Wednesday, August 20, 2008

Menanam Mayat Dalam Kawasan Rumah

Soalan

Assallamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Ustazah, semasa saya berkerja di pedalaman Sabah, saya dapati kaum Kadazan/Dusun menanam mayat ahli keluarga mereka diserambi rumah mereka atau dalam kawasan rumah mereka. Saya bertanya kepada ahli keluarga mereka tentang perkara itu. Mereka menceritakan dengan berbuat demikian maka ahli keluarga tidak akan menjual tanah itu kelak sebab Ada kuburan ahli keluarga mereka ditanam disitu.

Saya telah menceritakan perkara tersebut kepada kawan-kawan. Ada diantara mereka ingin berbuat demikian supaya anak-anak mereka tidak akan menjual tanah mereka sewenang-wenangnya selepas kematian meraka.

Soalan saya : Apakah hukum Islam dalam perkara ini ?

Jawapan

wa'alaikumus-salam wr.wb.

Syaikh Muhammad al-Syarbini al-Khatib di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj menulis: tanam mayat di tanah perkuburan lebih afdhal kerana ada doa para pengunjung dan orang lalu lalang. Nabi SAW sendiri menanam mayat ahli keluarga dan para sahabat di tanah perkuburan al-Baqi'. Menurut fatwa al-Qaffal, menanam mayat di rumah adalah makruh. Manakala pendapat yang masyhur, perbuatan itu dianggap berlawanan dengan yang afdhal. Adapun jenazah Rasulullah SAW ditanam di dalam rumah baginda, kerana seseorang Nabi, Allah tidak mengambil nyawanya kecuali di tempat yang Dia suka jasad Nabi itu disemadikan. Adapun orang-orang yang syahid, maka sunat dikebumikan di tempat mereka terbunuh. (jilid 1, m.s.362, 1958)

No comments: