Friday, January 1, 2016

TA'ADDUD JAMAAH

Soalan:

Salam'alaiyk ustazah...ana nk mntk pndgn dr ustzh..apa pndgn ustzh terhadap ta'dud jamaah??

Jawapan:

Wa’alaikis-salam wrwb
Sebelum saya beri pandangan, cuba kita imbau suasana di mana dan bagaimana keadaan umat kita sekarang.
Sejak jatuhnya Khilafah Uthmaniah pada tahun 1924, umat Islam dipecah-belahkan menjadi negara-negara kecil berasaskan bangsa dan sempadan geography yang sempit. Mereka membawa halatuju masing-masing, bertebaran dan bercakaran bagaikan anak ayam kehilangan ibu.

Dalam suasana sedemikian, muncul beberapa buah gerakan Islam di beberapa negara yang mempunyai cita-cita dan matlamat yang sama walau pendekatan dan cara kerja berbeza.

Jadi sejak mula, umat Islam mempunyai pelbagai jamaah yang mendukung hasrat dan matlamat yang sama, iaitu untuk mengembalikan Islam serta umatnya kepada landasan yang benar, bersatu di bawah payung khilafah islamiah merentasi sempadan bangsa dan benua. Sekiranya satu jamaah sahaja yang  dibolehkan, maka bila telah tertubuh sebuah jamaah di mana-mana tempat umpamanya di Mesir, tempat-tempat lain tidak boleh lagi tubuh jamaah. Logikkah begitu?

Justeru, pada pendapat saya kemunculan pelbagai jamaah atau apa yang diistilahkan sebagai taaddud jamaah adalah sesuatu yang tabii, yang lahir dari kesedaran bahawa umat Islam wajib berusaha, berdakwah dan berjihad untuk menegakkan Islam secara syumul dan menyeluruh. Kewajipan ini bukan terletak di atas bahu individu tertentu, malah ia wajib dipikul oleh semua lapisan masyarakat yang mengaku diri mereka sebagai muslim.
Selagi tidak tertegak khilafah islamiah, maka selama itu tidak ada sesiapa yang boleh mendakwa bahawa jamaah tertentu itu sahaja merupakan jamaah Islam yang sah, jamaah lain adalah salah, sesat, menyeleweng dan sebagainya dan orang yang tidak menjadi ahli kepada jamaah tertentu dianggap sebagai pengkhianat dan tidak ikhlas di dalam perjuangannya.
Wujudnya beberapa jamaah yang mempunyai matlamat yang sama dengan membawa pendekatan yang berbeza membuka ruang dan peluang kepada lebih ramai umat Islam menggabungkan diri di dalam gerakan Islam kerana mereka mempunyai pilihan. Kalau mereka kurang selesa dengan pendekatan yang dibawa oleh jamaah A, mungkin mereka boleh terima pendekatan yang diperkenalkan oleh jamaah B.

Apa yang penting, setiap jamaah tidak boleh mendakwa bahawa dia sahaja yang sempurna dan tidak boleh menganggap kewujudan jamaah lain sebagai saingan kepadanya. Sebaliknya setiap jamaah mesti berusaha mencari titik-titik persamaan untuk berkerjasama. Manakala perbezaan pula dijadikan sebagai jambatan untuk saling lengkap melengkapi. Allahu A’lam.

Yang baik itu daripada Allah. Yang buruk adalah daripada kelemahan diri saya sendiri. Mohon keampunan daripadaNya jua.


No comments: