Soalan:
Salam
ustazah,
Saya
ada persoalan yang memerlukan penjelasan dari ustazah berkaitan dengan puasa
ganti, saya telah diberitahu bahawa jika seseorang tidak sempat mengganti puasa
sebelum Nisfu Syaaban, dia tidak boleh mengganti puasanya pada tahun ini
perlu membayar fidyah dan hanya boleh mengganti selepas Awal
Muharram. Setahu saya, seseorang boleh mengganti puasanya sehingga sehari
sebelum 1 Ramadhan.
Sekian,
terimakasih.
Jawapan:
Wassalam.
Saya
kemukakan terlebih dahulu beberapa hadis yang berkaitan dengan puasa pada bulan
Sya'ban.
Pertama:
Aisyah r.a. berkata: "Nabi s.a.w. tidak pernah berpuasa dalam sebulan
lebih banyak daripada apa yang baginda berpuasa dalam bulan Sya'ban.
Sesungguhnya kadang-kadang baginda berpuasa dalam bulan Sya'ban satu bulan
sepenuhnya." Al-Bukhari dan Muslim.
Kedua:
Dalam riwayat lain, Aisyah r.a. berkata: "Aku tidak pernah melihat
Rasulullah s.a.w. berpuasa penuh satu bulan kecuali Ramadhan. Dan aku tidak
pernah melihat baginda paling banyak berpuasa seperti mana baginda berpuasa
pada bulan Sya'ban." Al-Bukhari dan Muslim
Kedua-dua
hadis di atas menunjukkan Rasulullah s.a.w. banyak berpuasa pada bulan Sya'ban.
Secara tidak langsung menunjukkan baginda juga berpuasa selepas nisfu Sya'ban.
Ketiga:
Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: "Jangan kamu mendahului Ramadhan dengan
berpuasa satu hari atau dua hari kecuali seseorang yang hari tersebut menepati
hari dia berpuasa, maka hendaklah dia berpuasa." Riwayat Muslim, Abu Daud,
at-Tirmizi, an-Nasae dan Ibn Majah.
Hadis
ini menunjukkan larangan berpuasa satu atau dua hari sebelum Ramadhan.
Hikmahnya ialah supaya tidak bercampur antara yang sunat dengan yang wajib.
Selain itu, dikatakan juga bahawa hikmah larangan berpuasa sehari atau dua hari
sebelum Ramadhan ialah kerana puasa Ramadhan wajib apabila nampak anak bulan.
Jika mendahului puasa sebelum nampak anak bulan seolah-olah dia mempertikaikan
hukum tersebut.
Keempat:
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Apabila
tiba pertengahan Sya'ban, maka jangan kamu puasa sehingga datangnya
Ramadhan." Riwayat Ibn Majah. Abu Daud meriwyatkan dengan lafaz:
"Apabila sampai separuh Sya'ban, maka jangan kamu puasa."
Berdasarkan
hadis ini, sekumpulan ahli ilmu berpendapat makruh berpuasa selepas separuh
Sya'ban.
Kesimpulan
daripada hadis-hadis di atas:
Pertama:
Rasulullah s.a.w. banyak berpuasa sunat pada bulan Sya'ban
Kedua:
Puasa yang dilarang selepas separuh atau selepas 15 Sya'ban adalah puasa sunat, tiada kaitan dengan puasa
wajib sama ada puasa qadha atau puasa nazar
Ketiga:
Makruh berpuasa sunat selepas 15 Sya'ban
adalah bagi mereka yang tidak berpuasa dari awal, atau tidak menjadi
kebiasaannya berpuasa sunat. Bagi mereka yang telah berpuasa dari awal, atau
menjadi kebiasaannya berpuasa sunat seperti puasa hari Isnin dan Khamis, atau
puasa selang sehari, tiada halangan dan tidak makruh untuknya meneruskan
kebiasaan itu walaupun selepas 15 Sya'ban.
Dengan
itu tidak ada halangan untuk yang bertanya melaksanakan puasa gantinya selepas
15 Sya'ban. Malah wajib ke atasnya menyegerakannya jika dia mampu. Allahu
A'lam.
Sumber:
Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar'ah wa al-Bait al-Muslim fi asy-Syari'ah
al-Islamiyyah, Dr. Abdul Karim Zaidan, juzuk 2, hal 135-136.
No comments:
Post a Comment