SOALAN:
Salam.
Ustazah,
saya ingin meminta pandangan dari sudut hukum Islam, sejauh manakah keperluan
kita melibatkan diri di dalam politik, tuntutan menjadi ahli sesebuah parti
politik dan bergiat aktif di dalamnya?
Baru-baru
seorang sahabat mengajak saya menjadi ahli sebuah parti politik yang terdapat
di tanah air kita ni. Tetapi saya masih keliru dan teragak-agak untuk
menerimanya.
Persoalan
saya ialah mestikah setiap orang rakyat Malaysia menjadi ahli parti politik dan
sejauh manakah keperluannya? Tidak cukupkah kita terlibat sebagai pengundi
sahaja apabila diadakan pilihanraya?
Mohon
penjelasan. Trm kasih.
JAWAPAN:
Wassalam.
Saya memilih
untuk tidak menjawab secara langsung. Tetapi cuba mengemukakan beberapa perkara
untuk renungan bersama.
Pertama –
Islam adalah satu sistem hidup yang lengkap dan menyeluruh. Ia merangkumi semua
aspek kehidupan sama ada yang berkaitan dengan urusan peribadi, keluarga,
masyarakat, negara, hubungan antara bangsa serta pengurusan alam sekitar. Rangkuman
kesyumulan ini dinukilkan oleh Hasan al-Banna di dalam Usul 20nya seperti
berikut:
“Islam adalah sistem lengkap yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan.
Islam adalah daulah dan tanahair atau kerajaan dan ummah.
Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan.
Kebudayaan dan undang - undang atau ilmu dan kehakiman.
Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan.
Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah.
Sebagaimana Islam itu adalah aqidah yang benar dan ibadah yang sohih.”
Islam adalah daulah dan tanahair atau kerajaan dan ummah.
Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan.
Kebudayaan dan undang - undang atau ilmu dan kehakiman.
Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan.
Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah.
Sebagaimana Islam itu adalah aqidah yang benar dan ibadah yang sohih.”
Kedua – Islam
diturunkan untuk membawa dan menjamin kesejahteraan, kedamaian, keadilan dan kesaksamaan
kepada seluruh alam. “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad),
melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiyaa' 21:107)
Ketiga – menegakkan
dan melaksanakan semua ajaran Islam serta hukum-hukumnya adalah wajib ke atas
seluruh umat Islam tanpa kecuali. Firman Allah Ta’ala bermaksud:
“Wahai
orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi)
segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan;
sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”
“Sesudah
itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat
dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang
berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di
dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat
berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu
lakukan.”
Keempat – kewajipan
melaksanakan ajaran Islam, hukum-hukum serta sistem-sistemnya ada yang bersifat
peribadi (fardhu ‘ain) yang dituntut ke atas setiap individu dan ada yang
bersifat jama’ei (fardhu kifayah) yang dituntut ke atas anggota masyarakat
berdasarkan kebolehan serta kepakaran masing-masing.
Kelima –
sebahagian hukum Islam serta sistem-sistemnya tidak boleh dilaksanakan jika
tidak ada kuasa pemerintahan. Contohnya pengagihan yang adil kepada semua asnaf
yang berhak menerima zakat, mengadili pertelingkahan dan perbalahan di kalangan
masyarakat, menjatuhkan hukuman ke atas penjenayah dan lain-lain.
Keenam – di
dalam sistem demokrasi seperti yang diamalkan di Malaysia, untuk mendapat kuasa
pemerintahan, parti-parti politik yang bertanding di dalam pilihanraya mestilah
mencapai kemenangan majority, sama ada secara persendirian atau penggabungan.
Ketujuh – perlu
ditekankan bahawa untuk mencapai kemenangan di dalam pilihanraya, sesebuah parti
bukan hanya sekadar menamakan dan meletakkan calon-calon. Parti-parti politik
mestilah menyusun strategi yang kemas dan rapi, membina kader-kader yang layak
untuk memikul tanggungjawab, mencari dana, mengadakan latihan-latihan kepakaran
dalam pelbagai bidang dan lain-lain. Apa lagi, parti yang berusaha ke arah perlaksanaan
Islam yang syumul, ahli-ahlinya bukan sahaja wajib menguasai ilmu yang berteraskan
Islam malah akhlak serta keperibadian Islam yang murni juga mesti dihayati. Dan
ini tidak syak lagi memerlukan latihan dan pentarbiahan yang sewajarnya.
Kelapan – berdasarkan
perkara-perkara yang dinyatakan di atas, maka setiap individu yang mempunyai
kemampuan dan kepakaran yang diperlukan ke arah tercapainya kemenangan yang
membolehkan hukum Islam ditegakkan seharusnya tidak memencilkan diri dari
terlibat memberikan sumbangan sedaya mampu, sama ada secara langsung atau tidak
langsung, sama ada dengan mendaftarkan diri sebagai ahli atau sebaliknya. Jika memilih
untuk menggabungkan diri di dalam parti politik, maka pastikan parti yang
dipilih itu mempunyai matlamat yang jelas untuk mendaulatkan Islam. Di samping itu
ia hendaklah berpegang kepada manhaj serta wasilah yang selari dengan tuntutan
Islam, dan pada masa yang sama tidak mengabaikan perkembangan masa, suasana dan
persekitaran.
Kesembilan –
sekiranya ada yang merasakan bahawa dia tidak mempunyai sebarang kebolehan dan
kepakaran untuk menyumbang, tidak bermakna dia tidak perlu terlibat. Mendaftar sebagai
ahli juga merupakan satu sumbangan, iaitu menambah bilangan. Bilangan yang
ramai juga merupakan satu kekuatan. Anas bin Malik r.a. menceritakan: “Aku
melihat Abdullah bin Ummi Maktum yang buta memakai perisai, sedang tangannya memegang
panji-panji berwarna hitam di dalam peperangan al-Qadisiah. Maka seseorang
bertanya kepadanya: “tidakkah Allah telah menurunkan ayat memberi izin kepadamu
untuk tidak ikut serta berperang?” Dia menjawab: “memang benar. Tetapi aku ingin
membanyakkan bilangan muslimin dengan penggabungan diriku.”
Kesepuluh –
justeru, sebagai muslim kita mesti memahami tanggungjawab dan mengetahui di
manakah medan serta ruang untuk dia beramal dan menyumbang demi mencapai
matlamat yang dituntut, iaitu tertegaknya syariat Allah dan terlaksananya hukum
Islam yang membawa rahmah serta kebaikan untuk seluruh alam.
Mudah-mudahan
apa yang dibentangkan di atas dapat membantu anda membuat keputusan yang
terbaik di dalam mancari keredhaan Yang Maha Esa
No comments:
Post a Comment