Monday, September 17, 2012

Rumah Kediaman Keluarga Hindu

Soalan:

salam
ustazah, saya bakal mendiami rumah yang sebelum ini dihuni oleh keluarga Hindu. saya juga pernah nampak mereka mempunyai bilik yang diletakkan patung berhala mereka. kini mereka akan berpindah ke tempat lain dan keluarga saya yang akan mendiami rumah tersebut.apakah cara untuk membersihkan rumah tersebut?

Jawapan:

Salam.

Di dalam sepotong ayat, Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjidilharam sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah:28)

Di dalam ayat di atas, Allah menyatakan bahawa orang-orang musyrik itu najis. Menurut jumhur (majority) ulama, selari dengan pendapat Ibn ‘Abbas r.a. bukan tubuh badan mereka yang najis. Sebaliknya yang najis itu adalah aqidah mereka, kesyirikan yang mereka anuti itulah yang kotor dan najis. Dalil bahawa tubuh badan mereka tidak najis, Allah Ta’ala menghalalkan umat Islam makan sembelihan ahli kitab, lelaki Islam halal berkahwin dengan wanita Ahli kitab, Ummu Habibah, salah seorang isteri Nabi s.a.w. menerima kunjungan ayahnya, Abu Sufyan yang masih kafir. Dan banyak lagi dalil-dalil yang boleh diambil daripada cara Rasulullah s.a.w. bergaul dan berinteraksi dengan kaum musyrikin di zamannya.

Begitu juga berhala-berhala yang mereka sembah itu tidak najis. Ketika Nabi s.a.w. Berjaya menawan kota Makkah yang sebelumnya dikuasai kaum musyrikin Quraisy, baginda memasuki Baitillah dan menghancurkan berhala-berhala yang terletak di sekitar Kaabah; di atas, di dalam dan di sekelilingnya yang berjumlah kira-kira 360 berhala. Setelah berhala-berhala tersebut dimusnahkan, tidak ada pula operasi membasuh rumah Allah yang mulia itu. Jika berhala-hala itu najis, sudah tentu Baginda akan membasuh Kaabah selepas berhala-berhala itu dimusnahkan.

Maka rumah yang puan akan duduki itu, jika terdapat berhala atau patung di dalamnya, hendaklah dibuang patung tersebut. Jika terdapat sebarang najis, sucikanlah najis tersebut dengan cara-cara penyucian yang sepatutnya sama ada najis mukhaffafah, mutawassitah atau mughallazhah. Jika tidak terdapat sebarang najis, tidak wajiblah disucikan. Allahu A’lam.

1 comment:

Unknown said...

saalam ustazah..saya juga bakal menghuni rumah yg diduduki oleh penghuni beragama hindu, jd adakah amalam pemujaan yg mereka lakukan sebelum ini akan meninggalkan kesan seperti pengaruh aura negatif kepada penghuni terutamanya anak kecil? harap penjelasan kerana bimbang akan terjadi gangguan jin dan syaitan..