Soalan:
Assalamualaikum Ustazah,
Saya sedang mengandung 5 bulan dan ini adalah kandungan ke tiga saya. Kandungan pertama dan kedua telah gugur kerna jantung bayi terhenti dan bayi meninggal dunia dalam kandungan. Doktor mengatakan bahawa keadaan janin dan kromosom yang lemah atau bayi tidak dapat bekalan darah secukupnya.
Untuk kali ketiga ini, saya perlu mengambil beberapa ubat-ubatan salah satu daripadanya ubat mencairkan darah supaya bayi dapat bekalan darah secukupnya.
Persoalan saya adalah , adakah keadaan saya ini boleh dikategorikan dalam pengecualian berpuasa. Saya ada membaca beberapa artikel yanga mengatakan ibu yang risau akan janin dan bayi boleh dikecualikan berpuasa.
Saya inginkan kepastian sebelum saya meninggalkan puasa memandangkan ini adalah puasa wajib dan sangat berat hukumya jika diambil ringan.
Tolong usatazah , saya harap ustazah dapat menjawab soalan ini sebelum tibanya bulan puasa. Terima kasih . Assalamualaikum.
Jawapan:
Wa’alaikumus-salam wr.wb.
Tahniah kerana diberi peluang mengandung, semoga kandungan puan lahir dengan selamat dan bila besar menjadi anak yang soleh/solehah.
Wanita menganadung dan menyusukan anak diharuskan berbuka (tidak berpuasa pada bulan Ramadhan) dalam dua keadaan:
1. Dia tidak mampu untuk berpuasa. Keadaan kesihatannya tidak mengizinkan seperti tidak berupaya menahan lapar, dahaga, tidak bertenaga dan sebagainya.
2. Kesihatan dirinya tidak terjejas. Dia mampu untuk berpuasa tanpa rasa susah menahan lapar, dahaga dan seumpamanya. Tetapi dibimbangi anak dalam kandungan akan terjejas, perkembangannya akan terbantut disebabkan kekurangan zat makanan atau sebagainya. Bagi ibu yang menyusukan pula, dengan sebab puasa air susunya akan kering dan bayinya akan kelaparan kerana tidak cukup susu.
Dalil keharusan berbuka ialah qias kepada orang sakit dan sabda Nabi s.a.w. bermaksud: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla melepaskan dari orang musafir kewajipan puasa dan separuh daripada solat (harus solat qasar) dan dari wanita hamil dan menusukan bayi kewajipan puasa.” (Rujuk Nail al-Autor 4/230).
Walau bagaimanapun, puasa yang ditinggalkannya wajiblah diqadha pada hari-hari lain. Bagi keadaan pertama wanita berkenaan wajib qadha sahaja sebanyak hari yang ditinggalkan. Manakala keadaan kedua dia wajib qadha serta membayar fidyah anggaran satu cupak beras (lebih kurang satu kilogram) untuk satu hari. Jika tidak berpuasa selama 30 hari, dia wajib qadha 30 hari beserta fidyah sebanyak 30 cupak (30 kg) beras. Fidyah hendaklah dibayar kepada faqir dan miskin.
Perlu diingat, walaupun dia dibenarkan tidak berpuasa, janganlah sia-siakan peluang beramal soleh sepanjang Ramadhan yang berkat ini. Gunakan masa untuk solat tarawih, tilawah serta tadarus al-Quran, menginfaq atau menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa, membanyakkan sedekah, berzikir, beristighfar, berselawat ke atas Nabi, berbuat baik kepada ibu bapa, jiran tetangga, saudara mara, berdakwah, menghadiri majlis ilmu dan bermacam-macam lagi. Mudah-mudahan limpahan cahaya Ramadhan akan menerangi perjalanan hidup kita selama-lamanya insya Allah.
2 comments:
ustazah...saya akan berkahwin pada bulan november ini...saya ingin bertaubat atas segala kesalahan saya yang lalu...saya ingin menebus kembali segala kesilapan saya yang lalu...saya ingin kembali pada Allah...
sejak beberapa hari ni saya tidak tenang,saya kerap kali mencari gaduh dengan tunang saya.takda sebab saya mesti nak mencari kesalahan dia.
saya dapat rasakan punca sebenar kerana saya telah banyak melakukan dosa.tunang saya seorang al-hafiz.tetapi kami sama2 lemah.sudah beberapa kali kami berzina.bersentuhan.kami sedar kesilapan dosa kami tapi ada masa kami akn mengelak ada masa kami lupa tterus.saya taknak berterusan lagi bukan sahaja kami akan mendirikan rumahtangga tetapi saya dah tak mampu nak lakukan dosa.saya jadi sangat tidak tenang dan takut.saya juga telah mencuri.saya mencuri duit ibu bapa saya untuk diberikan kepada tunang saya setiap kali dia meminta saya.saya tak sanggup dan tidak sampai hati sehingga saya mencuri.saya telah melakukan dosa besar dan terlalu banyak ustazah.sekarang kami bersama2 ingin bertaubat.tetapi ustazah bimbing la saya.terlalu banyak dosa yang saya lakukan.saya tidak tau cara yang betul untuk bertaubat.solat,mandi hadas yang sebenar,saya takut semua yang saya lakukan salah.tolong la aya ustazah.saya hrap ustazah dapat membalas secepat mungkin.
tahniah kerana diberi hidayah utk bertaubat. taubat yg sebenar mesti memenuhi 3 syarat: menyesal, berhenti serta merta dan azam tidak akan buat lagi selama-lamanya. jika dosa itu melibatkan manusia, mestila minta maaf dengan dia, minta halal dan pulangkan haknya.
yakinlah bahawa Allah itu Maha Pengampun walau dosa sebesar mana sekalipun. jadi saudari mesti serius dan ikhlas memohon keampunanNya.
Post a Comment