Wednesday, July 3, 2019

HUKUM MENYAMBUNG DAN MENANAM RAMBUT

SOALAN:

Ustazah, adakah dibenarkan seorang wanita untuk menyambung atau menanam rambut bagi tujuan perubatan?

JAWAPAN:
Soalan mengandungi dua perkara : 
pertama menyambung rambut,
kedua menanam rambut.

Menanam (transplan) rambut bagi tujuan perubatan adalah harus.
Akademi Fiqh Islam di bawah naungan Pertubuhan Persidangan Islam yang berlangsung pada 9 hingga 14 July 2007 di Malaysia memutuskan bahawa harus membaik pulih kecacatan yang mendatang seperti kesan kebakaran, kemalangan, penyakit dan lain-lain. Antaranya ialah menampal kulit, menanam rambut dan sebagainya.
Sheikh Muhammad bin ‘Uthaimin berkata: menanam rambut untuk merawat botak adalah harus kerana ia termasuk bab mengembalikan sesuatu kepada keadaan asal ciptaan Allah dan menghilangkan kecacatan. Ia tidak termasuk dalam bab menambah atau mengubah ciptaan Allah. Beliau juga bersandar kepada Hadis yang mengisahkan  tentang lelaki botak yang meminta dikembalikan rambutnya. Sebahagian teks Hadis adalah seperti berikut:
“Sesungguhnya 3 orang dari kalangan bani Israel yang tediri dari si sopak, si botak dan si buta. Allah hendak menguji mereka. Lalu Dia mengutuskan satu malaikat …. (diringkaskan) … Malaikat datang menemui si botak dan bertanya “Apa yang paling engkau sukai?” Si botak menjawab “Rambut yang cantik dan hilang botak yang menyebabkan manusia memandang jijik kepadaku.” Lalu malaikat menyapu kepalanya, maka hilanglah botak pada kepalanya dan diberikan rambut yang cantik…”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menyambung rambut dengan rambut lain biasanya dengan tujuan supaya kelihatan lebih lebat dan panjang.  Ia dilakukan dengan cara:
1.    Menyambung rambut yang pendek dengan rambut orang lain.
2.    Menyambung rambut yang pendek dengan rambut sendiri yang telah digunting
3.    Menyambung rambut yang pendek dengan rambut palsu
4.    Memakai rambut palsu
Ulama sepakat bahawa menyambung rambut dengan rambut, sama ada rambut orang lain atau rambut sendiri yang telah dipotong adalah haram berdasarkan nas-nas berikut:
i.               daripada Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang meminta disambung, yang membuat tatu dan yang minta dibuatkan.” Al-Bukhari dan Muslim.
ii.              Daripada Aisyah r.a., beliau menceritakan bahawa seorang gadis Ansar telah berkahwin. Maka dia jatuh sakit sehingga rambutnya gugur dengan banyaknya. Keluarganya bertanya Rasulullah s.a.w. tentang hasrat mereka untuk menyambung rambut gadis tersebut. Baginda bersabda maksudnya: “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan minta disambungkan.” Al-Bukhari dan Muslim
Menyambung rambut dengan sesuatu yang bukan rambut seperti tali, benang, bulu, sutera dan sebagainya tidak haram kerana ia tidak menyerupai rambut. Ia dipakai bukan untuk tujuan memanjangkan rambut, sebaliknya sebagai satu bentuk perhiasan dan mencantikkan.

Memakai rambut palsu yang direka benar-benar menyerupai rambut adalah haram sama ada dengan menyambung pada rambut sedia ada atau disarungkan di atas kepala melindungi rambut yang asal.

No comments: