Soalan:
Asssalamualaikum Ustazah,
Adakah dibolehkankan syarak untuk wanita dalam haid duduk di mesjid bagi tujuan mendengar kuliah maghrib atau ceramah jika tidak ditakuti berlaku kebocoran/darah menitik.
Jawapan:
Wa'alaikumus-salam wr.wb
Boleh masuk dan lalu jika perlu seperti mengambil barang atau masjid merupakan laluan baginya tetapi tidak boleh duduk.
Ini merupakan pandangan majoriti ulamak. Antara dalil yang menjadi sandaran ialah:
1. Rasulullah s.a.w. berkata kepada Aisyah r.a. (maksudnya): "Tolong ambil kain saya di dalam masjid!" Aisyah menjawab: "Saya sedang haid". Baginda bersabda (maksudnya): "Sesungguhnya haidmu bukan di tanganmu". Riwayat Muslim, Ibn Majah, Baihaqiy.
2. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): "Tidak dihalalkan masjid untuk orang haid dan junub". Riwayat Abu Daud.
3. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): "Sesungguhnya masjid tidak dihalalkan untuk orang haid dan junub". Riwayat Ibn Majah.
Berdasarkan Hadis-hadis di atas, jelas bahawa 'illah atau sebab larangan adalah hadas, bukan sebab takut bocor atau menitik kerana kalau sebabnya takut bocor atau menitik, orang yang berjunub tidak dilarang.
No comments:
Post a Comment