Wednesday, June 3, 2015

HUKUM MENGULANGI SOLAT YANG TIDAK KHUSYUK

Soalan:

Salam ustazah,

Saya ada persoalan yang memerlukan penjelasan dari ustazah, ada rakan yang menunaikan solat fardhu 2 kali kerana katanya waktu solat kali pertama dia tak khusyuk. Jadi persoalannya bolehkah menunaikan solat fardhu sebanyak 2 kali.

Jawapan:

Wassalam.

Khusyuk di dalam solat adalah sesuatu yang amat dituntut. Malah Allah Ta’ala menjamin kejayaan bagi mereka yang khusyuk di dalam solatnya sebagaimana dinyatakan di dalam firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (Al-Mu’minun : 1-2)
Namun, tidak khusyuk semasa solat tidaklah menjadikan solat itu batal. Solat tetap sah jika sempurna rukun serta syarat-syaratnya.
Di dalam Syarah al-Muhazzab, Imam an-Nawawi berkata: disunatkan khusyuk di dalam solat dengan mentadabur bacaan ayat-ayat, zikir-zikir dan yang berkaitan dengannya serta jauhi dari berfikir atau mengingati perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengannya. Sekiranya dia banya berfikir tentang perkara lain tidak batal solatnya tetapi makruh… Sesungguhnya telah dinaqalkan bahawa ijmak tidak batal. Dan telah disepakati bahawa ia adalah makruh. Antara dalil yang menunjukkan tidak batal solat dengan sebab berfikir tentang sesuatu yang lain ialah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengira dosa ke atas umatku perkara yang berligar di dalam dirinya selama dia tidak melakukan atau bercakap tentangnya.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Dan daripada Uqbah bin al-Harith r.a. katanya: “Aku menunaikan solat Asar bersama Nabi s.a.w. Selepas memberi salam, Baginda bangun dengan segera dan terus memasuki salah satu rumah isteri-isterinya. Kamudian Baginda keluar dan Baginda melihat di wajah kami tanda keheranan di atas kelakuannya bersegera tadi. Lalu Baginda menjelaskan: “Aku teringat ketika aku sedang solat tadi terdapat seketul emas di rumah kami. Maka aku tidak suka ia ada sampai petang atau satu malam di rumah kami. Lantas aku perintahkan supaya emas itu dibahagi-bahagikan.” Riawayat al-Bukhari.
Selain itu terdapat beberapa hadis lagi yang menunjukkan mengingati perkara lain di dalam solat tidak membatalkannya.
Ulamak berbeza pendapat dari segi hukum mengulangi solat yang tidak khusyuk. Setengah mereka berkata sunat dan setengah yang lain berkata tidak sunat.

Pada pendapat saya, jangan jadikan kebisaan mengulanginya kerana solat yang diulanginya itu tidak dapat dijamin tidak berlaku apa yang dikatakan tidak khusyuk itu. Ertinya tidak dapat dijamin bahawa solat kali ke dua dia tidak diganggu dengan ingatan kepada perkara-perkara lain. Ini pastinya akan mendatangkan kesusahan kepadanya dan mungkin membawa kepada penyakit waswas. Tambahan pula, Nabi s.a.w. sendiri tidak menyuruh orang yang tidak khusyuk mengulangi solatnya.
Apa yang wajib dilakukan ialah berusaha sedaya mampu menyempurnakan syarat dan rukun, kemudian cuba sedaya upaya untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada setiap amalan dan bacaan di dalam solat. Selain itu, banyakkan solat-solat sunat kerana terdapat hadis (riwayat at-Tirmizi, an-Nasae dan Ibn Majah daripada Abu Hurairah r.a.) yang menunjukkan bahawa solat-solat sunat dapat menampung solat fardhu jika terdapat kekurangan. Allahu A’lam.



No comments: