Soalan:
Salam. Ustazah, saya mohon penjelasan
tentang hukum menyentuh kemaluan, adakah membatalkan wudhuk atau tidak? Ada
yang mengatakan tidak batal wudhuk kalau kita basuh dan gosok kemaluan anak
yang kencing atau berak. Betul ke ustazah? Terima kasih.
Jawapan:
Wassalam.
Menyentuh kemaluan tidak membatalkan wudhuk
di sisi Mazhab Hanafi. Mereka berpegang kepada hadis yang diriwayatkan daripada
Tolq bin Ali r.a. bahawa seseorang bertanya Nabi s.a.w. "Seorang lelaki
menyentuh kemaluannya, adakah dia wajib mengambil wudhuk?" Baginda
menjawab: "Sesungguhnya ia (kemaluan) adalah sebahagian daripada anggota
kamu." Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasae, Ibn Majah.
Diriwayatkan juga daripada Umar, Ali, Ibn
Masud, Ibn Abbas, Zaid bin Thabit, 'Imran bin Husoin, Huzaifah bin al-Yaman,
Abu Darda' dan Abu Hurairah r.'anhum ajma'ein bahawa mereka tidak menjadikan
sentuh kemaluan itu sebagai hadas. Ertinya menyentuh kemaluan tidak menjadikan
mereka wajib mengambil wudhuk.
Mazhab-mazhab selain Hanafi semuanya
berpendapat menyentuh kemaluan membatalkan wudhuk. Namun, terdapat perbezaan
dari segi pecahan ditilnya seperti berikut:
1.
Mazhab Maliki – lelaki menyentuh
zakarnya batal wudhuk tetapi tidak batal jika dia menyentuh dubur sama ada
dengan sengaja atau tidak. Syarat batal adalah sentuh atau pegang dengan tapak
tangan bahagian depan termasuk jari-jari. Tidak batal jika sentuh dengan tapak
tangan bahagian belakang. Kanak-kanak menyentuh zakarnya tidak batal. Begitu
juga tidak batal perempuan yang menyentuh farajnya walaupun dia memasukkan jari
ke dalam faraj. Tidak batal juga seseorang (lelaki atau perempuan) yang
menyentuh kemaluan orang lain; kanak-kanak atau dewasa.
Dalil mereka
ialah hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang menyentuh zakarnya, maka
janganlah dia solat sehingga dia berwudhuk." Riwayat kebanyakan ahli
hadis. Juga hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang memegang zakar dengan
tangannya tanpa beralas, maka wajib ke atasnya wudhuk." Riwayat Ahmad dan
Ibn Hibban
Hadis-hadis di
atas menyebut sentuh atau pegang zakar sendiri. Maka mereka menghadkan kepada
apa yang disebutkan di dalam hadis itu sahaja.
2.
Mazhab Syafi'ei – batal wudhuk
dengan menyentuh kemaluan anak Adam, sama ada qubul atau dubur, kemaluan
sendiri atau orang lain, lelaki atau perempuan, orang yang hidup atau mati
dengan syarat sentuh dengan tapak tangan bahagian depan termasuk jari-jari.
3.
Mazhab Hanbali – sama seperti
Mazhab Syafi'ei. Namun mereka tidak mensyaratkan sentuh dengan tapak tangan
bahagian depan, batal wudhuk walaupun sentuh dengan tapak tangan bahagian
belakang.
Dalil bagi
Mazhab Syafi'ei dan Hanbali adalah kedua-dua Hadis yang disebut di atas, yang
diriwayatkan daripada Busrah binti Sofwan dan Ummu Habibah r.'anhuma:
"Sesiapa yang menyentuh zakarnya, maka hendaklah dia berwudhuk." Dan
ada yang meriwayatkan dengan lafaz "Sesiapa yang menyentuh farajnya, maka
hendaklah dia berwudhuk." Dan terdapat hadis yang diriwayatkan daripada
'Amru bin Syu'aib daripada ayahnya dan daripada datuknya: "Mana-mana
lelaki yang menyentuh kemaluannya, hendaklah dia berwudhuk. Dan mana-mana
perempuan yang menyentuh kemaluan, hendaklah dia berwudhuk." Riwayat Ahmad
dan al-Baihaqi.
Dr. Wahbah
az-Zuhaili berkata, pada saya pendapat yang rajih adalah pendapat jumhur kerana
hadis Tolq bin Ali adalah dhaif di sisi beberapa orang ahli hadis. Sebahagian mereka
berkata hadis itu mansukh.
Petikan daripada
kitab, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Dr Wahbah az-Zuhaili, j 1, hal 370 - 372
1 comment:
terima kasih atas pencerahan ini :)
Post a Comment