SOALAN:
“Salam ustazah...sy ingin bertanya,
apa hukumnya seorang isteri menolak ajakan suami utk bersama kerana keletihan
yg amat sangat dan kerana juga ingin menjaga waktu solat? Contoh, suami ajak
bersama lewat mlm tp isteri takut tlajak subuh kalau tidur lewat. Mohon
pencerahan mengenai 2 alasan ini. Jzkk”
JAWAPAN:
Soalan yang dimajukan oleh seorang
sahabat kepada saya.
Saya percaya soalan itu lahir dari
jiwa yang beriman, yang takutkan dosa dan rindukan pahala.
Mungkin ada pihak yang dengan mudah
akan menjawab soalan itu dengan mengatakan hukumnya haram bagi seorang isteri
menolak ajakan suami kerana kewajipan isteri adalah taat kepada suami.
Dalilnya, Nabi s.a.w. pernah bersabda maksudnya: “Kalau aku boleh perintahkan
manusia sujud kepada manusia nescaya aku akan perintahkan isteri sujud kepada
suami…” (At-Tirmizi) dan sabdanya yang bermaksud: “Apabila suami mengajak
isterinya ke tempat tidur, tetapi dia tidak datang, lantas suami tidur dalam
keadaan marah, dia dilaknat oleh malaikat sehingga ke pagi.” (Muttafaq ‘Alaih)
Kalau begitulah jawapannya, Islam
akan dilihat sebagai agama yang hanya tahu menghukum. Dan yang kena hukum
selalunya wanita. Wanita wajib taat kepada suami. Jika tidak taat, berdosa.
Bagi saya, soalan yang patut ditanya
ialah “apakah hukumnya suami yang
mengajak isterinya untuk bersama sedangkan isterinya sakit dan terlalu
penat, atau apakah hukumnya suami yang mengajak isterinya bersama di tengah
malam sehingga terlepas solat fardhu subuh?”
Beranikah kita menjawab bahawa
hukumnya adalah haram kerana suami diperintahkan agar menggauli isteri dengan
cara yang makruf (An-Nisaa’:19). Adakah dikira makruf jika mengajak isteri
bersama walhal dia sedang sakit atau penat? Suami juga diperintahkan supaya
memelihara diri dan ahli keluarga dari disambar api neraka (At-Tahrim:6). Maka
melayan nafsu sehingga terabai solat, adakah akan selamat dari neraka? Suami
juga diamanahkan sebagai pemimpin atau qawwam. Menurut ahli tafsir qawwam
membawa maksud orang yang terlalu menjaga urusan seseorang dan sangat
mengambil berat tentangnya, orang yang menjaga
kepentingan orang lain tanpa mengira penat, tanpa menuntut rehat. Dan lelaki ditaklifkan menjaga kepentingan wanita dan
mempastikan mereka memperolehi apa yang diperlukan
Di situlah letaknya kelebihan lelaki,
iaitu mereka memerah tenaga demi menjamin kehidupan yang sejahtera bagi wanita.
Jelas bahawa qawwam bukan bermakna ketua atau boss yang boleh perintah sesuka
hati dan setiap perintahnya wajib ditaati.
Kesimpulannya, apa yang saya ingin
cuba sampaikan di sini, Islam adalah agama rahmah, rahmah kepada semua. Baik
lelaki maupun wanita. Malah rahmahnya Islam meliputi alam seluruhnya. Oleh itu,
para isteri khususnya yang bertanyakan soalan di atas tidak perlu risau atau
rasa tertekan apabila tidak dapat memenuhi semua kehendak suami jika terdapat
alasan yang syar’ei. Ini kerana Tuhan yang memerintahkan isteri taat kepada
suami Tuhan itulah juga yang memerintahkan suami agar berbuat baik kepada
isteri.
No comments:
Post a Comment