Monday, June 10, 2013

Membaca al-Quran sebagai Mas Kahwin?



SOALAN:

assalamualaikum ustazah..

Bolehkah sesuatu yang bukan harta/benda dijadikan mas kahwin, seperti membaca surah2 tertentu drpd al-Quran? Mohon penjelasan. Syukran ya ustazah.


JAWAPAN:

Wa’alaikumus-salam wr.wb.

Mas kahwin atau di dalam Bahasa Arab disebut mahar ialah “harta yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya disebabkan berlakunya akad nikah”. (Kitab Fikah Manhaj Syafie, jilid 3 & 4, hal.809 Pustaka Salam 2005)

Dr Abdul Karim Zaidan juga mentakrifkan mas kahwin dengan maksud yang hampir sama seperti di atas. (Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, jilid 7, hal.49, Mu’assah ar-Risalah 1997)

Mas kahwin adalah wajib. Dalilnya adalah ayat al-Quran, Hadis Nabi dan Ijmak Ulamak.
Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib.” (An-Nisaa’:4)

Mas kahwin wajib diberikan oleh suami kepada isteri dengan sebab berlakunya akad nikah. Tetapi menyebut mas kahwin di dalam akad tidak menjadi syarat sah akad tersebut.

Perkara-perkara yang boleh dijadikan mas kahwin ialah apa saja yang dianggap sebagai harta yang bernilai di sisi muslim menurut hukum Syara’. Dan harta itu mestilah diketahui kadarnya dan boleh dibahagikan separuh, separuh.
Selain itu, manfaat atau perkhidmatan yang boleh dinilai atau diletakkan harga, boleh juga dijadikan mas kahwin. Contohnya, suami memberikan isterinya hak menggunakan rumah kedainya tanpa sewa selama sekian tahun, suami mengajar isterinya kemahiran tertentu sehingga isteri boleh menguasainya seperti kemahiran membaca al-Quran, menjahit, atau lain-lain.

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, iaitu suami membaca surah tertentu, itu tidak dikira sebagai pemberian yang boleh dimanfaatkan oleh isteri. Bacaan itu juga tidak boleh diberi nilai, RM10, seketul emas, atau sebagainya? Maka ia tidak sah dijadikan mas kawin.

Namun, oleh kerana menyebut mas kahwin tidak menjadi syarat sah akad, maka apapun yang disebut atau tidak sebut langsung, akad tetap sah (jika menepati rukun dan syaratnya). Contohnya jika disebut di dalam akad mas kahwinnya 10 botol arak, akad sah tetapi mas kahwin yang disebut itu batal kerana arak adalah haram bagi umat Islam dan bukan harta bernilai. Begitu juga jika disebut mas kahwinnya ialah membaca surah al-Ikhlas (atau apa-apa surah), akad sah tetapi mas kahwin terbatal kerana tidak ada apa-apa yang diberikan kepada isteri. Dalam hal ini, suami wajib memberikan mas kahwin yang disebut mahar mithil, iaitu nialai yang sama dengan mas kahwin saudara perempuan isterinya atau kaum kerabatnya.

No comments: