Thursday, January 18, 2018

Membaca Surah al-Ikhlas di dalam Sujud

Soalan:

Assalamu’alaikum ustazah,

Saya ada mendengar satu ceramah agama melalui YouTube. Penceramah tersebut mengajar supaya kita membaca surah al-ikhlas setiap kali sujud di dalam solat fardhu untuk mencukupkan bilangan tertentu supaya kita dapat masuk syurga.
Kemusykilan saya, adakah ianya Sunnah yang diajar oleh Nabi s.a.w.?
Kalau bukan Sunnah, apakah hukumnya membaca surah al-Ikhlas di dalam sujud?

Mohon pencerahan. Terima kasih dan mohon maaf jika soalan ini mengganggu

Jawapan:

Wa’alaikumus-salam wrwb.

Soalan sama ada apa yang diajar seperti yang puan dengar itu Sunnah atau tidak sepatutnya ditanyakan kepada orang yang menyampaikannya.

Sedia maklum bahawa terdapat beberapa hadis sahih tentang kelebihan membaca surah al-Ikhlas.

Saya sebut sebahagian daripadanya yang dinaqalkan oleh Ibn Kathir di dalam kitab tafsirnya.

Pertama: daripada Anas r.a. dia menceritakan bahawa seorang lelaki dari kalangan Ansar menjadi imam solat di masjid Quba’. Setiap kali dia membaca surah  dia akan mulakan dengan al-Ikhlas. Selepas itu barulah dia membaca surah lain yang dipilihnya. Dia berbuat demikian pada setiap rakaat.  Para sahabat menegurnya dengan berkata, “engkau memulakan dengan surah al-Ikhlas, kemudian engkau baca pula surah yang lain. Kenapa engkau tidak cukup dengan membaca al-Ikhlas sahaja atau mana-mana surah yang lain tanpa al-Ikhlas?”
Beliau menjawab, “aku sekali-kali tidak akan meninggalkannya (surah al-Ikhlas). Kalau kamu suka aku menjadi imam kamu dengan cara itu, aku akan teruskan. Kalau kamu tidak suka, aku berhenti dari menjadi imam.”
Mereka pula melihat dialah orang yang paling afdhal untuk menjadi imam. Mereka tidak suka orang lain menggangtikannya.
Manakala Nabi s.a.w. berkunjung ke tempat mereka, mereka menceritakan hal tersebut. Rasulullah s. a.w. bertanya lelaki itu, “apakah yang menghalangmu melakukan apa yang disarankan oleh sahabat-sahabatmu? Dan apakah yang mendorongmu tetap membaca surah ini pada setiap rakaat?”
Dia menjawab, “sesungguhnya aku cintakannya!”
Nabi s.a.w. bersabda, “cintamu kepadanya akan membawamu masuk syurga!”
Riwayat al-Bukhari.

Kedua: daripada Abi Sa’eid r.a. Rasulullah s.a.w. berkata kepada para sahabat r.a. “adakah kamu tidak mampu untuk membaca satu pertiga al-Quran pada setiap malam?”
Soalan baginda itu membuatkan mereka rasa berat. Lalu mereka berkata, “siapakah di antara kami yang mampu berbuat demikian ya Rasulullah?”
Baginda s.a.w. bersabda, “Allahul-Wahidus-Somad, satu pertiga al-Quran.” Riwayat Al-Bukhari.

Ketiga: daripada Sahal  bin Mu’az bin Anas al-Juhani daripada ayahnya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “sesiapa yang membaca qul hua Allahu ahad sehingga habis (satu surah) 10 kali, Allah bina untuknya sebuah istana di syurga.”
Lantas Umar r.a. berkata, “kalau begitu kami akan membanyakkan membacanya ya Rasulullah.”
Baginda menjawab, “Allah (memberi) lebih banyak dan lebih bagus.” Riwayat Ahmad dan ad-Darimi.                

Saya tidak menemui sebarang hadis tentang saranan membacanya di dalam sujud. Tetapi ada hadis yang melarang membaca al-Quran ketika sujud, iaitu hadis riwayat Muslim yang bermaksud, “… ketahuilah, sesungguhnya aku dilarang membaca al-Quran ketika rukuk atau sujud. Adapun ketika rukuk, maka agungkanlah Tuhan kamu ‘Azza wa Jalla. Adapun ketika sujud, maka berusahalah untuk berdoa, ia pasti akan diperkenankan untuk kamu.”

Ketika mensyarah hadis tersebut, Imam an-Nawawi berkata, “hadis tersebut menunjukkan larangan membaca al-Quran di dalam rukuk dan sujud. Zikir yang ditugaskan di dalam rukuk adalah tasbih. Dan zikir yang ditugaskan di dalam sujud adalah tasbih dan doa. Sekiranya seseorang membaca al-Quran selain al-Fatihah hukumnya makruh tetapi tidak batal solat. Sekiranya dia membaca al-Fatihah, terdapat dua pendapat. Yang lebih sahih sama seperti membaca surah-surah lain, iaitu makruh dan tidak batal solatnya. Pendapat yang kedua adalah haram dan batal solatnya. ini jika dia sengaja. Jika dia baca dalam keadaan terlupa, tidak makruh.
Namun, sama ada dia lupa atau sengaja, menurut Syafi’ei hendaklah dia sujud sahwi.


Allahu A’lam.

No comments: