Soalan:
Assalamu'alaikumu Ustazah, saya nak tanya, apakah hukum
memberi salam kepada orang yang sedang solat? Dan jika orang bagi salam ketika
kita sedang solat, wajibkah kita menjawabnya?
Syukran Ustazah.
Jawapan:
Wa'alaikumus-salam wr.wb.
kebanyakan
ulamak berpendapat, harus memberi
salam kepada orang yang sedang solat jika diyakini tidak mendatangkan
kekeliruan kepadanya atau menyebabkan solatnya batal. Umpamanya memberi salam
kepada orang yang tidak tahu hukum. Dia menyangka, bila orang beri salam, dia
wajib jawab. Maka diapun jawab dengan perkataan. Batallah solatnya. Dalam
keadaan ini, tidak harus memberi salam kepadanya.
Imam an-Nawawi berkata: "Daripada
perbahasan ashab kita (fuqahak Mazhab Syafi'ei), memberi salam kepada orang
yang sedang solat, tidak makruh." Demikian juga pendapat fuqafak Mazhab
Maliki.
Berbeza dengan fuqahak Mazhab Hanafi,
mereka berkata: Makruh memberi salam kepada orang yang sedang solat, sedang
membaca al-Quran, sedang duduk di dalam majlis penghakiman, sedang membuat
kajian tentang fiqh, sedang berada di bilik sunyi (tandas). Jika diberi salam,
tidak wajib mereka menjawabnya kerana salam itu bukan pada tempatnya. (Tabyin
al-Haqaeq)
Jika orang bagi salam ketika kita sedang
solat, kita wajib menjawabnya berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan
apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti
memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik
daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah
sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.” (An-Nisaa’:86)
Namun begitu, ulamak berbeza pendapat dari
segi cara menjawab salam ketika solat. Ada yang berkata, jawab selepas solat.
Yang lain pula berkata, jawab di dalam hati. Dan ada yang berkata, jawab dengan
isyarat.
Terdapat beberapa cara menjawab salam
dengan isyarat ketika solat.
a.
Isyarat dengan kepala
b.
Isyarat dengan jari
c.
Isyarat dengan tangan, iaitu
mengangkat tangan sehingga orang yang memberi salam itu mengetahui salamnya
telah dijawab. Caranya ialah buka tapak tangan dengan bahagian belakangnya ke
atas dan bahagian perutnya ke bawah.
Asy-Syaukani
berkata: himpunan riwayat-riwayat menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w.
melakukan kadang-kadang begini dan kadang-kadang begitu. Jadi semuanya harus.
Setelah selesai solat, sekiranya orang yang
memberi salam itu masih ada, hendaklah dijawab salam tadi dengan lafaz.
Sekiranya dia sudah tiada, tidak wajib lagi dijawab. Cukup dengan isyarat
ketika solat.
Dalil yang menunjukkan harus memberi salam
kepada orang yang solat dan cara menjawabnya:
1.
Daripada Ibn Umar r.a., dia
berkata: "Saya berkata kepada Bilal, "Bagaimana kamu melihat
Rasulullah s.a.w. menjawab salam mereka (orang Ansar) ketika mereka memberi
salam kepada Rasulullah yang sedang solat?" Bilal berkata: "Begini.
Dia membuka tapak tangannya." Dikeluarkan oleh Abu Daud dan at-Tirmizi.
2.
Daripada Suhaib r.a. dia
berkata: "Aku lalu berhampiran dengan Rasulullah s.a.w. yang sedang solat.
Lalu aku memberi salam kepadanya. Maka dia menjawab salamku dengan isyarat."
Periwayat Hadis berkata: "Isyarat dengan jarinya." Musnad Ahmad
Jelasnya menjawab salam adalah wajib. Namun
oleh kerana tidak boleh menjawab dengan lafaz kerana boleh membatalkan solat,
maka wajib dijawab dengan isyarat.
No comments:
Post a Comment