Wednesday, April 23, 2014

Kirim Salam Kepada Rasulullah s.a.w.

Soalan:

Slm ustazah, semoga ustzh & family dlm rahmat Allah. Kwn sy baru balik umrah, dia telah menyampaikan kiriman kami iaitu utk berkirim salam pd nabi saw. Masalahnya, dia sgt keliru sbb seorg yg di kenalinya yg tinggal di Madinah melarangnya menyampaikan slm pd nabi saw atas alasan tiada nas dlm Alquran & hadith tentang berkirim slm pd nabi. Minta pendapat ustazah, jzkk.

Jawapan:

Wassalam.

Memang betul, mengirim salam kepada Rasulullah s.a.w. melalui orang yang pergi ke Madinah tidak disyari’atkan dan tidak dilakukan oleh orang-orang terdahulu dari kalangan salaf as-soleh.
Seseorang yang menziarahi kubur Nabi s.a.w disunatkan mengucapkan salam kepada baginda s.a.w dengan ucapan:
السلام عليك أيها النبي ورحمة الله وبركاته ، وصلى الله عليك وعلى آلك وأصحابك
 “Ucapan salam keatas kamu, Ya Nabi dengan Rahmat dan Berkat Allah, dan moga Allah merahmati kamu , keluarga kamu dan sahabat kamu”

Dan seterusnya memberi salam kepada Abu Bakar dan Umar. Begitulah juga kita diajar mengucapkan salam apabila melawat mana-mana perkuburan orang-orang Islam yang lain. Amalan-amalan ini hanya disunatkan kepada mereka yang menziarahi kubur sahaja. Amalan mengirim salam kepada baginda s.a.w atau pun kepada kubur sesiapa tidak terdapat dalilnya di dalam mana-mana ayat Al-Quran atau Hadith Nabi s.a.w. Sheikh Saleh Al-Munajjid mengatakan :
 “Ada di kalangan mereka yang tidak dapat pergi ke Madinah mengirim salam kepada Nabi s.a.w melalui mereka yang melakukan ziarah, sebahagian mereka berdiri sambil menyampaikan salam tersebut. Ini adalah amalan bid’ah, dan perkara yang telah direka-reka. Mereka yang mengirimkan salam dan mereka yang menyampaikannya hendaklah berhenti melakukan perkara tersebut kerana tidak ada keperluan melakukannya. Nabi s.a.w bersabda maksudnya: ‘Selawatlah ke atasku kerana sesungguhnya salam kamu sampai kepadaku dimana sahaja kamu berada’-[hadith riwayat Abu Daud #2042]“

Apa yang dianjurkan di dalam Islam kepada sesiapa yang ingin memberi salam kepada Nabi ialah memperbanyakkan selawat kepada baginda dan tidak perlu mengirimkan melalui orang lain. Nabi saw bersabda :
إن لله في الأرض ملائكة سياحين يبلِّغوني من أمتي السلام
“Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat di atas bumi yang mengembara keliling dunia meyampaikan kepadaku salam dari umatku” – [Hadith riwayat Ahmad 1/144, Al-Nasaa'i #1282, dikelaskan sahih oleh Al-Albani]

Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jangan jadikan rumah kamu itu kubur. Dan jangan jadikan kuburku tempat perayaan. Berselawatlah ke atasku kerana sesungguhnya selawat kamu sampai kepadaku di mana jua kamu berada.” Riwayat Abu Daud (2042) dan dikategorikan sahih oleh al-Albani.

Allah s.w.t. telah memudahkan kita umat Nabi Muhammad s.a.w. untuk menyampaikan salam kepada baginda di mana jua kita berada. Malah kita wajib memberi salam kepadanya setiap kali solat pada rakaat terkhir. Dan salam itu sampai kepadanya dengan izin Allah. Maka tidak perlu kita mengirim salam kepadanya melalui orang yang pergi ke sana.

Hanya kepada mereka yang berada di kubur Nabi s.a.w, sahaja digalakkan memberi salam kepadanya. Wallahu A’lam.




No comments: