Tuesday, June 11, 2013

Membaca al-Quran sebagai Mas Kahwin II



SOALAN:

salam wbt ustazah, mudah2an ustazah dalam cinta Allah..

ana perlukan pencerahan dari ustazah berkenaan mahar hafalan surah (post ustazah tadi)
selain dari ada hadith yg menceritakan rasulullah membenarkan, (ana yakin ustazah tahu hadith tu) ana juga pernah baca yang ianya dibolehkan, dengan syarat si suami perlu ajar surah tu pada isteri. bacaannya, hafalannya, tafsirnya, dan lain2 lah ilmu tentangnya..
bila baca artikel ustazah, ana pun dah ragu-rgau pula, boleh atau tidak, sebab dia tak ada nilai yang boleh kita letak pada dia kan..
jadi apa pendapat ustazah kalau gunakan dua2 sebagai mahar? cthnya, sebentuk cincin emas dan hafalan surah al hadid (misalnya)?

JAWAPAN:

Salam.  Ana  ada sebut dalam post  itu, ajar al-Quran boleh kerana itu manfaat yg diberikan kepada  isteri. Yang  tidak boleh ialah suami baca atau suami hafal. Itu bukan pemberian, betul tak?

Hadis yang anti maksudkan, teks penuhnya ialah:
Daripada Abi Hazim bin Dinar, daripada Sahal bin Sa’ad as-Sa’eidi r.a. bahawa Nabi s.a.w.  didatangi seorang perempuan, lantas berkata: “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku menghibahkan diriku kepadamu.” Maka perempuan itu berdiri lama (menanti jawapan). Maka seorang lelaki bangun seraya berkata: “Ya Rasulullah, nikahkan saya dengannya sekiranya engkau tidak berhajat kepadanya.” Rasulullah s.a.w. bertanya lelaki itu: “Adakah engkau memiliki sesuatu  untuk dijadikan  mas kahwin yang diberikan kepadanya?” Lelaki itu menjawab: “Aku tidak mempunyai sesuatu apapun kecuali kain yang aku pakai ini.” Baginda bersabda: “Sekiranya engkau berikan dia kain itu, engkau duduk dalam keadaan tidak ada kain. Maka carilah sesuatu!” Lelaki itu menjawab: “Aku tidak mempunyai sesuatu.” Nabi s.a.w. bersabda lagi: “Carilah,  walaupun sebentuk cincin besi.” Lelaki itupun mencari, namun dia tidak menemui sesuatu. Maka Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya: “Adakah di sisimu sesuatu (menghafaz) daripada al-Quran?” Lelaki itu menjawab: “Ya, surah sekian dan sekian.” (Dia menyebut surah-surah yang dihafaznya). Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya aku nikahkan engkau dengannya dengan (mas kahwinnya) apa yang kamu ada daripada al-Quran.” Riwayat al-Bukhari. Ketika mensyarahkan Hadis ini, Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: Hadis ini menjadi dalil harus menjadikan manfaat sebagai mahar sekalipun dalam bentuk mengajar al-Quran.

Kalau kita perhatikan jalan cerita yang terkandung di dalam Hadis di atas, kenapa  akhirnya Nabi s.a.w. menjadikan ajar al-Quran sebagai mas kahwin, sebab lelaki itu memang tidak ada apa-apa harta. Jadi ia menunjukkan harus, dan tidak menunjukkannya sebagai pilihan pertama sebab Nabi s.a.w. berkata sebelum itu, carilah sesuatu walaupun sebentuk cincin besi! 

Orang sekarang ada macam-macam, jauh lebih mahal daripada cincin besi. Apalagi kalau perempuan yang hendak dikahwini itu sudah pandai baca al-Quran. Perlukah lagi ajar al-Quran sebagai mas kahwin? Malah, kalau tidak dijadikan mas kahwinpun suami bertanggungjawab ajar isteri, kalau isteri itu jahil atau tidak tahu baca al-Quran.

1 comment:

zinnirahkasim said...

Assalamu'alaikum ustazah,

Ramadhan Mubarak.

Maaf menggunakan ruang komen. Sebab ana tak jumpa cara lain untuk contact ustazah di blog ini.

Ana ada soalan dari binaan ana tentang teknik ultrasound untuk janin dalam perut melalui vagina, dimana alat tersebut dimasukkan hingga ke cervix. Adakah ia membatalkan puasa?

Nampaknya di Germany ini, doktor2 menggunakan kaedah ultrasound melalui vagina untuk umur kandungan yang masih baru, kerana lebih accurate.
Ada juga pendapat ulama' lain: http://askimam.org/public/question_detail/1587.html

Harap ustazah boleh jawab soalan ini. Terima kasih.

Wassalamu'alaikum.

Zinnirah Binti Kasim.