Soalan:
Assalamualaikum Ustazah...
Saya ingin bertanya, jika saya berpuasa qadha pada hari khamis (last day qadha puasa) dan ingin memulakan puasa 6 pada hari jumaat, adakah saya perlu berpuasa pada hari sabtu?( kerana niat puasa yg berbeza, qadha dan sunat)
Jawapan:
Wa’alaikumus-salam wr.wb.
Terdapat beberapa Hadis yang membawa maksud larangan berpuasa pada hari Jumaat secara sendirian, iaitu tanpa berpuasa pada hari sebelum atau selepasnya.
Daripada 'Ubbad bin Jaafar, dia berkata: Saya telah bertanya Jabir bin Abdullah r.a. ketika dia sedang bertawaf di Baitillah, "Adakah Rasulullah s.a.w. melarang berpuasa pada hari Jumaat?" Jabir menjawab: "Ya, Demi Tuhan Rumah ini!"
Di dalam riwayat Abu Hurairah r.a., beliau berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Janganlah salah seorang kamu puasa pada hari Jumaat melainkan dia hendaklah berpuasa sebelumnya atau selepasnya." Di dalam riwayat lain, Baginda bersabda maksudnya: "Jangan kamu khususkan qiam pada malam Jumaat tanpa malam-malam lain dan jangan kamu khususkan puasa pada hari Jumaat tanpa hari-hari lain." (Muslim)
Daripada Juwairiah binti al-Harith r.a., isteri Rasulullah s.a.w. Beliau berkata: "Rasulullah s.a.w. masuk ke rumahnya pada hari Jumaat dan beliau berpuasa pada hari tersebut. Baginda bertanya: "Adakah kamu berpuasa semalam?" Juwairiah menjawab: "Tidak." Baginda bertanya lagi: "Adakah kamu hendak berpuasa esok?" Juwairiah menjawab: "Tidak." Baginda bersabda: "Maka berukalah!" (Al-Bukhari)
Hadis-hadis di atas dengan jelas menunjukkan larangan (makruh tanzih) mengkhususkan puasa pada hari Jumaat tanpa digandingkan dengan hari yang lain.
Namun tidak makruh sekiranya seseorang itu:
i. berpuasa pada hari sebelum atau selepasnya,
ii. berbetulan dengan hari yang dia biasa berpuasa, umpamanya dia bernazar hendak berpuasa pada hari dia sembuh daripada sakit sepanjang hayatnya. Kebetulan dia sembuh pada hari Jumaat. Maka dia berpuasa setiap hari Jumaat sepanjang hayatnya sebagai memenuhi nazarnya. Atau menjadi kebiasaannya berpuasa sunat selanga sehari, maka kebetulan hari Jumaat merupakan hari puasa baginya. Hari Khamis dan Sabtu dia berbuka. Kemudian hari Ahad, hari Selasa dia berpuasa. Begitulah seterusnya.
iii. berpuasa qadha. Mungkin pada hari selain Jumaat dia bekerja dan tidak mampu untuk berpuasa. Hanya pada hari Jumaat sahaja dia boleh menunaikan puasa qadhanya.
Begitu juga, tidak makruh sekiranya hari Jumaat berbetulan dengan hari disunatkan berpuasa seperti Hari Arafah dan Hari 'Asyura.
Berbalik kepada soalan di atas, jawapannya tidak mesti puasa pada hari Sabtu kerana anda telah berpuasa pada hari Khamis. Di samping itu dalam kes ini tidak bermakna anda mengkhususkan puasa pada hari Jumaat secara sendirian, sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada puasa enam yang akan anda tunaikan. Jadi ia tidak termasuk di dalam puasa yang dilarang.
No comments:
Post a Comment