Friday, September 3, 2010

HUKUM LELAKI MEMAKAI PAKAIAN WARNA MERAH

SOALAN:

Salam ustazah, apa khabar? Didoakan ustazah sihat sepanjang Ramadhan yg mulia tahun ni dan tahun2 akan dtg.

Saya ada satu kemusykilan, dengar2 org kata lelaki tak boleh pakai warna merah, betul tak? Risau juga sebab dah terbeli ni…
Mohon penjelasan. Time kasih bebanyak.

JAWAPAN:

Salam dan terima kasih atas doa.

Terdapat satu Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan lain-lain daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Aas, bahawa Rasulullah s.a.w. melihat dia memakai pakaian yang dicelup kesumba (warna merah). Maka baginda menegur dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya ini daripada pakaian orang kafir. Jangan kamu memakainya!”
Dalam riwayat lain, Muslim juga, melihat Abdullah memakai pakaian yang dicelup kesumba, Rasulullah s.a.w bertanya (maksudnya), adakah ibu kamu menyuruh kamu? Abdullah berkata, soalan itu menggambarkan baginda tidak suka saya memakai pakaian yang dicelup dengan warna merah itu. Maka saya bertanya, adakah saya perlu membasuhnya? Baginda menjawab (maksudnya): “Bahkan hendaklah kamu membakarnya!”.
Di dalam satu riwayat, Sayyidina Ali r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. melarang daripada memakai pakaian yang keras dan yang dicelup kesumba”.
Di dalam syarahnya, Imam an-Nawawi berkata:
Ulamak berbeza pendapat tentang hukum lelaki memakai pakaian yang dicelup kesumba.
Jumhur ulamak dari kalangan sahabat, tabi’ein dan selepas mereka mengatakan harus. Ini juga merupakan mendapat asy-Syafi’ei, Abu Hanifah dan Malik. Namun beliau (asy-Syafi’ei) berkata, pakaian yang lain daripada itu adalah lebih afdhal. Dalam satu riwayat daripadanya (asy-Syafi’ei) beliau mengharuskan memakainya di dalam rumah dan di halamannya. Di tempat-tempat lain seperti perayaan, pasar dan sebagainya makruh.
Sekumpulan ulamak yang lain berkata, memakai pakaian yang dicelup kesumba adalah makruh tanzih (sangat baik ditinggalkan). Mereka berkata, itulah maksud larangan Nabi dalam Hadis di atas kerana terdapat riwayat yang sahih juga bahawa Nabi s.a.w. pernah memakai pakaian berwarna merah.
Al-Khattabi berkata, larangan dalam Hadis ini ditujukan kepada pakaian yang dicelup selepas ditenun, adapun yang dicelup benangnya kemudian ditenun, tidak termasuk di dalam larangan.
Sebahagian ulamak pula berpendapat bahawa larangan dalam Hadis ini ditujukan kepada orang yang dalam ihram haji atau umrah. Ini selari dengan Hadis riwayat Ibn Umar bin al-Khattab bahawa Nabi s.a.w. melarang muhrim (orang yang dalam ihram) memakai pakaian yang dicelup dengan waras (merah) atau za’faran.
Al-Baihaqiy agak teliti dalam masalah ini. Beliau telah menulis di dalam kitabnya ‘Ma’rifah as-Sunan’, Asy-Syafi’ei melarang lelaki memakai pakaian yang dicelup za’faran dan mengharuskan yang dicelup kesumba. Beliau (Asy-Syafi’ei) memberikan alasan dengan berkata: aku melonggarkan hukum memakai pakaian yang dicelup kesumba kerana aku tidak temui satupun riwayat daripada Nabi s.a.w. melarangnya kecuali apa yang diriwayatkan daripada Ali r.a. bahawa dia telah berkata: ‘Nahani’ (yang bermaksud Rasulullah s.a.w. melarang saya) dan saya tidak berkata: Nahakum (bermaksud dia melarang kamu). Al-Baihaqiy mengulas, sesungguhnya telah terdapat Hadis-hadis yang menunjukkan larangan secara menyeluruh seperti Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abdullah bin ‘Amru di atas. Juga Hadis-hadis yang lain seumpama dengannya. Kalaulah Hadis-hadis ini sampai kepada asy-Syafi’ei, pasti beliau akan berkata selaras dengannya, insya-Allah. Asy-Syafi’ei pernah menegaskan: sekiranya Hadis Nabi berlawanan dengan kata-kataku, maka beramallah dengan Hadis dan tinggalkan kata-kataku. Di tempat lain, belaiu berkata, sekiranya terdapat Hadis Nabi, maka itulah mazhabku.
Al-Baihaqiy menyambung, asy-Syafi’ei berkata: aku melarang lelaki yang halal (tidak dalam ihram) memakai pakaian yang dicelup za’faran dalam semua keadaan. Jika dia telah mencelupnya, maka hendaklah dia membasuhnya. Al-Baihaqiy berkata, dalam hal ini asy-Syafi’ei benar-benar mengikut Sunnah, jadi mengikut Sunnah dalam masalah celup kesumba adalah lebih awla.
Al-Baihaqiy berkata, sesungguhnya sebahagian ulamak salaf, termasuk Abu Abdullah al-Hulaimy dari kalangan sahabat kami berpendapat pakaian dicelup kesumba adalah makruh. Sekumpulan mereka memberi kelonggaran (rukhsah). Dan Sunnah itu lebih awla (utama) diikuti. Allahu A’lam.

Sahih Muslim bi Syarhi an-Nawawi, edisi internet: http://hadith.al-islam.com/Page.aspx?pageid=192&BookID=34&TOCID=979

5 comments:

Fakeh said...

Cubalah google tajuk BANGSA MELAYU MENGIKUT ULAMA AHLU SUNNAH WAL JAMAAH, maka akan fahamlah kita tentang hakikat bangsa ini. Dan cubalah google pula tajuk-tajuk berikut agar kita kenal musuh dalam selimut yang mencari peluang dan ruang untuk mengkhianati bangsa ini, iaitu:-

(a) http://www.mediafire.com/?ne2dmyeinzo
(b) Jaringan Wahabbi Sdn Bhd
(c) Jom Kenali Dr Maza & Co
(d) Ahlul Bait Yang Dicerca
(e) Tok Ayah Zid Kedai Lalat
(f) Kuasa Tiang Kepada Cita-cita
(g) 40 Mutiara Hikmat Serambi Mekah

FAKEH KHALIFAH SAKA

Seminar Metafizik Islam said...
This comment has been removed by the author.
Seminar Metafizik Islam said...
This comment has been removed by the author.
Seminar Metafizik Islam said...
This comment has been removed by the author.
Seminar Metafizik Islam said...

Assalamualaikum, terima kasih kerana menyumbang maas dalam inisiatif dalam karya ini. Secara peribadi, saya sangat bersyukur dalam penemuan artikel ini kerana sangat bermanfaat untuk amalan khususnya bahan dakwah. Hanya Allah yang dapat mambalas terhadap sumbangan & inisiatif dakwah saudari.