Tuesday, October 19, 2010

Sembelihan Ahli Kitab

Soalan:

Assalamualaikum ustazah..Ana sekarang tgh belajar dkt usa. ana nak minta pandangan ustazah pasal status daging sembelihan dkt sini. Antara kami ada yg pilih untuk makan daging kat sini, diorg kata sembelihan ahli kitab..tp dalam al-Quran Allah mengharamkan makan sembelihan yg disembelih selain dgn nama Allah. Selama ana cari video2 slaughterhouse dkt usa ni, ana agak ragu-ragu kalau diorg sebut nama tuhan langsung..jd ana minta jasa baik ustazah bg penerangan sedikit..kami kat sini dah pening..huhu..jazakillah khairan jazak ustazah..maaf mengganggu..

Jawapan:

Wa'alaikumus-salam wr.wb.

Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu dan makanan kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka) dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka mas kahwinnya, sedang kamu (dengan cara yang demikian), bernikah bukan berzina dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah dia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.” (Al-Maidah:5)

Ibn Katsir berkata, maksud “Dan makanan orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu” adalah sembelihan mereka berdasarkan pendapat Ibn Abbas r.a. Ini merupakan sesuatu yang telah ijmak (sepakat) di kalangan ulamak. Mereka berkata, sembelihan ahli kitab adalah halal bagi kaum muslimin kerana mereka juga beri’tiqad bahawa sembelihan untuk selain Allah itu haram. Dan mereka tidak menyebut pada sembelihan mereka kecuali Nama Allah. (Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir, jilid 1, halaman 486)

Menurut al-Qurtubi, sembelihan Yahudi dan Nasrani adalah halal sekalipun Nasrani menyembelih dengan nama al-Masih dan Yahudi menyembelih dengan nama ‘Uzayr. Ini kerana mereka sembelih mengikut ajaran agama. Ini merupakan pendapat ‘Ato’, al-Qasim bin Mukhaimarah, az-Zuhri, Rabi’ah, asy-Sya’bi dan Makhul serta diriwayatkan juga daripada Abi ad-Darda’ dan ‘Ubadah bin as-Somit.

Segolongan lain pula berkata: apabila kamu mendengar ahli kitab menyebut nama selain Allah, maka janganlah kamu memakannya. Ini adalah pendapat ‘Ali bin Abi Talib, Aisyah r.a. dan Abdullah bin Umar bin al-Khattab. Juga pendapat Tawus dan al-Hasan. Mereka berpegang pada firman Allah dalam surah al-An’am:121 yang bermaksud: ”Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik….”
Imam Malik berkata makruh makan, tetapi tidak haram.
(http://www.altafsir.com/Tafasir.asp?tMadhNo=1&tTafsirNo=5&tSoraNo=5&tAyahNo=5&tDisplay=yes&UserProfile=0&LanguageId=1)

Tentang hukum makan sembelihan yang tidak disebut Nama Allah, terdapat tiga pandangan ulamak:
1. Pendapat Malik, Ahmad bin Hanbal, Abu Tsur dan Daud az-Zohiri, tidak halal dimakan sama ada si penyembelih tidak menyebutnya dengan sengaja atau terlupa.
2. Pendapat asy-Syafi’ei dan pengikut-pengikutnya, tidak disyaratkan sebut Nama Allah, bahkan ia sunat sahaja. Maka jika tidak disebut sama ada sengaja atau terlupa, tidak memudaratkan yakni halal dimakan.
3. Pendapat Abu Hanifah dan yang masyhur dari mazhab Malik dan Ahmad, jika tidak menyebut Nama Allah kerana terlupa, tidak mudarat (halal). Jika tidak menyebutnya dengan sengaja, maka tidak halal.
(Mukhtasar Tafsir Ibn Katsir, jilid 1, halaman 612)

Setiap golongan menguatkan pandangan mereka dengan hujah dan dalil tertentu.

Berdasarkan apa yang dikemukan di atas, pada pendapat ana, perkara paling penting yang wajib diberi perhatian ialah sama ada mereka SEMBELIH atau tidak? Adakah cara sembelihan yang mereka lakukan menepati kaedah Islam? Jika tidak disembelih, maka binatang itu dianggap bangkai, haram dimakan,

Tentang sebut atau tidak sebut Nama Allah, memang terdapat perselisihan di kalangan ulamak mengenai hukumnya wajib atau sunat seperti yang dikemukakan di atas. Kita boleh pilih pendapat yang kata wajib dan boleh pilih pendapat yang kata sunat sebab masing-masing ada hujahnya.
Allahu A’lam. Moga penjelasan ini membantu anta.

2 comments:

zainal said...

salam. Ana juga ada persoalan yg sama. Tapi ana pernah terfikir, zaman sekarang ramai org yg atheis. Dan org atheis ni tak dikira sebagai ahli kitab kan? Jadi kalau kita tak tahu samaada org yg menyembelih sembelihan itu ahli kitab atau atheis, macam mana pula ustazah?

Maznah Daud said...

drpd cucunda Rasulullah s.a.w. al-Hasan bin Ali radhiallahu'anhuma, Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): "Tinggalkanlah apa yang meragukan kamu kepada apa yang tidak meragukan kamu" Riwayat Tirmizi dan Nisa'i.