Friday, October 4, 2019

MERTUA DAN MENANTU


Di dalam satu kuliah fiqh kekeluargaan, seorang peserta bertanya: “Ustazah, apa nak buat dengan mak mertua yang jealous dengan menantu? Dia selalu tak puas hati kononnya anaknya melebihkan isteri daripada dia, sama ada dari segi layanan, pemberian hadiah dan sebagainya? Bolehkah dia berperasaan begitu?”

Ma syaa Allah! Apakah itu satu soalan yang real atau sekadar andaian semata-mata?

Mari kita kembali kepada persoalan yang lebih asas. Bukankah seorang ibu sentiasa bercita-cita dan berdoa supaya anak-anaknya hidup senang, tenang dan bahagia?
Ibu sentiasa berharap dan berdoa supaya anak-anaknya dianugerahi pasangan hidup yang baik, penyayang dan bertangungjawab?

Justeru, apabila Allah telah mendatangkan seseorang sebagai pasangan hidup yang serasi dengan anaknya, ibu sepatutnya rasa bahagia dan bersyukur. Ibu sepatutnya menerima kehadiran menantu dengan penuh kasih sayang dan berterima kasih kerana menantunya itu sudi menjadi pendamping dan membawa kebahagiaan kepada anaknya. Dengan kehadiran menantu, fitrah anaknya terisi dengan hakiki.

Jadi, apa yang hendak diceburui? Ibu sendiri, bukankah dahulu telah diambil oleh ayah daripada ibu dan bapa yang menyayanginya. Dan kini gilirannya melepaskan anak yang dikasihi untuk membina kehidupan, mengembangkan zuriat dan menyambung generasi.

Namun pada masa yang sama, anak-anak mestilah berusaha untuk menjaga hati dan perasaan ibu. Berbakti dan menghurmati ayah dan ibu adalah kewajipan yang paling utama. Allah perintahkan supaya berbuat baik kepada ibu ayah selepas perintah mentauhid dan menyembahNya.


Sayangilah ibu dan ayah serta berdoalah selalu untuk kesejahteraan mereka di dunia dan akhirat

Friday, August 9, 2019

ADAKAH KELEBIHAN HARI ARAFAH UNTUK MEREKA YANG SEDANG BERWUQUF SAHAJA?

 SOALAN:

Ustazah, Adakah kelebihan Hari Arafah khusus untuk mereka yang mengerjakan haji dan sedang berwuquf di Arafah sahaja atau merangkumi seluruh pelusuk bumi?

JAWAPAN:

Ulamak berbeza pendapat tentang hal itu.

Menurut Sheikh Muhammad Soleh Al-Munajjid, yang arjah (lebih rajih) ianya menyeluruh. Kelebihan itu terletak pada harinya. Namun tidak diragui bahawa orang yang sedang berwuquf itu memperolehi semua kelebihan, iaitu kelebihan tempat dan kelebihan masa.

Sheikh al-Baji berkata: “Doa paling afdhal adalah hari Arafah” bermaksud zikir yang paling berkat, paling besar ganjarannya dan paling hampir perkenannya. Kemungkinan ianya khusus untuk mereka yang sedang mengerjakan haji sahaja kerana maksud doa Hari Arafah itu menepati mereka dan dikhususkan untuk mereka. Dan sesungguhnya disifatkan hari itu sebagai Hari Arafah adalah semata-mata kerana berkaitan dengan amalan mereka yang mengerjakan haji padanya.” Al-Muntaqa Syarah al-Muwatto’ (358/1)

Terdapat riwayat yang sahih daripada sebahagian salaf bahawa mereka mengharuskan “ta’rif” iaitu berkumpul di masjid-masjid untuk berdoa dan berzikir pada Hari Arafah. Antara mereka yang berbuat demikian ialah Ibn Abbas r.a.

Imam Ahmad bin Hanbal mengatakan ianya harus walaupun beliau sendiri tidak berbuat demikian.

Al-Qadhi berkata: “Tidak mengapa melakukan “ta’rif” (beramal seperti sedang wuquf di Arafah) di waktu petang Hari Arafah di bandar-bandar lain daripada Arafah. Al-Athram berkata: “Aku bertanya Abu Abdullah (Imam Ahmad) tentang “ta’rif” di bandar-bandar, di mana mereka berkumpul di masjid-masjid pada Hari Arafah.”
Beliau menjawab: “Aku berharap ianya tidak mengapa. Dan ia telah dilakukan oleh bukan seorang (ramai orang)”. Dan Al-Athram meriwayatkan daripada Hasan bahawa dia berkata: “Orang pertama melakukan “ta’rif” di Basrah adalah Ibn Abbas r.a.

Ini menunjukkan bahawa mereka berpendapat kelebihan Hari Arafah tidak dikhususkan untuk mereka yang mengerjakan haji sahaja sekalipun tidak ada sebarang riwayat daripada Nabi s.a.w. bahawa baginda berkumpul di masjid-masjid pada Hari Arafah untuk berzikir dan berdoa. Lantaran itu Imam Ahmad tidak melakukannya. Namun beliau tidak melarangnya kerana terdapat riwayat ada sahabat yang melakukannya seperti Ibn Abbas dan ‘Amru bin Harith r.a.


Dipetik daripada:

https://islamqa.info/ar/70282

Wednesday, July 3, 2019

HUKUM MENYAMBUNG DAN MENANAM RAMBUT

SOALAN:

Ustazah, adakah dibenarkan seorang wanita untuk menyambung atau menanam rambut bagi tujuan perubatan?

JAWAPAN:
Soalan mengandungi dua perkara : 
pertama menyambung rambut,
kedua menanam rambut.

Menanam (transplan) rambut bagi tujuan perubatan adalah harus.
Akademi Fiqh Islam di bawah naungan Pertubuhan Persidangan Islam yang berlangsung pada 9 hingga 14 July 2007 di Malaysia memutuskan bahawa harus membaik pulih kecacatan yang mendatang seperti kesan kebakaran, kemalangan, penyakit dan lain-lain. Antaranya ialah menampal kulit, menanam rambut dan sebagainya.
Sheikh Muhammad bin ‘Uthaimin berkata: menanam rambut untuk merawat botak adalah harus kerana ia termasuk bab mengembalikan sesuatu kepada keadaan asal ciptaan Allah dan menghilangkan kecacatan. Ia tidak termasuk dalam bab menambah atau mengubah ciptaan Allah. Beliau juga bersandar kepada Hadis yang mengisahkan  tentang lelaki botak yang meminta dikembalikan rambutnya. Sebahagian teks Hadis adalah seperti berikut:
“Sesungguhnya 3 orang dari kalangan bani Israel yang tediri dari si sopak, si botak dan si buta. Allah hendak menguji mereka. Lalu Dia mengutuskan satu malaikat …. (diringkaskan) … Malaikat datang menemui si botak dan bertanya “Apa yang paling engkau sukai?” Si botak menjawab “Rambut yang cantik dan hilang botak yang menyebabkan manusia memandang jijik kepadaku.” Lalu malaikat menyapu kepalanya, maka hilanglah botak pada kepalanya dan diberikan rambut yang cantik…”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menyambung rambut dengan rambut lain biasanya dengan tujuan supaya kelihatan lebih lebat dan panjang.  Ia dilakukan dengan cara:
1.    Menyambung rambut yang pendek dengan rambut orang lain.
2.    Menyambung rambut yang pendek dengan rambut sendiri yang telah digunting
3.    Menyambung rambut yang pendek dengan rambut palsu
4.    Memakai rambut palsu
Ulama sepakat bahawa menyambung rambut dengan rambut, sama ada rambut orang lain atau rambut sendiri yang telah dipotong adalah haram berdasarkan nas-nas berikut:
i.               daripada Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang meminta disambung, yang membuat tatu dan yang minta dibuatkan.” Al-Bukhari dan Muslim.
ii.              Daripada Aisyah r.a., beliau menceritakan bahawa seorang gadis Ansar telah berkahwin. Maka dia jatuh sakit sehingga rambutnya gugur dengan banyaknya. Keluarganya bertanya Rasulullah s.a.w. tentang hasrat mereka untuk menyambung rambut gadis tersebut. Baginda bersabda maksudnya: “Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan minta disambungkan.” Al-Bukhari dan Muslim
Menyambung rambut dengan sesuatu yang bukan rambut seperti tali, benang, bulu, sutera dan sebagainya tidak haram kerana ia tidak menyerupai rambut. Ia dipakai bukan untuk tujuan memanjangkan rambut, sebaliknya sebagai satu bentuk perhiasan dan mencantikkan.

Memakai rambut palsu yang direka benar-benar menyerupai rambut adalah haram sama ada dengan menyambung pada rambut sedia ada atau disarungkan di atas kepala melindungi rambut yang asal.

ISTERI TIDAK BOLEH MELAKUKAN IBADAH KORBAN JIKA SUAMI BELUM MELAKUKANNYA?

SOALAN:

Adik saya mahu membuat ibadah korban. Namun memandangkan suaminya belum pernah melakukannya, maka adik saya membatalkan niatnya itu, walaupun telah menyerahkan nama kepada pihak pengurusan korban. Betulkah tindakan adik saya itu?

JAWAPAN:

Korban merupakan satu ibadah, satu syiar daripada syiar Islam yang dituntut ke atas umat Islam melakukannya. Hukumnya adalah sunat muakkad ke atas mereka yang mempunyai kemampuan. Kelebihannya dinyatakan di dalam sepotong hadis sahih riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah daripada Aishah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada amalan anak Adam pada hari Nahar, iaitu Hari Raya Haji yang paling disukai Allah selain daripada menyembelih binatang ternakan. Sesungguhnya binatang yang disembelih itu akan dibangkitkan pada hari qiamat nanti beserta dengan tanduk, bulu dan kulitnya. Dan sesungguhnya darahnya itu sampai kepada Allah (diterima sebagai amal soleh di sisi Allah) sebelum ia menitis ke bumi. Maka ikhlaskan hatimu dalam melakukannnya.”

Oleh itu, adik puan tidak perlu dan tidak patut membatalkan niatnya untuk berkorban dengan sebab suami belum melakukannya kerana ibadah itu tidak ada kaitan dengan suami sekiranya dia lakukan dengan hartanya sendiri.