Adakah
wajib ke atas isteri melaksanakan kerja-kerja rumah dan menyediakan segala
keperluan suami seperti memasak,
membasuh, menggosok baju dan sebagainya?
Ulamak
berbeza pendapat mengenai hal ini. Jumhur berpendapat tidak wajib. Sebahagian
ulamak berpendapat wajib.
Perinciannya
adalah seperti berikut:
Pertama:
Mazhab Hanafi
Imam ‘Alaa’
ad-Din al-Kasani berkata: “Sekiranya suami membawa balik bahan-bahan makanan
yang perlu dimasak tetapi isteri enggan memasak, suami tidak ada hak untuk
memaksanya. Sebaliknya suami hendaklah membawa balik makanan yang telah sedia
untuk dimakan.”
Al-Faqih
Abu al-Laits berkata: “Ini sekiranya isteri itu tidak mampu untuk memasak atau
dia daripada keluarga yang berkedudukan. Adapun sekiranya dia daripada keluarga
yang biasa mengurus diri sendiri, dia boleh dipaksa untuk memasak. Dan
sekiranya isteri mempunyai pembantu maka nafkah serta pakaian pembantu wajib ke
atas suami menanggunya.”
Dan
kerja-kerja mengurus rumah, menurut “Al-Fatawa Al-Hindiyyah” di dalam Fiqh
Mazhab Hanafi, wajib ke atas isteri dari
sudut keagamaam sepkalipun dari sudut undang-undang hakim tidak boleh memaksa
isteri melakukannya.
Ini
bermakna, suami tidak harus mengupah isteri untuk masak dan membuat roti. Dan
jika isteri melakukannya dia tidak harus mengambil upah untuk itu. Imam ‘Alaa’
ad-Din al-Kasani memberikan alasan kenapa isteri tidak harus mengambil upah
ialah kerana pekerjaan itu wajib ke atasnya dari sudut keagamaan. Jika dia
mengambilnya maka ia seumpama rasuah. Jadi, tidak halal baginya.
Kedua: Mazhab
Maliki
Di dalam
kitab “Asy-Syarh Al-Kabir”, kitab fiqh Mazhab Maliki dinyatakan: “Sekiranya
suami berkemampuan, dan isteri pula dari kalangan orang atasan yang pada
kebiasaannya tidak membuat kerja rumah, atau suami orang berkedudukan dan tidak
selesa isteri berkhidmat untuknya walaupun isteri dari kalangan mereka yang
biasa melakukan kerja rumah, maka wajib ke atas suami menyediakan khadam
(pembantu) kepada isterinya.
Jika suami
faqir, dan isteri sama ada dari kalangan mereka yang berkedudukan atau tidak,
wajib ke atas isteri melakukan kerja rumah seperti menguli tepung, menyapu
rumah, memasak dan seumpamanya di dalam rumahnya untuk suami sahaja, bukan
untuk tetamunya. Termasuklah perkara-perkara yang termasuk di dalam adat
kebiasaan seperti membasuh baju.”
Ketiga: Mazhab
Syafi’ei
Di dalam
kitab “Al-Muhazzab”, kitab fiqh Mazhab Syafi’ei karangan Abu Ishaq Asy-Syirazi dinyatakan: “Tidak
wajib ke atas isteri berkhidmat kepada suami dengan melakukan kerja mengisar,
memasak, membasuh dan lain-lain. Ini kerana aqad nikah adalah aqad untuk
mengahalalkan pergaulan dan kemesraan. Maka isteri tidak diwajibkan lebih
daripada itu.”
Lanjutan
daripada itu, Imam an-Nawawi mengulas di dalam kitab al-Majmu’: “Tidak wajib ke
atas wanita berkhidmat untuk lelaki atau untuk rumah kerana aqad (perkahwinan)
adalah untuk menghalalkan pergaulan. Tetapi khidmatnya adalah sesuatu yang
diperakui syara’ berdasarkan hadis riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim daripada
Jabir r.a.
Jabir
berkata: Rasulullah s.a.w. berkata kepadaku: “Adakah engkau telah berkahwin?”
Aku
menjawab: “Sudah!”
Baginda
bertanya: “Gadis atau janda?”
Aku
menjawab: “Janda.”
Baginda
bersabda: “Kenapa tidak mengahwini gadis? Lebih pantas untuk kalian bergurau
senda?”
Aku
menjelaskan: “Ya Rasulullah, ayahku terbunuh di dalam peperangan Uhud dan dia
meninggalkan sembilan orang amak perempuan. Aku tidak suka menambah perempuan
sebaya yang sama tidak mahir seperti mereka. Tetapi aku memilih wanita yang
boleh menyikat rambut mereka dan mengurus mereka.”
Rasulullah
s.a.w. bersabda: “Engkau betul.”
Kata Imam
an-Nawawi: maka sesiapa yang mempunyai anak, adik beradik serta keluarga, tidak
salah bagi lelaki berkahwin dengan tujuan mengharap khidmat isterinya sekalipun
hal itu tidak wajib ke atas seorang isteri. Tetapi ia boleh diambil kira daripada
adat dan kebiasaan yang berlaku. Kerana itu Nabi s.a.w. tidak membantah apa
yang dilakukan oleh Jabir.
Keempat:
Mazhab Hanbali
Fuqaha’
Mazhab Hanbali berkata: “Tidak wajib ke atas wanita berkhidmat untuk suami
dengan melakukan kerja-kerja seperti membuat roti, memasak, menyapu rumah,
mengisi air di dalam kolah dan seumpamanya. Ini ditegaskan oleh Ahmad. Kerana
tujuan aqad ialah halal pergaulan. Maka isteri tidak boleh diwajibkan yang lain
daripada itu seperti membela haiwan dan menuai hasil tanaman.”
Sungguhpun
begitu, mereka berkata: “Namun lebih utama baginya (isteri) melakukan
kerja-kerja yang pada kebiasaannya dilakukan oleh wanita. Kerana ia merupakan
satu adat di mana urusan kehidupan tidak teratur dan hal rumahtangga tidak
berjalan lancar tanpanya.”
Kelima:
pilihan Ibn Taimiah
Syeikhul
Islam Ibn Taimiah berkata: “Wajib ke atas isteri berkhidmat kepada suami dengan
makruf sepadan dengan kedudukan kedua-duanya. Ia berbeza mengikut keadaan dan
tempat. Penduduk kampong tidak sama dengan penduduk Bandar, orang kuat tidak
sama dengan orang lemah.” Pendapat ini dipersetujui oleh Abu Bakar bin Syaibah
dan Abu Ishaq al-Juzjani. Kedua-duanya berhujjah dengan kisah Ali dan Fatimah
di mana Nabi s.a.w. memutuskan Fatimah melakukan kerja-kerja di rumah, Ali melakukan
kerja-kerja di luar rumah.
Setelah
mengemukakan pendapat para fuqaha’ pelbagai mazhab, Dr Abdul Karim Zaidan cenderung
kepada pendapat Ibn Taimiah, iaitu isteri wajib menjalankan kerja rumah dengan
makruf mengikut keadaan dan adat sesuatu tempat. Dalil-dalilnya:
Dalil Pertama:
Fatimah binti Rasulullah s.a.w. brjumpa Nabi meminta seorang khadam. Maka
baginda berkata kepada puterinya itu: “Mahukah aku beritahumu apa yang lebih
baik daripada itu? Engkau bertasbih ketika hendak tidur 33 kali, bertahmid 33
kali dan bertabir 34 kali…” Riwayat al-Bukhari.
Pengajarannya,
Nabi tidak perintahkan Ali mengambil alih tugas itu sama ada dengan dia
gantikan Fatimah atau carikan khadam atau upah orang lain melakukan. Jika
sekiranya urusan itu tugas Ali, tentu baginda akan perintahkan Ali berbuat
demikian.
Dalil Kedua:
Hadis
Asmaa’ binti Abu Bakar r.a. yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Asmaa’ r.a.
berkata: “Ketika Zubair mengahwiniku, dia tidak mempunyai apa-apa harta di muka
bumi ini selain daripada seekur binatang untuk menjirus tanaman dan seekur
kuda. Akulah yang memberi makan kudanya, aku menjirus tanaman dan menguli
tepung. Aku tidak begitu mahir membuat roti. Beberapa orang jiranku dari
kalangan wanita Ansar membuat roti untukku. Mereka adalah wanita-wanita yang jujur.
Aku juga menjunjung benih dari tanah yang disewakan Rasulullah s.a.w. kepada
Zubair sejauh 2/3 farsakh. (Ukuran 1 farsakh adalah 3 batu)
Pada suatu
hari, sedang aku sedang berjalan sambil menjunjung benih di atas kepala, aku terserempak
dengan Rasulullah s.a.w. bersama beberapa orang sahabat dari kalangan Ansar.
Rasulullah s.a.w. menawarkan aku naik di atas unta di belakangnya. Tetapi aku
malu untuk berjalan bersama kaum lelaki. Dan ingat sikap cemburu Zubair.
Rasulullah s.a.w. faham bahawa aku malu untuk menerima pelawaannya. Lalu
baginda berlalu pergi. Bila bertemu Zubair, aku ceritakan apa yang berlaku. Dia
berkata: “Sesunguhnya kamu menjunjung benih itu lebih berat bagiku daripada
kamu menaiki unta bersama Rasulullah s.a.w..”
Sealnjutnya
Asmaa’ berkata: “Aku berterusan melakukan kerja-kerja tersebut sehinggalah Abu
Bakar menghantar kepadaku seorang khadam yang menguruskan kuda. Ia benar-benar
seperti telah memerdekakanku.” Riwayat Al-Bukhari.
Ibn
al-Qayyim berkata, manakala Nabi s.a.w. melihat Asmaa’ menjunjung benih di atas
kepalanya, baginda tidak membantah dan tidak menegur Zubair yang membiarkan
Asmaa’ melakukan kerja-kerja tersebut. Ini menjadi dalil baginda memperakui
isteri melakukan pekerjaan untuk suami.
Dalil ketiga:
Hadis Jabir yang telah disebutkan di atas.
Dalil keempat:
aqad yang dilakukan merupakan aqad yang mutlaq, iaitu tidak diakitkan dengan
sebarang penentuan tugas tertentu. Maka ia berjalan mengikut adat dan uruf. Dari
segi uruf masyarakat, isteri melayani keperluan suami dan melakukan pekerjaan
yang berkaitan dengan pengurusan rumah tangga. Dalam hal ini, Imam al-Qurtubi
berkata: “Perkara ini merupakan sesuatu yang berkaitan dengan uruf. Dan uruf
adalah satu daripada asas dalam menentukan hukum Syarak. Kaum wanita Arab yang
tinggal di desa dan kampong berkhidmat kepada suami dengan menyediakan air dan
mengurus binatang ternakan.”
KESIMPULAN
Selepas mengemukakan
hujjah-hujjah di atas, Dr Abdul Karim membuat kesimpulan:
Dalam masyarakat
sekarang, kebanyakan isteri berkhidmat kepada suami dengan menyediakan
keperluannya dan mengurus hal-hal berkaitan dengan rumah yang pelbagai. Kadang-kadang
semua urusan itu dilakukan sendiri, kadang-kadang dibantu oleh orang gaji jika
suami berkemampuan. Jadi, ada baiknya jika suami mengetahui bahawa jumhur
fuqahak berpendapat bahawa tidak wajib ke atas isteri berkhidmat kepada suami
dan melakukan kerja-kerja rumah.
Aku berkata
bahawa ada faedah untuk suami mengetahui hal itu supaya dia tidak menekan dan
membebankan isteri dengan pelbagai permintaan yang banyak dan menuntut itu dan
ini. Supaya dia tidak mudah menghukum dan menyalahkan isteri jika terdapat
kelemahan dan kekurangan di pihaknya kerana perkara itu tidah wajib ke atasnya
di sisi jumhur ulamak sekalipun ada sebahagian ulamak berpendapat ia adalah
wajib, termasuk aku sendiri.
Dengan adanya
perselisihan pendapat seperti ini, maka suami seharusnya melihat apa yang
dilakukan oleh isteri di rumah itu sebagai sesuatu yang lebih dekat kepada
amalan sunat dan bakti sukarela yang tidak wajib ke atasnya, ataupun dia
melakukan pekerjaan yang khilaf di sisi ulamak dari segi hukumnya sama ada
wajib atau tidak.
Maka suami
mestilah berlaku lemah lembut terhadap isteri, memberi galakan kepada ister
agar melakukan yang terbaik dan membantu meringankan bebanannya yang berat.
No comments:
Post a Comment