Wednesday, April 17, 2013

Ada tempat antara syurga dan neraka?


Soalan:

Assalamu'alaikum wbt..

Ustazah, semoga sihat sentiasa..saya ada soalan ustazah.. kali ini tentang tafsir surah al-A'raf ayat 44-49..
ketika sharing dgn kawan ttg pengakhiran kita hanya dua, iaitu syurga atau neraka.. dan tiba2 kawan itu kata, dia pernah dgr seorg ustaz kata, yang nanti di akhirat kelak akan ada satu tempat antara syurga dan neraka yang dinamakan a'raf..
lalu dia menyebut ayat 44-49 surah al-a'raf.. mohon ustazah tolong beri pencerahan.. jazakillahu khairan katheera ustazah.. maaf jika email saya kurang baik bahasanya..

Jawapan:

Wa’alaikmuus-salam wr.wb.

Terjemahan surah al-A’raf ayat 44 – 49:
Dan (apabila ahli-ahli Syurga itu berada di tempat masing-masing), berserulah mereka kepada ahli Neraka dengan berkata: Sesungguhnya kami telah dapati apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya betul. Maka adakah kamu juga telah dapati apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya betul?. Mereka menjawab: Benar ada. Kemudian berserulah penyeru (malaikat) di antara mereka (kedua-dua puak itu) menyatakan: Bahawa laknat Allah tertimpa ke atas orang-orang yang zalim. (44)
Iaitu mereka yang menghalang (dirinya sendiri dan juga orang lain) dari menurut jalan Allah dan mencari helah menjadikan jalan itu bengkok terpesong, sedang mereka pula tidak percayakan hari akhirat. (45)
Dan di antara keduanya (Syurga dan Neraka) ada tembok "Al-A`raaf "(yang menjadi) pendinding dan di atas tembok Al-A`raaf itu ada sebilangan orang-orang lelaki yang mengenal tiap-tiap seorang (dari ahli-ahli Syurga dan Neraka) itu, dengan tanda masing-masing dan mereka pun menyeru ahli Syurga (dengan memberi salam, katanya): "Salaamun Alaikum" (salam sejahtera kepada kamu). Sedang mereka, sendiri belum lagi masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya. (46)
Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah ahli Neraka, mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan kami bersama orang-orang yang zalim. (47)
Dan orang-orang yang berada di atas tembok Al-A`raaf menyeru beberapa orang (Ketua kaum kafir) yang mereka kenal dengan tandanya, dengan berkata: Nampaknya kumpulan kamu yang ramai (atau kekayaan kamu yang besar) dan juga segala apa yang kamu sombongkan dahulu tidak dapat menolong kamu. (48)
(Mereka bertanya pula kepada ketua-ketua kaum kafir itu dengan berkata): Itukah orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat dari Allah? (Sekarang dikatakan kepada mereka): Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap kamu dan kamu pula tidak akan berdukacita. (49)

Kita dapati perkataan (al-A’raf) telah disebut sebanyak 2 kali, iaitu pada ayat ke 46 dan 48. Menurut Ibn Kathir dan para mufassir lain, (al-A’raf) ialah tembok atau dinding yang menghalang ahli neraka sampai ke syurga.

Kata Ibn Jarir, (al-A’raf) adalah kata jamak (plural) bagi ‘urf. ‘Urf bermaksud tempat yang tinggi atau tanah tinggi. Apa-apa yang lebih tinggi daripada yang lain dipanggil ‘urf.

Dinyatakan di dalam ayat-ayat di atas bahawa di atas (al-A’raf) terdapat rijal, iaitu beberapa orang lelaki (secara tidak langsung termasuk juga perempuan). Mereka dipanggil ashab al-A’raf. Siapakah pula ashab al-A’raf itu?

Al-Hafidz Ibn Mardawaih meriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. telah ditanya mengenai orang-orang yang kebaikan dan kejahatannya sama berat. Baginda s.a.w. menjawab: “Mereka itu adalah ashab al-A’raf. Mereka belum lagi masuk Syurga, padahal mereka ingin sangat memasukinya.”

Ibn Jarir berkata, Huzaifah r.a. juga meriwayatkan bahawa Baginda s.a.w. ditanya tentang ashab al-A’raf. Maha Baginda menjelaskan: “Mereka adalah kaum atau golongan yang kebaikan dan kejahatannya sama berat. Kejahatan mereka menjadi penghalang bagi mereka masuk syurga. Kebaikan mereka pula menjauhkan mereka dari neraka. Maka mereka terhenti di atas tembok itu sehingga Allah memutuskan kesudahan buat mereka.”

Di dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. ditanya tentang ashab al-A’raf. Baginda bersabda (maksudnya): “Mereka adalah orang terakhir dari kalangan hamba yang dibicarakan. Apabila Tuhan Rabb al-‘alamin selesai memutuskan kesudahan hamba-hambaNya, Dia berfirman kepada mereka (ashab al-A’raf): “Kamu adalah kaum yang dikeluarkan dari neraka oleh hasanahmu, dan kamu belum masuk ke dalam syurga. Maka sekarang kamu adalah orang-orang yang Aku merdekakan (‘utaqa-i). Maka masuklah kamu ke dalam syurga dari (pintu) mana yang kamu mahu.”

No comments: