Monday, October 25, 2010

Wanita Haid Duduk Dalam Masjid

Soalan:

Assalamualaikumwarahmatullah,

Saya nak tanya tentang kalau kita buat program di masjid yang tak ada ruang berasingan untuk ceramah dsb dan terpaksa menggunakan ruang solat untuk buat penyampaian, macam mane dengan wanita yang uzur. Tambah kalau perlu bermalam. Biasanya cuba jugak buat tempat yg kalau masjid ada dewan ke, tapi buat masa ni tmpt yang senang sikit nak dapat permission guna memang tak de ruang berasingan.
Adakah perbezaan pendapat tentang hal wanita yg uzur duduk dlm masjid atau memang larangan jelas yang disepakati ulama'?.

Jawapan:

Wa’alaikumus-salam wr.wb

Untuk menjawab soalan puan, saya petik tulisan Dr. Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya ‘Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, jzk 1, m.s. 168-169:

Tidak harus bagi wanita dalam haid duduk di dalam masjid. Tetapi harus baginya masuk dan melintasinya kerana hajat atau ada keperluan seperti mengambil sesuatu perkara atau masjid merupakan laluan ke rumahnya. Dalil hukum ini ialah:
1. Rasulullah s.a.w. berkata kepada Aisyah r.a.(maksudnya): “Tulung ambilkan untukku selendang/serban yang berada di dalam masjid.” Aisyah menjawab: “Sekarang saya sedang haid.” Baginda bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya haidmu bukan di tanganmu.” Riwayat Muslim, Ibn Majah dan Baihaqiy. Hadis ini menunjukkan telah menjadi kefahaman Aisyah bahawa wanita haid tidak boleh memasuki masjid, lalu baginda menjelaskan bahawa boleh sekadar lalu untuk sesuatu keperluan.
2. Daripada Aisyah juga, Rasul s.a.w. bersabda maksudnya: “Masjid tidak halal bagi wanita haid dan orang berjunub” Riwayat Abu Daud
3. Di dalam riwayat lain, baginda s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya masjid tidak halal bagi wanita haid dan orang berjunub.” Riwayat Ibn Majah.

Mengulas kedua-dua Hadis di atas (no.2 dan 3), asy-Syaukani berkata bahawa kedua-dua Hadis di atas menunjukkan dengan jelas bahawa orang berjunub dan wanita haid tidak boleh duduk di dalam masjid. Ini merupakan pandangan majority ulamak dalam semua mazhab.

Ada segolongan kecil ulamak, antaranya Daud az-Zohiri dan al-Muzni berpendapat wanita haid harus masuk dan duduk di dalam masjid. Dalil mereka ialah mereka mendakwa, Hadis-hadis yang dipegang oleh mereka yang berkata tidak harus wanita haid duduk di dalam masjid itu tidak sahih.

Namun dakwaan mereka bahawa Hadis-hadis itu tidak sahih telah ditolak oleh asy-Syaukani yang menegaskan bahawa Hadis-hadis itu Sahih atau Hasan. Tidak ada sebab untuk diragui kebenarannya. (Nail al-Autor, jid 1, m.s.229)

No comments: