharamkan)”.
Imam al-Nawawi berkata, larangan di sini berupa tanzih (lebih baik dijauhi) bukan tahrim (mengharamkan)

Allahu A’lam.

Sumber:
http://www.saaid.net/Doat/assuhaim/fatwa/152.htm

Wednesday, August 11, 2021

HUKUM MOP LANTAI DENGAN DETTOL YANG MENGANDUNGI ALKOHOL

SOALAN:

Assalamualaikum. Tumpang tanya, lantai rumah kalau kita mop dgn dettol, kena bilas semula ke dengan air biasa sebab dettol tu ada alcohol?

JAWAPAN:

Wa’alaikumus-salam wrwb.

Dettol tu mungkin mengandungi etil alkohol, bukan alkohol yang diistilahkan arak. Etil alkohol berbeza dgn alkohol (arak).

Etil alkohol bukan najis. Sifatnya racun kalau diambil berlebihan. 

Oleh kerana bukan najis, maka tak perlu dibilas.


Saturday, July 10, 2021

ADAKAH DAGU TERMASUK AURAT?


SOALAN:

salam ustazah, bagaimana dengan dagu adakah dikira aurat sebab mengikut takrifan sempadan muka yg ustazah sebutkan, dagu adalah sebahagian dari muka, jadi bukan aurat?mohon pencerahan.jzkk ustazah

JAWAPAN:

Wassalam.


Penditilan tentang had sempadan muka ditemui dalam bab wudhuk. Dalam bab aurat, fuqahak menyebut bahawa muka bukan aurat tetapi tidak memperincikan hadnya. Maka untuk mengetahui had muka, kenalah merujuk bab wudhuk. Difahami daripada situ, dagu termasuk sebahgian daripada muka. Justeru, dagu bukan aurat.

Amalan menutup dagu oleh kebanyakan Muslimah khususnya di Malaysia adalah satu langkah ihtiat         ( احتياط ), iaitu berjaga-jaga dan berhati-hati supaya tidak tededah bahagian leher. Leher sudah termasuk aurat. الله اعلم 


Sunday, July 4, 2021

HUKUM MELEWATKAN SOLAT

SOALAN:

salam ustazah.. 

sy nak minta pandangan ustazah betul ke tak ada hadith sahih tentang solat diawal waktu? yg ada hanya solat pada waktunya.. atau dalil yg kita kena jaga solat diawal waktu?

JAWAPAN:

Wassalam 

Al-Daru Qutni meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: “(Solat) pada awal waktu ridhwanullah (keredhaan Allah). Pada pertengahan waktu rahmat Allah dan pada akhir waktu keampunan Allah.”

Berdasarkan hadis ini, maka afdhal solat pada awal waktu.

Harus melewatkannya tetapi khilaf aula, iaitu berlawanan dengan perkara yang utama atau yang afdhal. 

Sungguhpun begitu, tidak berdosa jika dilewatkan jika terdapat keuzuran atau keperluan yang mendesak.

Namun perlu diingat jika dilewatkan dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran, maka implikasinya ialah:

1. Wanita yang kedatangan haid dalam waktu solat, dan dia belum menunaikan solat waktu tersebut, pada hal dia mempunyai cukup waktu untuk menunaikannya, dia wajib qadha selepas suci nanti.

2. Jika seseorang melewatkan solat dengan sengaja kemudian dia mati sebelum habis waktu solat dalam keadaan dia belum menunaikan solat tersebut, dibimbangi dia dikira sebagai telah meninggalkan satu solat dengan sengaja. Allahu A’lam. 

Justeru, jadikanlah kebiasaan harian kita solat awal waktu. Satu daripada pesanan Hasan al-Banna, bangkitlah menunaikan solat apabila kamu mendengar seruan azan, walau kamu berada dalam keadaan apa sekalipun.