Soalan:
Assalamualaikum Ustazah,
Saya ada kemusykilan, minta ustzh tlg
jelaskan, iaitu mengenai umur Aisyah semasa berakhwin dgn Rasulullah s.a.w.
Saya dengar ada pihak mendakwa umurnya 18 tahun, bukan spt yg kita ketahui
selama ini, iaitu 9 tahun. Mana satu yg betul? Trm kasih ustzh.
Jawapan:
Wa'alaikumus-salam wr.wb.
Sebelum menjawab soalan yang dikemukakan,
perlu ditegaskan bahawa saya tidak mempunyai kepakaran dalam bab hadis dan
sirah juga lain-lain. Yang dipaparkan dalam tulisan ini hanyalah petikan daripada
tulisan beberapa orang ilmuan yang saya baca dan saya dengar.
Telah sekian lama kita mempelajari sirah
Nabi kita s.a.w. daripada kitab-kitab sirah dan kitab-kitab hadis, termasuk
Sahih Bukhari dan Muslim yang telah disepakati ulamak sejak dahulu tentang
kesahihan kedua-duanya. Kitab-kitab tersebut sepakat mengatakan bahawa umur
'Aisyah r.a. ketika dikahwini sebaik-baik makhluk di muka bumi ini ialah 6
tahun dan telah bersama sebagai suami isteri ketika usianya 9 tahun.
Hal ini tidak pernah dibantah dan
dipersoalkan sejak dahulu hinggalah beberapa tahun kebelakangan ini timbul
suara-suara sumbang mempersoalkannya. Kita bimbang, tujuan di sebalik persoalan
itu ditimbulkan adalah untuk menimbulkan keraguan terhadap sumber Syari'ah yang
telah disepakati zaman berzaman. Shaikh Sofiyyur-Rahman al-Mubarakfuri, di
dalam kitabnya ar-Rahiq al-Makhtum yang memenangi tempat pertama peraduan
menulis sirah secara ilmiah dan kajian yang kritis, yang dianjurkan oleh Rabitah
al-'Alam al-Islami (diisytiharkan pada bulan Syaaban 1398 hijriah) menyatakan
bahawa Nabi s.a.w. mengahwini Aisyah yang berusia enam tahun pada bulan Syawal
tahun ke 11 bi'thah (diutus menjadi Nabi), dan membina kehidupan sebagai suami
isteri di Madinah pada bulan Syawal tahun pertama selepas hijrah. Ketika itu
Aisyah berusia sembilan tahun. Poinnya ialah sebuah penulisan yang ditulis
berdasarkan kajian ilmiah yang diiktiraf oleh pakar-pakar peringkat
antarabangsa, tidak mempersoalkannya menunjukkan riwayat itu telah diterima
sebagai sahih dan tidak perlu dipersoalkan. Dan satu daripada rujukan beliau
ialah kitab "Zadul-Mi'ad" karangan Ibn al-Qayyim yang juga terkenal
dengan pandangan kritisnya.
Kitab-kitab hadis melaporkan 'Aisyah r.a. sendiri
mengisahkan perkahwinannya dengan Nabi s.a.w. dengan katanya: "Ibuku Ummu
Rumman datang kepadaku, ketika itu aku sedang bermain buai dengan
kawan-kawanku. Dia memanggilku. Akupun datang kepadanya sedangkan aku tidak
mengetahui apa yang hendak dilakukannya terhadapku. Dia memimpinku hingga ke
pintu rumah. Aku menarik nafas dalam-dalam sehingga jiwaku berasa tenang.
Kemudian dia mengambil sedikit air, disapukannya pada muka dan kepalaku.
Kemudian dia membawaku masuk ke dalam rumah. Terdapat beberapa orang wanita Ansar
di dalam rumah. Mereka berkata: "Alal-khairi wal-barakah wa ala khairi
to'iri"
(على الخير والبركة وعلى خير طائر). Ibuku menyerahkanku kepada wanita-wanita itu. Maka mereka
mengelokkan keadaanku. Maka tidak ada yang memeranjatkanku kecuali kehadiran
Rasulullah s.a.w. di waktu dhuha. Lalu mereka menyerahkanku kepada Baginda. Dan
aku pada waktu itu berusia 9 tahun." Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Kalau
Aisyah r.a. sendiri menceritakan tentang dirinya, adakah dia tersilap
menghitung usianya?
Ringkasnya,
1.
Hadis-hadis di dalam Sahih al-Bukhari,
Muslim dan lain-lain sepakat mengatakan bahawa Nabi s.a.w. membina kehidupan
sebagai suami isteri dengan 'Aisyah r.a. ketika dia berusia 9 tahun.
2.
'Aisyah r.a. sendiri, tuan
punya badan menceritakan tentang peristiwa pernikahannya seperti yang
dinyatakan di dalam Sahih Muslim bahawa dia bersama Rasulullah s.a.w. ketika
berusia 9 tahun, dan permainannya berada di tangannya. Beliau juga menyatakan
bahawa Rasulullah s.a.w. wafat meninggalkannya ketika dia berusia 18 tahun.
3.
Dakwaan bahawa 'Aisyah r.a.
dilahirkan 4 tahun sebelum Rasulullah s.a.w. diangkat menjadi Rasul bercanggah
dengan apa yang dinyatakan oleh az-Zahabi di dalam kita "Siyar
al-A'lam" (dan 'Aisyah adalah di antara mereka yang dilahirkan di dalam
Islam). Begitu juga dinyatakan oleh al-Hafidz Ibn Hajar di dalam kitabnya,
"al-Isobah" ('Aisyah dilahirkan selepas kebangkitan Nabi s.a.w. 4
atau 5 tahun.
4.
Kitab-kitab sirah meriwayatkan
bahawa 'Aisyah r.a. wafat ketika berusia 63 tahun, pada tahun 57 hijriah
mengikut riwayat paling masyhur. Maka umurnya sebelum hijrah adalah 6 tahun
(63-57=6). Apabila ditampung tahun yang pecah (tidak lengkap satu tahun)
sebagaimana adat orang Arab dalam mengira tahun, iaitu mereka melengkapkan
tahun pertama dan terakhir, maka ditambah dua tahun, 6+2=8. Dan tambah lagi satu
tahun kerana Nabi s.a.w. bersama 'Aisyah r.a. selepas hijrah 18 bulan. Maka
umur beliau ketika itu adalah 9 tahun. Selaras dengan riwayat-riwayat
sebelumnya.
5.
Dakwaan mengatakan Asma' lebih
tua daripada 'Aisyah 10 tahun, tidak ada dalil mengenainya. Az-Zahabi, di dalam
kitab "Siyar al-A'lam" berkata: "Asma' lebih tua daripada
'Aisyah beberapa tahun lebih daripada 10 (bidh'a 'asyar)." Iaitu bukan 10
tahun, tetapi lebih beberapa tahun. Menurut Dr
Muhammad 'Imarah, Professor dalam bidang fiqh, fakulti pengajian Islam,
Universiti al-Azhar, perkataan (bidh'a) berkisar di antara 3 hingga 9 tahun. Jika
dikatakan umur 'Aisyah 9 tahun ketika hijrah, maka dia lahir pada tahun ke 4
selepas kenabian (13-9=4). Kalau dicampurkan kata-kata Abu Nu'aym dalam
"Ma'rifah as-Sahabah", Asma' dilahirkan 10 tahun sebelum kenabian.
Maka umur Asma' ketika kelahiran 'Aisyah adalah 14 tahun. Ini selaras dengan
kata-kata az-Zahabi bahawa Asma' lebih tua daripada 'Aisyah beberapa tahun
lebih daripada 10.
6.
Perbezaan antara umur 'Aisyah dengan
umur Fatimah binti Rasulillah s.a.w. Ibn Hajar mentarjihkan bahawa Fatimah r.a.
dilahirkan tidak lama sebelum bi'thah sama seperti riwayat az-Zahabi. Az-Zahabi
juga menyatakan bahawa 'Aisyah dilahirkan di dalam Islam dan dia lebih muda
daripada Fatimah lapan tahun. Menurut Ibn al-Athir di dalam kitab
"Usudul-Ghabah", Nabi s.a.w. mengahwinkan Ali r.a. dengan Fatimah
r.a. selepas Baginda bersama dengan 'Aisyah empat bulan setengah. Umur Fatimah
ketika itu ialah 15 tahun 5 bulan. Jadi bagaimana mungkin umur 'Aisyah 18 tahun
sedangkan dia lebih muda daripada Fatimah?
Seperkara lagi, pihak yang mencetuskan isu
ini mungkin berniat baik, iaitu ingin mempertahankan Rasulullah s.a.w. daripada
serangan musuh yang mendakwa Baginda gila seks, mendera kanak-kanak dan seumpamanya.
Semoga Allah balas niat yang baik itu dengan kebaikan. Namun, kita kena ingat,
pihak yang menuduh Nabi s.a.w. sebagai buas, gila seks dan sebagainya itu tidak
melihat masa dan di mana peristiwa itu berlaku. Mereka menilai berdasarkan apa
yang berlaku masa kini di mana sering terjadi pelbagai jenis menindasan
terhadap wanita dan kanak-kanak atas nama agama dan budaya.
Pada zaman itu, perkahwinan wanita pada
usia muda dengan lelaki yang tua bukan sesuatu yang mengaibkan. Ia diterima
sebagai sesuatu yang biasa dan tidak menjadi satu isu yang dipersoalkan.
Sebagai contoh, Hafsah binti Umar al-Khattab menjadi janda ketika berusia 20
tahun. Umar menawarkannya kepada Uthman, kemudian Abu Bakar supaya berkahwin
dengan puterinya itu, pada hal Uthman dan Abu Bakar lebih tua daripada Umar
radhiallahu'anhum ajma'ein. Umar sendiri berkahwin dengan Ummu Kulthum puteri
Ali bin Talib, walhal Ali lebih muda daripada Umar. Namun tiada siapa yang
membantah perkahwinan seperti ini.
Sedia maklum, mereka yang memusuhi
Rasulullah s.a.w. sentiasa mengintai peluang untuk menjatuhkan Baginda dan
menyekat kemaraan dakwah. Pelbagai usaha dilakukan termasuk mereka-reka cerita
dan tuduhan-tuduhan yang mereka sendiri tidak boleh menerimanya seperti
menuduhnya gila, tukang sihir, penyair dan bermacam-macam lagi. Anehnya tidak
pernah pula mereka gunakan isu perkahwinan Nabi dengan Aisyah untuk menuduhnya
sebagai lelaki buas, ganas dan mengambil kesempatan terhadap wanita. Ini
menunjukkan bahawa perkahwinan seorang lelaki yang telah berusia dengan wanita muda
adalah sesuatu yang lumrah di kalangan masyarakat ketika itu. Kalau tidak,
pastinya mereka akan gunakan peluang itu habis-habisan untuk mengenakan Nabi
dan Islam yang dibawanya.
Dan kalau benarlah perkahwinan itu
merupakan satu penderaan kepada kanak-kanak, kita lihat apa yang tertulis di
dalam kitab sirah dan diceritakan sendiri oleh 'Aisyah r.a. Kalau seseorang
perempuan itu didera dan dipaksa kahwin, sudah tentu dia akan membenci suaminya
dan mencari peluang untuk melepaskan diri dari lelaki yang dipaksa kahwin
dengannya. Namun apa yang tercatat di dalam sejarah, 'Aisyah dan Rasulullah
s.a.w. merupakan pasangan yang sangat intim dan saling cinta mencintai antara
satu sama lain. Ini menunjukkan bahawa,
'Aisyah r.a. meskipun usianya masih muda, namun beliau merupakan wanita yang
pintar dan matang.
Justeru, bagi saya tidak perlu kita
mempersoalkan sesuatu yang telah disepakati dan termaktub di dalam kitab yang
diperakui oleh kawan dan lawan cara periwayatan yang sukar ditandingi
ketelitiannya. Allahu A'lam.
Ya Allah, ampuni daku dan saudaraku-saudaraku
yang membaca tulisan ini sekiranya kami tersalah dan tersilap dalam
menceritakan perihal RasulMu dan kekasihMu.
1 comment:
kaji sejarah dengan betul betul lengkap dan punyai bukti yang kukuh..tidak bersandar kan sejarah yang bolih berubah berdasarkan cerita dan pendapat. kerana akan menjejas kan keunggulan nabi Muhammad saw. Tidak semua kitab itu benar kecuali Alquran. Tidak semua cerita itu benar. kecuali sabda rasulullah. Hukum akal, tidak akn mungkin rasulullah gila seks, kawin budak umur 9 tahun.
Post a Comment