Sunday, October 11, 2015

SOLAT HAJAT, TASBIH DAN TAUBAT

SOALAN:

Assalamualaikum ustazah. Nk tanya, solat hajat,solat tasbih,solat taubat tu mmg ada ya ustazah?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wrwb.

Solat Hajat:
Daripada Abdullah bin Abi Aufa r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai hajat daripada Allah atau daripada seseorang anak Adam, hendaklah dia berwuduk, maka perelokkanlah wuduknya, kemudian hendaklah dia menunaikan solat dua rakaat. Kemudian hendaklah dia memuji Allah dan berselawat ke atas Nabi s.a.w. kemudian hendaklah dia berdoa … (lafaz doa seperti yang terdapat di dalam buku-buku doa)..” Riwayat at-Tirmizi, Ibn Majah dan lain-lain.
Ulamak menamakan solat ini sebagai solat hajat.
Di kalangan ulamak terdapat perselisihan pendapat dari segi keharusan beramal dengan hadis ini disebabkan perselisihan mereka dari segi statusnya sama ada sahih atau sebaliknya.
Sebahagian berpendapat tidak harus diamalkan dan sebahagian berpendapat harus beramal dengannya kerana dua sebab:
i.                Hadis ini diriwayatkan melalui beberapa jalur yang boleh menjadi penguat antara satu sama lain
ii.               Dalam hal-hal yang berkaitan dengan fadhilat atau kelebihan amal, boleh beramal dengan hadis dhaif selagi mana tidak bercanggah dengan nas yang lebih sahih. Inilah yang dipegang oleh majority ulamak.

Solat Tasbih:
Fuqahak berbeza pendapat dari segi hukum solat tasbih sama ada ia disunatkan atau tidak. Jumhur berpendapat ia disunatkan kerana banyak riwayat mengenainya, walaupun terdapat beberapa kelemahan dari segi sanad periwayatannya namun ia menjadi penguat antara satu sama lain. Majority ulamak dari kalangan salaf melakukannya dan ia diikuti oleh umat Islam generasi demi generasi sehingga kini.

Solat Taubat:

Ali r.a. berkata: “Abu Bakar menceritakan kepadaku, dan telah benarlah Abu Bakar r.a. yang berkata: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersaba (maksudnya): “Tiada seorang hambapun yang melakukan dosa, lalu dia bersuci dengan sebaiknya kemudian dia melakukan solat dua rakaat, kemudian dia beristighfar memohon ampun daripada Allah, kecuali Allah akan mengampunkannya.” Kemudian baginda s.a.w. membaca ayat ini yang bermaksud: “Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” (Aali ‘Imran:135) Riwayat Ahmad dan lain-lain.

No comments: