Soalan:
Ada
pendapat mengatakan adalah sebaik-baiknya mengqhada dahulu puasa sebelum
melakukan puasa sunat Syawal. Ada pula yang mengatakan apabila kita mengqhada
puasa pada bulan Syawal secara automatik kita ada mendapat pahala puasa enam.
Yang manakah lebih afdal? Minta ustazah perjelaskan.
Jawapan:
Sedia maklum bahawa puasa enam hari di bulan
Syawal adalah sunat dan besar fadilatnya. Namun persoalan sering timbul
mengenai cara melaksanakannya.
Di sini saya akan cuba huraikan beberapa
persoalan yang berkaitan dengannya.
1. Hukum
Terdapat beberapa Hadis yang sahih berkaitan
dengan puasa di bulan Syawal. Antaranya:
a. Sabda
Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang puasa Ramadan dan diikuti dengan enam
hari daripada Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.” Riwayat Muslim
daripada Abu Ayyub r.a.
b. “Sesiapa
yang puasa Ramadan, satu bulan ganjarannya sepuluh bulan. Dan dia berpuasa enam
hari daripada bulan berbuka (Syawal), dengan itu genaplah (pahala) satu tahun.”
Riwayat Sa’eid bin Mansur daripada Thauban.
Berdasarkan Hadis-hadis di atas, jumhur ulama
berpendapat puasa enam hari daripada bulan Syawal adalah sunat dan digalakkan.
Imam an-Nawawi berkata: “Ashab kita (fuqahak
mazhab kita, asy-Syafi’ei) berpendapat bahawa disunatkan puasa enam hari
daripada Syawal berdasarkan Hadis-hadis di atas. Tidak ada perselisihan di
kalangan kami. Begitu juga pendapat Ahmad dan Daud.”
2. Cara
melaksanakan puasa sunat Syawal.
Ulama yang berpendapat sunat puasa enam hari daripada
Syawal berbeza pendapat dari segi cara pelaksanaan yang paling baik dan afdal.
a. Asy-Syafi’ei
dan mereka yang sealiran dengannya
berpendapat digalakkan puasa pada awal bulan, selepas Hari Raya dan dilakukan
dengan cara berturut-turut.
b. Tidak
ada perbezaan sama ada dilakukan dengan berturut-turut atau tidak di sepanjang
bulan itu. Ini merupakan pendapat Waki’ (guru Imam asy-Syafi’ei) dan Ahmad.
c. Tidak
digalakkan puasa terus selepas hari raya, kerana ia merupakan hari makan dan
minum. Sebaliknya hendaklah berpuasa beberapa hari selepas itu. Ini adalah
pendapat ‘Ato’
Walau bagaimanapun tiada dalil sahih yang
menyokong salah satu pendapat di atas. Maka dapat disimpulkan bahawa ia terbuka
kepada setiap individu menunaikannya mengikut kelapangan masing-masing
sepanjang bulan Syawal, sama ada hendak dilakukan di awal bulan atau di
akhirnya, secara berturut-turut atau berselang-selang. Namun roh amal yang
baik, jika disegerakan tentulah lebih afdal jika dibandingkan dengan
melewat-lewatkannya tanpa keuzuran.
Imam an-Nawawi berkata: “Digalakkan puasa sunat
ini secara berturut-turut pada awal bulan Syawal. Jika diselang-selikan, atau
dilewatkan hingga akhir bulan harus juga dan dikira melaksanakan apa yang
disunatkan kerana Hadis menyebut secara umum tanpa mengaitkan dengan awal atau
akhir, berturut-turut atau tidak.”
3. Antara
qada puasa Ramadan dan sunat Syawal.
Banyak timbul persoalan, orang yang meninggalkan
puasa Ramadan adakah harus dia berpuasa sunat Syawal atau wajib diqada terlebih
dahulu atau boleh diniatkan qada dengan sunat sekali?
Syaikh Daud Fatani menjelaskan persoalan ini di
dalam kitabnya ‘Buhgyah at-Tullab li Muridi Ma’rifatil Ahkami Bis-Sawab’, juzuk
2, halaman 128 seperti berikut:
1. Orang
yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sebab uzur, sunat juga berpuasa enam
hari daripada Syawal (sebelum qada)
2. Orang
yang meninggalkan puasa Ramadan tanpa uzur, wajib menyegerakan qada puasa
Ramadan. Dia wajib qada puasa Ramadan terlebih dahulu. Jika terlepas sunat
Syawal kerana menunaikan qada puasa Ramadan, dia boleh qada sunat Syawal pada
bulan Zul Qaedah. Ini sekiranya dia tidak niat sunat Syawal serta qada Ramadan.
Jika dia telah berniat sunat Syawal beserta dengan puasa qadanya, maka dia
memperoleh pahala sunat dan tidak perlu diqada sunat Syawal di dalam bulan Zul
Qaedah.
3. Seseorang
yang mempunyai tanggungan puasa wajib, sama ada puasa qada, nazar atau
lain-lain, jika dia berniat untuk puasa sunat Syawal selepas menyelesaikan
puasa wajib, dia tidak mendapat pahala sunat Syawal ketika puasa wajib itu.
Tetapi jika dia berniat puasa wajib serta sunat Syawal, atau tidak berniat
sunat Syawal, hanya niat wajib sahaja, dia akan mendapat pahala sunat Syawal
dan tidak lagi dituntut mengerjakannya selepas dia menyempurnakan puasa wajib
itu.
Selain itu, terdapat sebahagian ulamak yang berpendapat tidak harus bagi sesiapa yang mempunyai tanggungan qada puasa Ramadan menunaikan sunat Syawal. Dia wajib menyegerakan qada terlebih dahulu kerana itu merupakan hutangnya dengan Allah. Jika dia meninggal dunia, dia akan ditanya tentang puasa qadanya dan tidak ditanya tentang sunat Syawal. Bahkan pahla sunat Syawal itu sendiri bergantung kepada kesempurnaan puasa Ramadan.
Jadi, dalam melaksanakan ibadah sebaiknya lakukan yang paling selamat dan selari dengan pendapat semua pihak. Sempurnakan yang wajib terlebih dahulu, kemudian barulah diikuti dengan sunat. Allahu A’lam
No comments:
Post a Comment