Soalan:
Assalamualaikum Ustazah,
Saya ada persoalan. Rakan
pejabat saya kini ada 2 org anak. Abang umur 1 thun 1/2. Adik umur 6 bln. Skrg
ni mamanye sudah lewat period dan merasakan yg dia nya sudah mengandung. Dia
rasa blm bersedia. Sbb anak2 yg dua tu masih kecik. Bimbang kurang kasih syg.
Blh atau tidak jika dia x nk kandungan yg baru ni @gugur kn. Apa hukumnye?
Minta ustazah jawab kn.
Jawapan:
Wa’alaikumus-salam
wr.wb.
Menggugurkan kandungan boleh dibahagikan kepada tiga peringkat
berdasarkan usia kandungan tersebut:
Pertama – selepas kandungan berusia 120 hari. Pada peringkat
ini ulama sepakat bahawa haram menggugurkan
dan boleh dikategorikan sebagai membunuh satu nyawa yang diharamkan oleh Allah
Ta’ala kecuali dalam dua keadaan, iaitu jika nyawa ibubenar-benar berada di dalam bahaya sekiranya janin tidak digugurkan,
dan sekiranya janin telah meninggal dunia di dalam kandungan dengan pasti.
Kedua – kandungan belum mencapai usia 120 hari tetapi telah
melebihi 40 hari. Menggugurkan kandungan
pada tahap ini adalah haram tetapi tidak dikategorikan sebagai membunuh.
Perbuatan ini dianggap sebagai merosakkan keturunan yang dikutuk oleh Allah
Ta’ala. FirmanNya bermaksud: “Kemudian apabila dia pergi (dengan mendapat hajatnya),
berusahalah dia di bumi, untuk melakukan bencana padanya dan membinasakan tanaman-tanaman
dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedang Allah tidak suka kepada bencana
kerosakan.” (Al-Baqarah:205)
Ketiga – usia kandungan belum genap 40 hari. Menurut pendapat
yang rajih (yang paling kuat dalilnya), hukum menggugurkan kandungan pada peringkat
ini adalah haram kecuali jika terdapat maslahah atau keperluan yang dibenarkan oleh
syarak atau untuk mengelak kemudaratan yang diyakini akan berlaku sekiranya tidak
digugurkan.
Kesimpulannya tidak harus menggugurkan
kandungan dalam semua peringkat usia kandungan kecuali dengan sebab-sebab tertentu
yang dibenarkan oleh syarak dan dalam batas-batas yang amat sempit.
Menggugurkan dengan sebab takut akan menghadapi kesukaran dalam
menjaga dan mendidik anak, atau kerana sudah berasa cukup dengan bilangan anak
yang telah sedia ada adalah tidak harus.
No comments:
Post a Comment